23
Tue, Jul
31 Artikel Baru

DEWAN Pemuda PAS Kawasan Subang (Pemuda Subang) mengecam tindakan YB Azmin Ali (PKR) yang mengeluarkan kenyataan sinis terhadap kekalahan YB Ustaz Nik Muhammad Abduh dalam pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa sebagai indikator kepada kemampuan jentera PAS untuk menawan negeri Selangor seluruhnya pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) nanti.

Pemuda Subang melihat kenyataan YB Azmin ini sebagai satu gaya pemikiran yang senteng kerana pemilihan jawatan dalaman PAS di peringkat kawasan-kawasan adalah urusan meyusun gerak atur pergerakan PAS di peringkat akar umbi itu sendiri dan sama sekali tidak absah jika ingin dinisbahkan kepada gerak kerja pilihan raya.

Pemuda Subang ingin mengingatkan kembali kepada YB Azmin bahawasanya keberadaan YB Azmin di kerusi Menteri Besar Selangor adalah hasil daripada ihsan PAS, bukan daripada parti YB sendiri dan kemenangan YB Azmin di Parlimen Gombak juga adalah hasil daripada kekuatan gerak kerja daripada jentera-jentera PAS yang ramai dan sanggup bekerja atas arahan pimpinan.

YB Azmin perlu menyedari hakikat bahawasanya PAS mempunyai kekuatan yang ampuh di peringkat akar umbi. Kesinisan kenyataan YB Azmin ini seolah-olah menjerut leher sendiri tatkala beliau menyedari hakikat bahawa PKR tidak ada kekuatan jentera di mana-mana kawasan sekalipun.

Justeru, Pemuda Subang ingin menyeru kepada semua perwakilan PAS di Muktamar Kawasan masing-masing agar usul memutuskan hubungan politik antara PAS dan PKR mendapat sokongan seluruh perwakilan yang ada.

Di peringkat Dewan Pemuda PAS Kawasan Subang, kami dengan segala kekuatan jentera yang ada  bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen Subang, Kota damansara, dan Paya Jaras pada PRU14 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Subang sekali lagi bertegas akan terus konsisten meyambut seruan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, YB Nik Muhammad Abduh untuk menawan Selangor sekaligus menunjukkan pintu keluar kepada YB Azmin Ali daripada pejabat Menteri Besar dan menyingkirkan YB Azmin Ali daripada kerusi Parlimen Gombak.

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Dewan Pemuda PAS
Kawasan Subang - HARAKAHDAILY 22/3/2017

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan pihak berkuasa berkenaan agar memberi perhatian serius dan mengambil tindakan berkesan bagi mengatasi pencemaran sisa kumbahan domestik dan sisa buangan dari kolam ternakan udang yang kian merebak di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau ketika ini.
 
Masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu melibatkan sistem perparitan, pantai dan laut di kawasan berkenaan menyebabkan 5,000 penduduk dan nelayan di sini terjejas kehidupan harian mereka akibat bau busuk dan kekurangan hasil tangkapan.
 
Dalam tinjauan yang dibuat kami mendapati selain keadaan parit di sini yang hampir tertimbus akibat mendapan bahan buangan seperti lumpur dan sampah-sarap dari kawasan perumahan dan kolam ternakan udang, air di dalam parit di tempat ini juga didapati berwarna hitam serta berbuih.
 
Terdapat beberapa longkang dan berpuluh saluran di kawasan ini menjadi tempat sisa buangan dialir ke parit dan terus ke laut menyebabkan sekitar perairan Balik Pulau di kawasan ini tercemar dan mengancam hidupan laut dan kehidupan 2,000 nelayan pantai di Kuala Sungai Pinang, Pantai Acheh, Kuala Sungai Burung dan Pulau Betong terjejas hasil tangkapan seperti ikan, udang,  ketam dan siput.
 
