SEKALI lagi semalam, cubaan meracuni masyarakat bahawa PAS seumpama Taliban dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Setelah sekian lama doktrin tersebut ditanam namun tidak berjaya, ia dimainkan sekali lagi di saat semakin hampir Pilihan Raya Umum sebagai kaedah untuk menjauhkan masyarakat dari PAS.

Apabila berbicara mengenai Taliban dan mahu membuat persamaan terhadap PAS, perlu terlebih dahulu membuat perbandingannya. Terutama dari segi sosio politik, budaya, gaya pemerintahan serta struktur pemerintahan sama ada sebelum dan semasa pemerintahan Taliban itu sendiri. Namun hakikatnya ia sama sekali tidak serupa seperti yang di doktrin oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pemerintahan Taliban

Pemerintahan Taliban siapa pun tidak dapat pastikan bagaimana ia beroperasi secara tepat. Namun seperti banyak kajian dan laporan yang di lakukan, pemerintahan Taliban ditakrifkan oleh Barat sebagai "Commander of Faithful" yang tidak sama seperti dengan dokongan PAS mahupun apa lakukan di Kelantan sekarang.

Adapun terma "Commander of Faithful" itu di takrifkan sama dengan Amirul Mukminin seperti gaya pemerintahan Khalifah Islam terdahulu. Hakikatnya ia langsung tidak sama dengan zaman pemerintahan Khalifah Islam terdahulu. Ini kerana kaedah pemerintahan Taliban hanya bersandarkan kepada seorang pemerintah yang membuat semua keputusan dan wajib di patuhi.

Contoh pemerintahan PAS paling jelas ialah Kelantan yang diperintah PAS sejak 1990 dan PAS secara jelas mengangkat serta mengikuti sistem yang ada sekarang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Di Kelantan, PAS tidak pernah mendiskriminasi mana-mana pihak, bangsa, kaum mahupun agama.

PAS mendokong sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, menerima kepelbagaian budaya dan kaum serta tidak pernah menafikan hak mahupun keperluan orang bukan Islam mengamalkan agama dan budaya masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Sekali lagi jelas ia adalah tohmahan terhadap PAS dengan mereka cereka yang tidak benar dengan tujuan untuk memburuk-burukkan PAS.

Dua modul kerajaan

Bagaimana boleh di tafsir atau dikatakan Taliban mengamalkan dua modul kerajaan sedangkan ia kabur dan menjadi kemusykilan dari mana sumber yang diambil? Walaupun ketika pemerintahan Taliban di Afghanistan terdapat struktur pemerintahan seperti menteri dan sebagainya, jelas sama sekali ia jauh berlawanan dengan sikap, pegangan serta dokongan PAS terhadap sistem pemerintahan dan Perlembagaan Negara.

Apa pun ingin digambarkan terhadap Taliban, ia langsung tiada bersamaan dengan apa yang ada mahupun akan berlaku di Malaysia. Maka gambaran bahawa PAS mengamalkan dua modul kerajaan atau mahu mengamalkannya adalah dusta semata-mata.

Digambarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bahawa Taliban ataupun pemerintahan Khalifah Islam zaman dahulu 'menginstitusi pembunuhan' hingga yang melawan arus di hukum bughah, adakah ia benar ataupun khabar dusta semata-mata?

Taliban biarlah, itu soal dia dan langsung tiada kaitan namun bila menyentuh sistem Khalifah Islam terdahulu, pihak yang tidak bertanggungjawab mungkin lupa atau pun buta sejarah barangkali. Mereka lupa Kerajaan Rom, Kerajaan Byzantine dan lain-lain kerajaan besar dahulu, apakah yang mereka lakukan jika ada negeri, kumpulan atau orang perseorangan yang berpaling tadah dari mereka, tidakkah di takrif derhaka dan di hukum bunuh serta di perangi?

Buta penglihatan tidak mengapa namun buta hati sedikit pun tidak berguna!

