19
Wed, Jun
31 Artikel Baru

KUALA LUMPUR: Kerjasama siasatan antarabangsa berhubung kehilangan pesawat MAS MH370 seharusnya telah dapat mendedahkan beberapa maklumat yang selama ini terselindung.

Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, selama tiga tahun kehilangan MH370 masih menjadi tanda tanya di mana kerajaan tidak menjelaskan bagaimana ia boleh berlaku.

"Tidak munasabah maklumat asas mengenai kenapa ia boleh berlaku tidak dapat dikumpulkan sehingga hari ini. Isu ini akan jadi tragedi dan misteri yang tidak mungkin dapat dirahsiakan sampai bila-bila.

"Satu ketika pasti kebenaran akan terdedah. Jika ada yang membuat spekulasi, sudah tentu selepas tiga tahun pihak kerajaan dapat mendedahkan maklumat disebalik kehilangan," ujarnya yang kini dalam perjalanan ke Geneva di Switzerland untuk menghadiri Sidang UNHCR.

Tegasnya, isu ini seharusnya tidak boleh lagi hanya tertumpu kepada pencarian, tetapi siasatan disebalik kehilangan pesawat itu patut menjadi fokus.

Senada dengan gesaan itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri berharap pihak kerajaan menyediakan pampasan tambahan yang wajar kepada ahli keluarga mangsa.

Ujarnya, ia sebagai mengubat perasaan mereka yang masih belum diberikan jawapan dan kepastian terhadap tragedi tersebut.

Beliau juga menuntut pihak kerajaan meneruskan usaha sehingga dapat memberi jawapan terhadap isu itu kerana ia menimbulkan persoalan antarabangsa terhadap keselamatan sistem pengangkutan negara.

Dr Khairuddin menyifatkan kehilangan MH370 sebagai tragedi negara yang sangat menyayatkan hati seluruh rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 8/3/2017

MENGAPA melampau-lampau dalam prejudis terhadap kehakiman syariah sehingga memperbesarkan andaian hakim boleh buat kesilapan menghukum yang tidak bersalah, atau menghukum dengan hukuman berat konon kerana had penjara telah dinaikkan kepada 30 tahun penjara dan had denda dinaikkan ke RM100,000?

Apa kehakiman sivil yang ada sekarang ini suci bersih sangatkah dari kesilapan sehingga berprasangka sebegitu sekali kepada Kehakiman Syariah? Sehingga menceduk kes kes terpencil luar negara konon untuk membuktikan syariah zalim!

Kalau begitu kita pun boleh mengeluarkan seribu satu macam kisah dalam dunia bagaimana mahkamah bukan syariah membuat kesilapan dan berlaku kezaliman dalam penghakiman dan jenis hukuman.

Kes orang yang tidak bersalah disabitkan bersalah banyak berlaku di mana-mana dalam dunia.

Yang dihukum gantung sampai mati pun ada.

Hukuman yang tidak munasabah, si miskin mencuri gula dan milo kerana teringin minum sendiri untuk anak-anak dipenjara berbulan bulan. Yang kaya pecah amanah dan rasuah lebih ringan pula hukumannya.
Bukan pelik ada mahkamah menjatuhkan hukum penjara lebih 100 tahun. Saya terbaca ada satu kes sampai 158 tahun penjara.

Ini perkara subjektif.

Soalnya secara makro, kesan agregat, adakah secara keseluruhannya sistem pengadilan itu telah cukup berkesan dalam mewujudkan kesejahteraan, keamanan dan keadilan di dalam masyarakat?

Sebenarnya apa apa kecacatan akan ada proses semak imbangnya.

Di mahkamah sivil ada susunannya keputusan boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan hinggalah ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Syariahpun ada proses rayuannya yang tersendiri. Ada hak untuk diwakili peguam yang dipilih sendiri. Ada Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi.

Adalah sangat jahat cuba mengajak rakyat berprasangka buruk kepada Hakim Hakim Syariah seolah olah mereka manusia yang tidak berhati perut yang 'gila' mahu mendera, menyebat manusia, mendenda sampai bangkrap atau memenjarakan orang sampai ke tua agar mati di dalam penjara.