Sejak kejadian ini berlaku banyak aduan telah dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan nelayan-nelayan yang terlibat kepada pihak kerajaan negeri termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tetapi sehingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil.
 
Selain penguatkuasaan undang-undang yang lemah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jabatan dan agensi yang terlibat dalam usaha mengawal gejala pencemaran di negeri ini, SAM kesal dan bimbang kerana hutan paya bakau terus dimusnahkan dan bertambah banyak kolam ternakan udang dibina dengan sewenang-wenangnya di kawasan ini tanpa kajian yang menyeluruh mengenai kesannya ke atas alam sekitar, hidupan marin dan ekonomi penduduk tempatan.
 
SAM meminta Jabatan Perikanan membuat kajian khusus mengenai kesan pencemaran sisa buangan kolam ternakan ke atas sumber perikanan di perairan Balik Pulau dan mendedahkan hasil kajian tersebut kepada umum. SAM percaya jika punca pencemaran yang berlaku di kawasan ini tidak diberi perhatian serius dan dibiarkan berterusan bukan saja alam sekitar di sini akan musnah dua puluh tahun lagi malah para nelayan di Pulau Pinang dan generasi mereka juga akan pupus pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 22/3/2017

DAKWAAN kononnya Umno bersetuju memberi laluan kepada PAS untuk menguasai beberapa negeri, veteran PAS, Haji Subky Latif berkata, ia hanya ‘cakap-cakap manis’ sahaja.

Beliau berkata, sedangkan pada hakikatnya Umno sebenarnya tidak mahu PAS bertanding walau satu kerusi pun.

“Umno ni dia tak akan setuju (parti lain) ambil satu kerusi pun dalam dunia ini! Dia (Umno) nak ambil semua itu hajat dia,” ujarnya pada sesi temubual dengan Harap TV di Kuala Terengganu, kelmarin.

Menyentuh RUU 355 yang akan dibawa oleh Barisan Nasional pada sidang parlimen, beliau berkata, ia menjadi tanggungjawab kerajaan membawa perkara tersebut.

Memetik laporan Buletin Online semalam, sepatutnya Datuk Onn Jaafar telah melaksanakan kehendak Islam sejak Malaysia merdeka sebagaimana yang disarankan oleh pemimpin PAS.

Menurutnya, Dr Burhanuddin al-Helmi berkata ketika menerima kemerdekaan, tidak ada kemerdekaan yang sebenarnya tanpa melaksanakan syariat Islam.

“Tetapi apabila PAS sokong, tidak bermakna PAS akan ‘tutup’. Kalau PAS tak ada, mungkin dia tak buat. Sepatutnya pindaan RUU 355 itu kerajaan yang bawa, tetapi kerajaan gagal bawa, jadi PAS yang bawa.

“Kita sudah lama wujudkan enakmen syariah di Kelantan dan Terengganu, jadi dengan yang dibawa oleh mereka sesuai dengan apa yang dkemukakan PAS, kita akan sokong asalkan undang-undang syariah dapat dilaksanakan,” tegasnya.

KERAJAAN Kelantan mencadangkan tapak sesuai perlu dicari bagi menempatkan pameran peminat kereta berhimpun.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, ruang yang ada ini begitu sempit bagi menampung himpunan kereta setiap kali ia berlangsung.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Mega Kelab-Kelab Kereta Pantai Timur di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, Kota Bharu semalam.

Katanya, minat manusia itu berbeza antara satu dengan yang lain dan perlu dihormati.

“Sejak zaman Nabi lagi telah ada minat-minat sedemikian dengan menggelarkan nama-nama tertentu pada kenderaan mereka,” ujarnya.

Beliau yakin program sedemikian dapat mengeratkan hubungan antara satu dengan yang lain.

Turut berucap pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Abdul Fattah pula berkata, kerajaan negeri membantu anak muda Kelantan untuk bersosial dengan cara yang betul.

Jelasnya, kerajaan negeri memang prihatin terhadap kehendak anak muda Kelantan.