Bukan Islam hanya eksekutif

Sekali lagi bagaimana pihak-pihak ini mengetahui bahawa Taliban meminggirkan bukan Islam ketika memerintah Afghanistan lalu membuat persamaan terhadap PAS? Jika tidak di teliti, kita akan terpedaya selama-lamanya.

Di Afghanistan 99 peratus penduduknya beragama Islam, namun ada juga kajian yang dijalankan mendapati hampir keseluruhan penduduk Aghanistan beragama Islam. Etnik Pashtun adalah kaum majoriti di Afghanistan sebanyak 43 peratus, di ikuti oleh Tajik sebanyak 27 peratus, Uzbek 9 peratus, Hazara 8 peratus, Aimaq 4 peratus, Turkmen 3 peratus dan lain-lain etnik 5 peratus.

Hampir 84 peratus bermazhab Sunni dan 15 peratus bermazhab Syiah. Hanya terdapat sebilangan kecil sahaja Yahudi, Sikh, Parsi dan Hindu di bandar terutamanya Kabul dan Kandahar. Sekali lagi perlu di ketahui bagaimana sosio politik Afghanistan berpaksi sejak dahulu serta peranan Loya Jirga dalam struktur masyarakat Afghanistan yang menjadi pegangan majoriti rakyat Afghanistan sehingga kini.

Loya Jirga ialah sistem diguna pakai di Afghanistan sejak tahun 1747 untuk memerintah di mana ketika itu semua etnik dan puak yang ada di Afghanistan berkumpul di Kandahar untuk melantik seorang Raja. Loya Jirga atau 'Grand Council' ialah sistem di mana semua etnik dan puak menghantar wakil untuk menduduki Loya Jirga yang mana terdapat hampir 2500 wakil dari 17 daerah.

Jika dikaji daripada maklumat di atas, kita akan menjadi musykil bagaimana dikata bukan Islam di Afghanistan dipinggirkan ketika Taliban memerintah. Kerana adapun Taliban memerintah dengan seorang pemerintah mutlak atau mengikut sistem Loya Jirga yang mendominasi Aghanistan sejak sekian lama, kita dapati memang tidak akan ada bukan Islam dalam pemerintahan Afghanistan. Baik Taliban atau bukan yang memerintah disebabkan struktur sosio politik Afghanistan itu sendiri.

Jadi bagaimana pihak-pihak tidak bertanggungjawab boleh membuat andaian salah mengenai Afghanistan tanpa mengetahui keadaan di Afghanistan dan sosio politik mereka? Lebih jijik, mereka membuat persamaan yang langsung tidak lojik dan masuk akal dengan PAS. Jelas sekali, ia muslihat dan tipu daya yang kotor untuk mendoktrin masyarakat dengan memburukkan PAS sedemikain rupa.

PAS pegang teguh Perlembagaan

Sekali lagi, PAS jelas berpegang teguh dengan Perlembagaan Persekutuan, berpegang kepada sistem Demokrasi Berparlimen serta Raja Berperlembagaan. PAS sejak awal lagi menyertai Pilihan Raya Umum sebelum wujud mana-mana parti 'pucuk muda' yang ada sekarang. Modul yang paling baik untuk dijadikan contoh ialah Kelantan yang sekian lama diperintah PAS.

Maka untuk mengaitkan PAS dengan gaya pemerintahan Taliban adalah sesuatu yang tidak masuk akal serta berniat jahat. Sudahlah berkaitan Taliban pun tidak betul dan benar, banyak persepsi dan rekaan dari fakta lalu mahu dikaitan PAS dengan cerita murah sebegitu, cukup sedih dengan permainan kotor pihak sebegitu.

Jika mahu menang pilihan raya dan mengalahkan parti lain, buatlah cara bermaruah dan profesional, bukan dengan cerita dongeng yang cukup murah dan tragis. Ia cukup melambangkan betapa ceteknya pemikiran mereka dan rendahnya mentaliti mereka, inikah orang-orang yang akan kita pilih untuk memimpin kita? Usah mudah tertipu, pilih pemimpin sebenar, bukan yang membuat cereka dan berpersepsi seburuk rupa kerana kelak kita dan negara binasa dan huru hara. -HARAKAHDAILY 7/2/2018

SYAIFUL HIZAM
Pemerhati Politik

PAS kesal kenyataan Presiden diputar belit oleh The Malaysian Insight dan diulas oleh para pimpinan politik berdasarkan kenyataan yang diselewengkan itu. 
 