Saya ceritakan satu kes arbitrasi yang saya pernah terlibat sama yang saya melawan syarikat antarabangsa dari Kanada. Arbitrator yang dilantik adalah seorang mantan hakim mahkamah rayuan yang tinggi kedudukannya di dalam kehakiman Malaysia. Dia bukan seorang Islam.

Bayangkan selang setiap dua jam akan ada waktu rehat. Saya kebetulan memerhati gerak geri mantan hakim ini. Waktu rehat beliau ke lounge terbuka dan meminum arak. Bukan sekali berlaku. Hampir setiap kali waktu rehat, 'break' perbicaraan.

Tak dinafikan, sebaik dia mengadili, tidak pula nampak ada kesan macam orang mabuk, perbicaraan dikendali dengan profesional. Tetapi itulah... pengadil yang dilantik jadi arbitrator yang latar belakangnya seorang mantan hakim yang terhormat dalam mahkamah sivil.

Walau bagaimanapun kami menang kes ini. Berjaya ketepikan tuntutan lebih RM40 juta. Ini kes pada tahun 1999, lebih 16 tahun lalu.

Bandingkan kualiti seseorang sebelum boleh melayakkan diri mereka sebagai Hakim Syariah. Dengan kelayakan pendidikan, keperibadian beragama dan sahsiah. Bukan mudah.

Bagi yang biasa dengan perbicaraan syariah akan tahu selain hujahan berdasarkan rujukan preseden kes terdahulu, penghakiman selalu akan sarat dengan nas Quran dan Hadis serta nasihat agama yang menginsafkan.

Seorang yang jahil agama, seorang pendosa mempunyai kebarangkalian yang sangat kecil menjadi Hakim Syarie. Hampir tidak berpeluang langsung.

Seorang yang faham agama, berilmu, baik pengamalan agama mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi untuk tidak zalim dan berusaha berlaku adil lantaran faham soal dosa dan pahala

Malaysia pula negara demokrasi, bukannya autokrasi. Bukan seperti zaman raja-raja dahulu yang terpulang budi bicara raja menghukum.

Jika kezaliman terlalu nyata, rakyat mempunyai ruang melalui proses demokratik untuk meminda undang undang. Menukar parti yang memerintah pun boleh.

AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
8 Mac 2017 – HARAKAHDAILY 8/3/2017

KES tanah adat atau NCR Kampung Haji Wahed mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan menyebabkan penduduk kampung dan orang-orang yang menuntut hak tanah nenek moyang mereka memutuskan bahawa hakim yang mengendalikan kes itu perlu ditukar.
 
Alasan mereka kerana peguam yang mereka lantik sukar untuk mengemukakan bahan bukti yang mereka telah kemukakan. Setiap kali ada persidangan mahkamah hakim seolah-olah lebih memihak kepada peguam bela pihak pemaju dan pihak jabatan tanah dan ukur.
 
Ini menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap hakim yang mengendalikan kes tanah tersebut dan akhirnya mereka mengumpulkan lebih dari seribu tandatangan petisyen dari penduduk kampung yang hilang keyakinan terhadap hakim itu. Petisyen itu telah diserahkan kepada pejabat Ketua Hakim Sabah dan Sarawak untuk tindakan lanjut.
 
Esok Selasa (07/03/2017) hakim yang mengendalikan kes tanah tersebut akan memberi keputusan sama ada untuk meneruskan atau memberi peluang kepada hakim lain untuk mendengar kes tersebut.
 
Masalah tanah yang dihadapi oleh penduduk Melayu dan penduduk asal Bumiputera Sarawak memang sudah lama berlaku. Ramai yang mengadu masalah tanah mereka telah diceroboh oleh pihak pemaju tanpa pengetahuan mereka. Mereka juga sudah banyak kali menuntut hak tanah mereka agar pihak kerajaan memberi mereka geran tanah tetapi sukar untuk mendapatkannya. Penduduk asal yang sudah lama menetap di tanah datuk moyang mereka sebelum kedatangan penjajah British lagi sepatutnya diberi keutamaan untuk mendapatkan geran tanah.
 
PAS mengesa pihak kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu yang dihadapi oleh penduduk asal Sarawak ini dengan memberi keutamaan kepada mereka dari pemaju kerana tanpa tanah maka sukar bagi mereka untuk bercucuk tanam dan membina tempat tinggal.
 