“Kita akan sentiasa bersama dan memandu mereka selagi ia tidak bercanggah dengan syariat,” ujarnya.

Fattah berharap himpunan mega itu dapat mencapai sehingga 5,000 penyertaan berbanding 3,200 pada program itu.

Tambahnya, pada tahun lalu penyertaan 2,500 buah kenderaan pelbagai jenis. - HARAKAHDAILY 19/3/2017

BARU-baru ini  Datuk Amar Abang Johari Abang Openg menjadikan China destinasi pertama sejak beliau dilantik sebagai Ketua Menteri, 13 Januari lalu. Beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bersama syarikat pembangunan pelancongan antarabangsa China, Beijing Glory International Culture Development Co Ltd di Nou Hotel, Beijing.  Beijing Glory akan mengambil alih pengurusan beberapa destinasi pelancongan seperti Bako dan Taman Negara Mulu; akan ada penjenamaan semula SEDC Sarawak Plaza.
 
Mengapa kerajaan Sarawak memberi keutamaan kepada syarikat dari luar untuk mengambil alih pengurusan beberapa destinasi pelancongan tempatan kepada syarikat asing? Adakah rakyat Sarawak tidak mampu untuk menguruskan syarikat pelancongan tempatan yang sedia ada?
 
Sarawak terlalu bergantung dengan syarikat asing dan pelabur dari luar untuk memenuhi keperluan tenaga pekerja untuk membangunkan Sarawak. Sepatutnya rakyat tempatan diberi keutamaan dulu dalam mana-mana projek kerajaan.
 
Apabila timbul isu kekurangan guru atau tenaga pengajar di Sarawak ada pihak yang tidak puas hati dan buat bising kerana tidak mahu orang luar datang ke Sarawak kononya mereka ini membawa budaya yang tidak sesuai dengan budaya orang Sarawak.
 
Mengapa kerajaan Sarawak tidak menyediakan pusat latihan atau tempat keperluan yang secukupnya untuk rakyat Sarawak supaya masalah kekurangan ini dapat diatasi sebelum menyalahkan pihak lain.
 
Mereka yang diambil bekerja itu bukannya orang asing tetapi rakyat Malaysia yang memberi khidmat kepada rakyat Sarawak yang memerlukan tenaga pengajar. Mereka bukannya tinggal lama di Sarawak selepas mereka tamat perkhidmatan mereka akan balik semula ke negeri masing-masing.
 
Apabila isu syarikat asing dan pekerja asing tanpa permit yang datang ke Malaysia yang membawa budaya yang tidak sesuai dengan masyarakat tempatan, mengapa pihak ini membisu. Adakah mereka ada kepentingan sehingga mereka tidak berani bersuara?
 
Isu seperti China Doll yang bekerja di pusat Reflexi dan pusat hiburan yang melalaikan dan merosakkan remaja tempatan perlu diberi perhatian. Mereka inilah sebenarnya yang merosakkan cara pemikiran dan budaya kehidupan masyarakat tempatan.
 
Kalau kerajaan Sarawak lebih memberi keutamaan kepada syarikat asing untuk menguasai beberapa syarikat tempatan akhirnya syarikat tempatan sukar untuk menjalankan urusan perniagaan mereka. Syarikat multi-bilion dolar dari luar mampu menguasai syarikat tempatan yang tidak mampu bersaing dengan syarikat gergasi dari luar.
 
PAS mengesa kerajaan Sarawak memberi keutamaan kepada syarikat tempatan dan mereka yang mampu untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Sarawak.  Seperti "Projek keajaiban" di Johor, dengan banglo dan rumah berkembar berharga di bawah RM100,000, menyebabkan heboh di sini.  Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar  telah mengumumkan satu projek perumahan untuk rakyat Johor.
 
Kalau Johor mampu memberi projek perumahan mampu milik untuk rakyatnya mengapa kerajaan Sarawak yang mempunyai keluasan tanah dan punca pendapatan yang banyak tidak mampu memberi kemudahan untuk rakyat Sarawak.
 