Wartawan yang hadir mungkin tidak memahami maksud penggunaan istilah 'Wazaratul Tanfiz' dan 'Wazaratul Tafwid' yang digunakan oleh Presiden atau sengaja memutar belit demi hasrat melaga-lagakan orang ramai. Tindakan tidak bertanggungjawab ini sangat dikesalkan.
 
Ucapan Presiden PAS bahawa dalam urus tadbir negara berdasarkan prinsip Islam jauh lebih adil kepada semua pihak berbanding sistem politik yang dilaksanakan di Barat seperti apabila parti Demokrat yang menang maka tidak akan ada kabinat dari parti Republikan. Begitu juga sebaliknya. 
 
Namun dalam sistem pemerintahan Islam, orang bukan Islam boleh dilantik menjadi menteri kabinet dan turut terlibat dalam melaksanakan keputusan kerajaan. 
 
Wazaratul Tanfiz ialah satu istilah dimana sesorang itu boleh membuat keputusan mutlak tanpa persetujuan orang lain. Dalam hal ini pembuat dasar yang sebegini mestilah terdiri dari penganut agama negara (Islam) kerana tidak mungkin orang bukan Islam boleh membuat keputusan berhubung dasar dan pengamalan Islam. Kerana ianya melibatkan soal hukum halal dan haram, dosa dan pahala serta mesti merujuk kepada sumber utama Islam iaitu al Quran dan Hadis. Adalah tidak masuk akal sama sekali sekiranya kementerian yang menjaga hal ehwal agama Islam diberikan kepada bukan orang Islam untuk menguruskannya. 
 
Manakala Wazaratul Tafwid ialah badan yang tiada kuasa mutlak dalam memutus sesuatu perkara dan terikat dengan keputusan kabinet. Maka ianya tidak terikat dengan syarat sebagaimana Wazaratul Tanfiz. Dengan kata lain ia boleh dianggotai oleh sesiapa sahaja rakyat yang mempunyai kebolehan dan kemampuan, termasuk menjadi menteri, Timbalan Menteri dan lain-lain jawatan. 
 
Dalam konteks negara Malaysia  hanya Perdana Menteri yang mempunyai hak sebagai Wazaratul Tanfiz, manakala para menteri adalah termasuk dalam kategori Wazaratul Tafwid yang terikat dengan keputusan mesyuarat kabinet dan keputusan Perdana Menteri.
 
Berikut ialah transkrip dialog Presiden PAS ketika berdialog di Pulau Pinang bersama NGO India pada 4 Februari yang lalu:
 
"Islam membenarkan kabinet - menteri - exco dari kalangan bukan Islam. Ini berbeza dengan demokrasi Barat. Kalau di Barat contohnya di Amerika, jika parti Democrat yang menang, Presiden Demokrat, menteri kabinet Demokrat, ketua jabatan semua Demokrat. Apabila Republican yang menang, semuanya Republican. Kalau di England, Liberal Party yang menang, semua Liberal party (yang menjawat) kecuali raja yang tak boleh dipecat kerana raja berpelembagaan.
 
"Kalau Islam memerintah, Islam membahagikan kementerian - ada dua - iaitu Wazaratul Tanfiz dan kedua Wazaratul Tafwid. Wazaratul Tanfiz ialah kementerian yang boleh membuat polisi dan dasar negara. Inilah mesti yang menganut ideologi dan akidah negara. Dalam konteks negara moden, tidak ada individu tapi jemaah menteri yang menentukan dasar tetapi melantik menteri yang eksekutif untuk mengendalikan urusan dibenarkan orang yang bukan Islam mengikut kepakaran masing-masing. Malah Islam membenarkan kerajaan teknokrat, yang bukan ahli parlimen tapi pakar boleh menjadi menteri kabinet. Ini dalam Islam - kerajaan teknokrat." - Presiden PAS
 
Apa yang dikesali, wartawan The Malaysian Insight telah memetik kata-kata Presiden PAS dalam bentuk sedemikian yang bukan sahaja jauh menyimpang daripada kata-kata sebenar Presiden PAS, malah direka-rekanya sendiri.
 