Jangan biarkan penduduk asal kehilangan tanah tempat mereka tinggal dan menjadikan mereka setinggan dan menjadi pelarian di tanah air sendiri. Utamakan penduduk asal dari orang yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata. – HARAKAHDAILY 6/3/2017

DEWAN Datuk Muhammad Daud al-Iraqi yang terletak di Bandar Baru Kubang Kerian, Kota Bharu mampu beri manfaat kepada penduduk sekitar.

Penyerahan kunci bangunan itu telah disaksikan oleh Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob pada majlis semalam.

Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menerima penyerahan itu dari Kasjaria Kim Huat Sdn Bhd.

Mengulas mengenainya, Ahmad berkata, dewan serbanguna itu sangat penting bagi menyemarakan majlis ilmu dan kegiatan sosial lain.

"Dengan adanya kemudahan ini ia merupakan satu kelebihan kepada penduduk sekitar bagi mendapat manfaat.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kepada MPKB-BRI dan wakil rakyat Demit kerana berusaha dapatkan dewan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan penyerahan kunci dewan tersebut kepada kerajaan negeri.

Turut hadir Adun Demit, Mumtaz Mad Nawi; Adun Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus dan YDP MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail.

Selain mantan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Pengarah Urusan Kasjaria Kim Huat, Chua Siew Seng.

Katanya lagi, nama tokoh berkenaan dipilih kerana peranannya yang tidak pernah jemu menyebar ilmu agama khususnya di Kelantan.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau menyifatkan mantan Adun Demit itu sebagai 'kamus bergerak' dalam empat mazhab ahli sunnah.

"Apabila saya berbincang dengan Almarhum Tuan Guru berkaitan hukum dalam empat mazhab, rujukan pertama ialah Dato' Mohammad Daud Iraqi.

"Sama-sama kita berdoa kepada agar Allah membuka semula suaranya bagi kita perolehi ilmu yang luas daripadanya," katanya.

Sementara itu Mumtaz Mad Nawi mengalakan sebarang aktiviti diadakan dengan seliaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau turut menyambut baik hasrat Menteri Besar agar dewan tersebut dijadikan sebagai pusat untuk menyampaikan kuliah agama.

"Ia merupakan satu cadangan yang sangat baik disamping program kemasyarakatan dan ia akan disusun di sini.

"Kita akan berbincang dengan PBT, cuma susunan kita agak terhad kerana dewan ini akan digunakan juga oleh orang ramai," katanya. - HARAKAHDAILY 5/3/2017

BILA kerajaan janji nak bagi maka rakyat berharap dan ternanti-nanti. Berapa pun nilainya, ia sesuatu yang ditunggu dan dinanti. Kita kesian kepada rakyat.

Seorang kawan kerani BSN di Besut bagi tahu, lama dah mok cik-mok cik mari tanya, BR1M masuk tak lagi? Pagi-pagi lagi mereka datang dengan wajah penuh mengharap. Kita tahu mereka amat memerlukan helaian kertas terpampang wajah DYMM Yang di-Pertuan Agong pertama tersebut.

Di Perhimpunan Agung Umno lepas, ada perwakilan yang buat usul supaya BR1M diagihkan oleh pemimpin Umno setempat sebab katanya mesin ATM tiada hati dan perasaan. Presiden Umno telah respons menerima usul ini.

Maka bersiaplah tadah telinga untuk mendengar bebelan sebelum terima BR1M. Seorang Tok Wakil Umno pernah ungkit ketika ucapan beliau dalam satu majlis agihan bantuan di sebuah dewan sivik di Setiu. Katanya, "buah nak makan tapi pokok nak tebang!" Lalu dijawab oleh seorang anak muda dalam majlis tu, "dah pokok condong nak tumbang atas rumah, kenalah tebang!"

Kita permainkan dan peralatkan bantuan kerajaan demi memaksa rakyat marhaen duduk dan mendengar apa yang kita nak cakapkan. Politik gaya lama orang kekeringan idea. Mereka tak tahu apa yang mereka sedang buat adalah kerja untuk menuai rasa meluat rakyat.

PAS memahami makna kebajikan dengan makna mempermudahkan urusan orang yang memerlukan. Hadir menyantuni ketika rakyat dalam kesempitan. Memberi dengan ketulusan hati dan kasih sayang. Bukan dengan pemberian yang diungkit.