Projek ini perlu diberi kepada syarikat tempatan yang layak dan dapat memberi manfaat kepada rakyat bukan kepada syarikat asing yang hanya mementingkan keuntungan semata. Utamakan rakyat Sarawak dan jangan gadaikan tanah Sarawak kepada pelabur asing demi mencari keuntungan yang akhirnya rakyat Sarawak akan terus hidup dalam kemiskinan dan terpinggir dari arus pembangunan.
 
Kita harap perkara ini mendapat perhatian serius daripada kerajaan Sarawak demi masa depan rakyat Sarawak sendiri. Jangan beri keutamaan pada pelabur asing dan berilah keutamaan kepada rakyat Sarawak sebelum orang lain menguasai tanah air kita. – HARAKAHDAILY 22/3/2017

PAS akan menjadi pembangkang yang unggul dan dilihat sebagai sebagai parti yang layak bertanding semua kerusi di Terengganu pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

Tokoh wartawan dan veteran PAS, Haji Subky Abdul Latif berkata, PAS tiada pilihan yang banyak buat masa ini tetapi yakin PAS akan menjadi pembangkang yang kuat, lapor Buletin Online semalam.

“PAS akan menjadi pembangkang yang tunggal yang kuat kerana PAS dengan bersendirian dia dapat mengemukakan pendapatnya.

“Mungkin pada masa ini PAS tidak mendapat kejayaan yang besar, tetapi pada jangka panjangnya PAS akan menjadi kuat,” ujarnya pada sesi temubual dengan Harap TV di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berpendapat, adalah ‘membuang masa’ berbincang dengan parti-parti lain kerana mereka tidak bersedia menerima syarat yang dikemukakan PAS.

“Sepatutnya PAS bertanding semua. Dulupun, dua tiga PRU yang lepas sepatutnya, PAS bertanding semua tapi kerana wujudnya Pakatan jadi kita bahagi-bahagikan kerusi.

“Parti-parti yang ada itu memaksa PAS untuk bersedirian, maka pilihan kita tiada. Sepatutnya apabila mereka telah berpecah dengan Umno, mereka mengikut PAS kerana PAS telah ada dasar ‘PAS Ganti Umno’,” jelasnya.

PAS sebagai sebagai sebuah gerakan Islam menjadikan politik sebagai medan untuk melaksanakan tuntutan dakwah dan perlu menyatakan kebenaran dan berani dalam mempertahankan dasar Islam yang dibawa.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Melor, Dr Yusnan Yusof, kenyakinan mestilah diletakkan bahawa segala yang dilakukkan untuk Islam akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.

Memetik laporan Buletin Online, beliau berkata, sesiapapun di hadapan kita adalah mad’u termasuk DAP, PAN dan Umno.

“Kamu akan dikira (pahala) segala apa yang kamu kerjakan di atas dunia,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Setiu kali ke-39 di Dewan Luqmanul Hakim, Guntung Luar, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan menambah, untuk berada di landasan istiqamah setiap ahli harus tenang dalam menyampaikan dakwah walaupun tidak diterima oleh orang selain daripada sentiasa berani mempertahankan dasar parti.

Sementara itu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir terus diberi mandat untuk menerajui PAS kawasan itu untuk sesi 2017-2019 sebagai Yang Dipertua apabila diisytihar menang tanpa bertanding.

Seramai 403 orang perwakilan telah memilih Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Setiu dengan Dr Azman Ibrahim mengekalkan jawatan Timbalan Yang Dipertua, sementara Naib Yang Dipertua disandang oleh Ustaz Mohamad Nazari Alias dan Ketua Urusan Ulamak dijawat oleh Ustaz Mohd Pauzi Muda.

Turut hadir mewakili Badan Perhubungan PAS Terengganu ialah penolong setiausaha, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

More Articles ...