"Jika PAS memerintah, ia akan terbahagi kepada dua - (satu), Kabinet yang buat keputusan tentang dasar negara. Ini perlu terdiri daripada mereka yang memeluk ideologi dan kepercayaan nasional. Kabinet itu akan melantik Kabinet Eksekutif yang akan melaksanakan dasar dan ahlinya boleh terdiri daripada orang bukan Islam, dilantik berdasarkan kepakaran mereka." - Petikan oleh wartawan The Malaysian Insight Chan Kok Leong.
 
Tindakan menggambarkan wujudnya dua kabinet adalah jelas berniat jahat dan merosakkan prefesionalisma kewartawanan. Apa yang lebih mendukacitakan ialah tindakan pengkritik tanpa merujuk dan memahami ucapan sebenar Presiden PAS yang dapat dirujuk dalam pelbagai saluran media yang ada. Jika hendak dirumuskan dalam bahasa Inggeris: "The cabinet envisaged by PAS will be comprised of Muslims who will make ideological decisions and also non-Muslims who can be like technocrats." 
 
Pendeknya, Presiden PAS tidak pernah mencadangkan dua kabinet. Oleh itu, laporan The Malaysian Insight sebegini boleh dikategorikan sebagai bentuk berita palsu yang perlu ditolak. Sehubungan itu PAS mendesak agar setiap maklumat yang diterima diselidiki terlebih dahulu sebelum menyebar dan membuat kenyataan menentangnya.
 
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
6 Februari 2018 - HARAKAHDAILY 6/2/2018

MEDIA mempunyai peranan yang penting kerana ia merupakan medium penyebaran maklumat yang mampu membentuk pemikiran masyarakat. Ia boleh jadi positif dan boleh juga jadi negatif. Ia boleh memutihkan yang kotor dan boleh menghitamkan yang suci.
 
Saban hari, PAS senantiasa diserang daripada segenap sudut dan penjuru. Antara yang galak menyiar cereka fitnah dan berita spin terhadap PAS ialah portal berita web yang pro Pakatan Harapan (PH). Lihatlah teknik pemberitaan di portal web Malaysiakini, The Malaysian Insight, The Malaymail Online dan Free Malaysia Today. 
 
Hampir sama sahaja, semua portal utama ini sememangnya menjadikan PAS sebagai sasaran utama mereka. Kenyataan Tuan Guru Presiden PAS memang dinantikan oleh mereka kerana ia boleh diputar sesedap rasa agar persepsi negatif terhadap PAS terpasak di minda pembaca awam.
 
Di samping itu, institusi yang berkait dengan Islam seperti JAKIM, Mufti, Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri turut menjadi mangsa sasaran serangan mereka yang berideologikan liberal dan anti proses Islamisasi.
 
Oleh sebab PAS tidak bersama PH, media pro PH menjadikan PAS sebagai musuh yang sebaris dengan Umno-BN. Oh, mungkin tuan empunya portal media pro PH ini sudah berkursus dan mendapat latihan daripada pemilik Utusan, Berita Harian, RTM dan TV3 yang sememangnya terbukti berkepakaran dalam membuat berita memburukkan pembangkang dan menaikkan imej Kerajaan BN.
 
Terbaru, pada Ahad lepas Tuan Guru Presiden PAS mengadakan sesi dialog terbuka dengan NGO India di Pulau Pinang. Beliau turut mengulas mengenai idea Kerajaan Teknokrat iaitu mereka yang bukan Ahli Parlimen tapi pakar boleh menjadi Menteri Kabinet. Tuan Guru turut menyebut berkenaan konsep Islam yang membahagikan kementerian, kepada dua iaitu wazaratul tanfiz dan wazaratul tafwid.
 