Sehari dua ini berlegar di alam maya, pelbagai aduan mereka yang gagal status permohonan BR1M kebanyakkannya lantaran kerana maklumat diri yang tak lengkap di Lembaga. Saya dah nampak dari dulu lagi, kerana BR1M maka ramai yang akan dikejar Lembaga. Lembaga ini memang tak pernah tidur. Walau kita nampak dia pejam mata, sebenarnya dia buat-buat tidur saja. Perhatikan baik-baik, matanya tak pejam rapat. Lintas depan lembaga ini bermakna memang sengaja nak suruh dia ngap kita. Dr AzmanSekali lagi rakyat kena perangkap!

BR1M oh BR1M... Ambil dan makanlah buah ini. Tapi lihatlah pohonnya yang telah condong menghala ke rumah kita. Leka makan buah, jangan sampai rumah kita ranap ditimpa pokok.

DR AZMAN IBRAHIM
Ketua Lajnah Kebajikan PAS Terengganu

PASAR Binjai yang dijangka siap dalam tempoh 10 hingga 11 bulan bakal dikenali dengan nama Pasar Tok Kenali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demit, Mumtaz Mad Nawi berkata, usaha sama turut dilakukan pada pasar-pasar lain di Kelantan.

Menurutnya, ia bagi menjadi pandangan masyarakat terhadap lokasi tersebut ditukar kepada prospek lebih baik.

"Pasar dalam negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam' ialah pusat aktiviti masyarakat untuk mendapat keberkatan.

"Justeru, kita memberi nama pasar ini dengan nama Tok Kenali," katanya ketika berucap pada majlis itu, dekat Kota Bharu.

Majlis pecah tanah pasar binjai itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Ustaz Bentara Kanan Ahmad Yakob, semalam.

Mumtaz dalam pada itu menyifatkan 4 Mac lalu merupakan hari yang bersejarah bagi Dun Demit kerana menerima kedatangan Menteri Besar.

Kedatangan tersebut bagi menyaksikan penyerahan kunci Dewan Dato' Muhammad Daud al-Iraqi dan majlis pecah tanah Pasar Binjai.

"Pembinaan pasar ini memang sudah dinanti-nantikan oleh penduduk di Kubang Kerian khususnya Dun Demit secara umum.

"Pemilihan lokasinya juga menarik kerana terletak di sebelah sungai dan banyak lagi program pelancongan dapat dimajukan," katanya. - HARAKAHDAILY 5/3/2017

SEBANYAK 132,916 pemohonan diterima bagi pemilikan rumah mampu milik Rumah SelangorKu bagi tempoh tiga tahun sejak dilancarkan 2014 lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, sambutan menggalakkan itu susulan tawaran nilai berpatutan Rumah SelangorKu yang dijual pada kadar serendah RM42,000 dengan tidak melebihi RM250,000 seunit.
 
“Pembangunan Rumah Selangorku mendapat respon positif daripada orang ramai apabila untuk tempoh sehingga kini, kami menerima jumlah pemohon mendaftar sebanyak 132,916.

“Sambutan positif ini kini terus tertumpu ke arah memperbanyakkan lagi kediaman selesa, berkualiti dan mampu dimiliki rakyat di Selangor.

“Usaha ini dijalankan sebagai inisiatif untuk mensejahterakan rakyat di Selangor menerusi polisi pembinaan Rumah SelangorKu yang mesra rakyat,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Pendaftaran Rumah SelangorKu Setia Eco Templer, Rawang, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pemaju hartanah di seluruh negeri digalakkan untuk menyahut seruan kerajaan negeri untuk tampil membangunkan projek perumahan mampu milik di negeri itu.

Beliau berkata, usaha tersebut mampu memenuhi tuntutan umum seiring gagasan pentadbiran negeri, ‘Membangun Bangsa Memakmur Negeri’.

“Kerajaan negeri berharap lebih banyak Rumah SelangorKu dibina pada harga kawalan bergantung kepada keluasan minima.

“Tetapi bagi pemaju yang gagal menyiapkan projek Rumah SelangorKu, syarikat mereka akan disenaraihitamkan dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat juga tidak terlepas berdepan tindakan sama,” katanya.

More Articles ...