Namun, media The Malaysian Insight (TMI) sengaja memutar-belit apa yang Tuan Guru Presiden PAS sebut dengan menyiarkan berita yang bertajuk "Muslims to draft policies, non-Muslims to implement them, under PAS rule" dan "Bolehkah PAS tadbir Malaysia ikut garis kaum dan agama?".
 
Rentetan daripada berita spin itu, Lim Guan Eng pun bersuara membantah dengan menuduh PAS mahu menjadikan orang Islam sebagai tauke manakala orang bukan Islam sebagai kuli. Ustaz Wan Ji PKR yang merupakan budak suruhan Guan Eng pula menuduh idea PAS itu bermodelkan pemerintahan Taliban. Apa jua skrip yang Tetuan DAP sebut, itulah yang akan dipertahankan oleh khadamnya yang berbayar.
 
TMI meneruskan agenda jahat tersebut dengan menyiarkan pula 
berita bertajuk; "Lawmakers denounce Hadi’s ‘dangerous’ two-cabinet plan for Malaysia", "Hadi’s two-tier cabinet unrealistic, restricts non-Muslims, say analysts" dan "Hadi’s two-cabinet idea unIslamic and discriminatory, observers say".
 
Lihat, modus operandi perancangan mereka. Buat berita spin dan palsu, kemudian minta pemimpin PH dan penganalisis pro PH respon untuk menambah perisa menyerang PAS.
 
Pada awal pagi ini, lidah rasmi PAS portal web Harakahdaily menyiarkan berita yang bertajuk "Bukan Dua Kabinet" bagi memperjelaskan apa yang sebenarnya diucapkan oleh Tuan Guru Presiden PAS.
 
Walaupun sudah diperjelaskan dengan sedemikian rupa, portal TMI ini dengan angkuhnya enggan mengaku kesilapan. Mereka terbitkan pula berita yang bertajuk "Salah Petik atau Suara Hati Hadi". Sungguh biadab TMI ini. Siapakah gerangan editor TMI yang sering menerbitkan berita tetapi merahsiakan nama wartawan yang menulisnya. Bukankah itu pengecut dan tidak bertanggungjawab namanya.?
 
Berita palsu TMI ini turut ditegur oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim yang menyiarkan kenyataan media bertajuk "Berita 2 kabinet ialah berita palsu yang perlu ditolak". Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Ustaz Nasrudin juga menerbitkan kenyataan media yang bertajuk "Hayati Maksud Sebenar Cadangan Kerajaan Teknokrat".
 
Pada zaman perang media moden ini, betapa pentingnya kita semua menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum terlalu cepat mempercayai dan menyebarnya. Kita usahlah terikut rentak musuh dan terjerat dengan perangkap mereka. 
 
Jangan begitu cepat membuat kesimpulan dengan hanya sekadar membaca tajuk berita sahaja tanpa membaca isi keseluruhannya. Dalam keadaan sekarang, usahlah kita bermimpi untuk melihat berita yang betul dan memuji PAS disiarkan oleh portal Malaysiakini, The Malaysian Insight, The Malaymail Online dan Free Malaysia Today. 
 
Kitalah yang sepatutnya berperanan di segenap lapangan untuk memperjelaskan apa yang kabur dan menerangkan apa yang benar apabila sesuatu fitnah tersebar.
 
Catatan oleh:
SYED AHMAD FADHLI
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
06 Februari 2018 - HARAKAHDAILY 6/2/2018

PADAHAL bekas pemimpin Umno Marang yang sekarang menjadi Pengerusi PPBM Marang dah mengaku bahawa dia terlibat dalam lakonan halau budak Tadika zaman PAS perintah Terengganu dulu.

Kita orang politik tak pelik dengan kerja saraf musuh. Semasa ceramah di Sabak Bernam minggu lepas, pengerusi majlis ceramah ialah seorang bekas petugas Umno yang dah menyertai PAS.

Dia cerita, biasa saja di musim pilihan raya petugas Umno sendiri yang turunkan bendera Umno dan bakar pos pilihan raya Umno dengan tujuan nak memburukkan PAS kononnya orang PAS bertindak ganas. Tambahan pula lepas tu boleh dapat upah untuk pasang bendera dan buat pos semula. Jadi dua kali untung!

"Serik doh weehhh!! Kena sekali padan doh! Biarlah Umno dulu kini dan selamanya." Inilah ungkapan biasa penyokong tegar Umno Terengganu. Bila kita tanya, apa yang PAS dah buat sampai jadi serik? Dia jawab, "Apa kerja orang PAS halau budak Tadika!"

Kalau kezaliman Umno runtuhkan rumah rakyat yang dibina atas tanah kurnian Kerajaan PAS Terengganu selepas mereka kembali berkuasa pada 2004, ini cerita betul dan bukannya rekaan. Nak dengar kisah tragis ini, silakan pergi ke Pengkalan Merbau Langkap di Setiu.

Umno runtuhkan masjid juga cerita betul dan bukannya lakonan. Nak tahu cerita, pergilah ke Kampung Bujal, Kemaman.

Umno ambil tanah pertanian tempat rakyat mencari sesuap rezeki yang diagihkan oleh Kerajaan PAS Terengganu untuk diberi kepada pemaju projek udang, ini cerita betul. Nak tahu silakan pergi ke Kampung Banggol Setiu.

Penyokong Umno tegar bahagia hidup dalam ilusi ciptaan mereka sendiri. Ianya terus menjadi mimpi yang menganggu tidur mereka. Padahal mereka yang tidur tak basuh kaki sebab itu mimpi mengarut macam-macam.

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
HARAKAHDAILY 6/2/2018

PELBAGAI salah faham dan penyelewengan fakta dihamburkan terhadap PAS berkenaan cadangan untuk memperkenalkan Kerajaan Teknokrat di Malaysia. 
 
Sebahagian pihak memberikan tafsiran sebagai "pembentukan kerajaan 2 kabinet" yang merupakan suatu bentuk tafsiran yang terlalu lemah, semberono dan tidak memahami maksud sebenar cadangan kerajaan teknokrat.
 
PAS tegas menolak segala bentuk sistem kasta mahupun kerajaan teokrasi apatah lagi kerajaan diktator dalam sistem pemerintahannya. 
 
Malah, cadangan Kerajaan Teknokrat tidak memaksudkan begitu sebaliknya ia adalah langkah penyelesaian jangka panjang yang diketengahkan bagi mengembalikan semula makna serta tujuan sebenar demokrasi.
 
Cadangan Kerajaan Teknokrat di Malaysia bertujuan menggabungjalinkan kelompok-kelompok pakar dalam bidang masing-masing serta mereka yang dipilih melalui sistem pilihan raya untuk duduk semeja dan berbincang bagi membangunkan negara bersama-sama. 
 
Kelompok pakar ini akan diposisi pada bahagian kumpulan utama jentera pelaksana dasar dan polisi kerajaan disamping bertanggungjawab mengendalikan urusan berdasarkan kepakaran yang mereka miliki. 
 
Itu maksud sebenar yang disampaikan oleh Presiden PAS yang sengaja diputarbelit oleh pihak yang berkepentingan. Sampai bila harus perkara (fitnah dan penyelewengan fakta) ini akan terus berlaku di dalam negara?
 
Cadangan tersebut tidak sama sekali mewujudkan sistem kasta seperti yang didakwa oleh sesetengah pemimpin parti politik yang hanya sekadar mengutamakan kepentingan politik berbanding menghasilkan kaedah terbaik sebagai jalan keluar terhadap krisis politik yang semakin buntu dan akhirnya merugikan rakyat.
 
Konsep Kerajaan Teknokrat mampu mengendurkan ketegangan parti-parti politik di Malaysia yang menyebabkan wujudnya suatu persaingan yang bukan di atas kepentingan rakyat tetapi lebih menjaga “periuk nasi” politik masing-masing. 
 
Tambahan lagi, yang paling mustahak adalah ia juga turut memanfaatkan kepakaran yang dimiliki golongan pakar supaya turut serta memberikan sumbangan ilmu dan kepakaran masing-masing bagi membangunkan negara.
 
PAS mengharapkan agar cadangan Kerajaan Teknokrat ini dibahaskan secara ilmiah dan bukan di atas sentimen yang akhirnya merugikan rakyat. 
 
"Sejahtera Bersama Islam"
 
NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
20 Jamadil Awwal 1439 | 06 Feb 2018 - HARAKAHDAILY 6/2/2018

MENONTON Sidang Media Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) oleh Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, tengahari tadi, 6 Februari 2018, menampakkan dengan nyata betapa PH tidak ada komitmen jelas untuk mendaulatkan Islam di Malaysia.
 
Di dalam sidang media ini, Tun Dr Mahathir ditanya oleh seorang wartawan mengenai kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah dalam portal berita Free Malaysia Today 
pada 1 Februari lalu bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak berperlembagaan.
 
Disebabkan JAKIM ditubuhkan sewaktu Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia, wartawan itu bertanya, “apa pendirian PH dengan JAKIM, adakah sekiranya PH memerintah JAKIM itu diperlukan lagi pada pengamatan Tun?”
 
Agak mengejutkan bila Tun Dr Mahathir gagal mempertahankan JAKIM yang ditubuhkan oleh beliau sendiri dengan hanya menyebut: “Itu (sama ada JAKIM itu diperlukan lagi) terpulang kepada kita kalau kita jadi kerajaanlah, nothing is permanent (tiada yang kekal)”.
 
Malah jawapan Tun Dr Mahathir bahawa “nothing is permanent (tiada yang kekal)” dalam konteks kewujudan JAKIM ini boleh ditafsirkan sebagai membawa maksud bahawa beliau sendiri pun boleh bersetuju dengan cadangan beberapa pihak supaya JAKIM dihapuskan.
 
Selain itu, turut ditanya adalah dakwaan Tengku Razaleigh bahawa penubuhan JAKIM ini adalah antara usaha Tun Dr Mahathir “untuk menjadikan Umno lebih Islam daripada PAS” di mana ini dinafikan oleh beliau yang menyatakan “kita buat yang ini bukan kerana PAS”.
 
Kata Tun Dr Mahathir: “Kita buat kerana kita nak dekatkan kerajaan dengan ajaran-ajaran Islam. Bukan kita nak ambik semua masuk, cuma so that what we do is not in contradiction with the teachings of Islam (supaya apa kita buat tidak bertentangan dengan ajaran Islam)”.
 
Tidak syak lagi, kenyataan Tun Dr Mahathir ini mengesahkan bahawa pendekatan Islam beliau tidak selaras dengan kesyumulan Islam seperti yang tertera dalam Ayat 208 Surah al-Baqarah, “Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan”.
 
Kegagalan Tun Dr Mahathir mempertahankan kewujudan institusi Islam seperti JAKIM yang yang ditubuhkan oleh beliau sendiri ini sebenarnya tidak begitu sukar untuk difahami jika kita teliti susur-galur kewujudan cadangan beberapa pihak supaya JAKIM dihapuskan.
 
Mengikut rekod, orang yang pertama mempersoalkan kewujudan JAKIM ini adalah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP merangkap Ahli Parlimen Bukit Bendera, iaitu Zairil Khir Johari, yang berbuat demikian dalam portal berita Malay Mail Online pada 27 Jun 2015.
 
Kata Zairil Khir Johari: “Why do we even have JAKIM (Malaysia’s Federal Department of Islamic Development) when Islam is a state issue? That’s a fundamental question because the authority of JAKIM appears to go against the 9th schedule of the Federal Constitution.”
 
Ini diikuti oleh satu kenyataan lain oleh Ahli G25, Tawfik Tun Dr Ismail, dalam portal berita The Malaysian Insider pada 9 November 2015 yang mencadangkan JAKIM dihapuskan dengan berkata: “I think JAKIM should be abolished. I don't think JAKIM should exist.”
 
Menariknya, kedua-dua kenyataan Zairil dan Tawfik ini dikongsi oleh Penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, di dalam facebook dan blog beliau yang membawa maksud cadangan penghapusan JAKIM ini turut dipersetujui oleh beliau.
 
Cadangan Tawfik ini didokong oleh Jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin, melalui portal berita The Star pada 24 November 2015, malah oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Tariq Ismail, melalui portal berita The Rakyat Post pada 11 November 2015.
 
Selepas inilah baru cadangan penghapusan JAKIM ini disahut oleh individu-individu lain seperti aktivis-aktivis hak asasi manusia pro-PH, termasuk bekas Timbalan Pengerusi BERSIH, Sarajun Hoda Hassan, dan peguam kontroversi, Siti Zabedah Kasim.
 
Berdasarkan susur-galur kewujudan cadangan supaya JAKIM dihapuskan, yang dimulai dan didokongi oleh pemimpin DAP, malah oleh pemimpin PPBM sendiri, selain oleh individu-individu yang menyokong PH, inilah kenyataan Tun Dr Mahathir perlu dilihat.
 
Jika seseorang pemimpin itu mempunyai harga diri maka sudah tentulah beliau akan mempertahankan secara mati-matian apa-apa inisiatif yang dibuat oleh beliau yang beliau fikirkan betul, apatah lagi di dalam mewujudkan institusi Islam seperti JAKIM ini.
 
Malangnya, demi undi dan demi kuasa, Tun Dr Mahathir tidak ragu-ragu untuk membiarkan legasi beliau dalam soal penubuhan JAKIM ini dilanyak semahu-mahunya, sekali gus menjadikan komitmen Pakatan Harapan untuk mendaulatkan Islam di Malaysia diragui. - HARAKAHDAILY 6/2/2018

KUALA KEDAH: Segala keputusan dan ketetapan yang diambil oleh PAS, tidak pernah melanggar keputusan Majlis Syura Ulama, bahkan ia diakur sepenuhnya Tuan Guru Presiden, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Demikian antara ditegaskan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Ahmad Ali ketika merasmikan Pelancaran Assabiqun Peringkat Kawasan Kuala Kedah di Dewan Al-Amin, Telok Bagan, di sini kelmarin.

Menurutnya, Tuan Guru Abdul Hadi tidak pernah membelakangi keputusan Majlis Syura Ulama, malah jauh sekali membuat pendirian sendiri.

"Kepada sesiapa yang sering memfitnah beliau kononnya dia (Presiden PAS) membuat keputusan parti atas kehendaknya sendiri atau melanggari syarak. Tunjuk keputusan yang mana satu dan bila beliau mengeluarkan kenyataaan itu," cabar beliau.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada 'orang-orang lama' kerana masih istiqamah bersama PAS walau ada yang kecundang akibat termakan hasutan musuh politik parti berkenaan.

Justeru itu, Ustaz Ahmad juga menyentuh bahawa demokrasi di dalam PAS hidup subur dan tidak timbul ahli bawahan tidak boleh menegur pemimpin atasan.

Namun, kritikan mahupun teguran perlu dibuat dengan cara yang betul dan berakhlak.

"Jangan kita mudah terpedaya dan terikut-ikut dengan rentak musuh Islam yang sememangnya mahu melihat Islam jatuh dan kucar-kacir.

"Islam mengajar kita, selagi mana pemimpin tidak melakukan perkara yang melanggar syarak, ia mesti dipatuhi serta memberi wala' kepadanya," tegas beliau lagi.

Oleh itu, haram sama sekali menubuhkah jemaah Islam yang lain hanya bersebabkan tidak puas hati terhadap individu tertentu, walhal jemaah yang sedia sudah lengkap dan sempurna sebagaimana dikehendaki Islam.-HARAKAHDAILY 6/2/2018

More Articles ...