MAKKAH, tanah suci yang terletaknya Baitulllah adalah bumi dicinta oleh Rasulullah S.A.W. Di sinilah Baginda S.A.W dilahirkan dan diangkat menjadi Rasulullah. Setelah 13 tahun berdakwah, dan dakwahnya ditolak oleh orang Makkah, Nabi S.A.W telah berhijrah ke Madinah dalam tahun 622M, tetapi Baginda S.A.W tetap berdoa supaya Baitullah menjadi kiblat bagi umat Islam. Dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah pada 6H, Nabi S.A.W telah disekat daripada memasuki Makkah, maka berlaku gencatan senjata selama 10 tahun melalui perjanjian ini.

Perjanjian Hudaibiyah yang mengikat umat Islam dan sekutu untuk tidak berperang dengan kaum Musyrikin Makkah dan sekutu mereka, ternyata akhirnya dicerobohi oleh Bani Bakr (sekutu Quraisy) yang menyerang Bani Khuzaah (sekutu Islam) yang merosakkan perjanjian ini. Bani Khuzaah yang banyak memeluk Islam telah diserang oleh Bani Bakr dengan dibantu oleh kaum Quraisy Makkah. Ini merupakan pengkhianatan terhadap Perjanjian Hudaibiyah. Usaha pemimpin Makkah, Abu Sufian pergi Madinah untuk memperkukuhkan semula perjanjian telah gagal, yang akhirnya membuka ruang untuk Islam menguasai Makkah.

Bergerak dari Madinah: Strategi Pembukaan Makkah

Nabi S.A.W telah menuntut kepada Abu Sufian supaya Quraisy membayar diyat di atas pembunuhan 20 orang Bani Khuzaah, Quraisy memutuskan hubungan dengan Bani Bakr dan Perjanjian Hudaibiyah terbatal. Kegagalan rundingan Abu Sufian lantaran pengkhianatan orang Quraisy dan Bani Bakr, telah menyebabkan Nabi S.A.W menyusun langkah menuju ke Makkah. Dengan 10,000 tentera, Baginda S.A.W bergerak dari Madinah tanggal 10 Ramadan 8H dan mengambil masa lapan hari untuk tiba di sempadan Makkah. Kota Madinah ditinggalkan kepada Abu Ruhm al-Ghafiri sebagai imam menggantikan Nabi S.A.W.

Sebaik sahaja tiba di perbatasan Makkah di Dzu Tuwa, Nabi S.A.W menyusun pergerakan dengan membentuk empat pasukan yang bergerak dari arah berbeza untuk mengepung Makkah. Khalid al-Walid bergerak dari bahagian Selatan Makkah melalui Kota al-Lith, Zubir al-Awwam memimpin ketumbukkan di Bukit Kada' dan memacak bendera Islam di al-Hajun, Abu Ubadah al-Jarrah pula bergerak bersama pasukannya ke tengah-tengah Kota Makkah, sedang Saad bin Ubadah memimpin pasukan Islam yang masuk dari Barat arah Jeddah. Dengan strategi yang tersusun ini, pada 20 Ramadan 8H, tentera Islam telah berjaya mengepung dan memasuki Kota Makkah tanpa sebarang pertempuran besar. Nabi S.A.W sendiri memasuki Makkah dari al-Hajun dengan diiringi oleh kaum Muhajirin dan Ansar, sebelum mereka bertawaf di Baitullah.

Penguasaan ke atas Makkah: Berakhirnya zaman berhala

Ketika memasuki Makkah, Nabi S.A.W telah menyenaraikan 17 orang yang dikehendaki kerana sangat memusuhi Islam, dan mengarah supaya orang Makkah yang berlindung di Baitullah dan rumah Abu Sufian dibiarkan selamat. Bapa saudara Nabi S.A.W, al-Abbas juga mengisytiharkan ke-Islamannya menjelang Nabi S.A.W masuk ke kota ini. Turut berbuat demikian ialah pemimpin Makkah sendiri, Abu Sufian bin Harb yang memeluk Islam pada hari yang sama di hadapan al-Abbas. Mereka kemudiannya menyaksikan tentera Islam memasuki dan menguasai Kota Makkah sepenuhnya menjelang 21 Ramadan 8H. Ketika serangan dibuat oleh Ikrimah bin Abu Jahal dan Sofwan bin Umayyah ke atas pasukan Khalid al-Walid, 28 orang Musyrikin berjaya dibunuh.

Setelah keadaan Makkah menjadi tenang dengan kejayaan Islam menguasainya dan peng-Islaman Abu Sufian, maka Rasulullah S.A.W mula bertindak untuk meruntuh ke semua 360 berhala di kawasan Baitullah dan juga menghancurkan berhala Ibrahim dan Ismail yang berada dalam Kaabah. Baginda S.A.W memerintahkan supaya Khalid al-Walid meruntuhkan tiga berhala utama Manat, Latta dan Uzza pada 25 Ramadan 8H. Hal ini sekali gus menjadikan ia penguasaan penuh Islam ke atas bumi Makkah dan menamatkan penyembahan berhala di tanah suci itu.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
20 Ramadan 1439 / 5 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 5/6/2018

PASCA PRU-14 berlakunya perubahan politik negara apabila Pakatan Harapan berjaya mengalahkan Barisan Nasional dan membentuk Kerajaan Persekutuan. Manakala PAS berjaya menawan kembali Terengganu dan mengekalkan Kelantan. Maka timbul desas-desus di kalangan rakyat tentang hubungan PAS dengan Kerajaan Persekutuan.

Maka saya jelaskan secara ringkas bagi memahami pendekatan PAS dalam membina hubungan dengan Kerajaan Persekutuan, berasaskan kepada 4 konsep:

1. Mengamalkan konsep Ta'awun Siyasi. PAS akan menyokong segala dasar dan usaha baik yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan, pada masa sama akan menentang segala dasar dan usaha yang membawa ke arah keburukan dan kejahatan.

2. Muwajayah Silmiyyah. PAS mendahulukan jalan damai dengan menghormati sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Sebarang tindakan menghuru-harakan dan mengkucar-kacirkan keamanan negara tidak akan disokong.

3. Menghormati konsep federalisme. Kerajaan Persekutuan perlu menghormati hak demokrasi rakyat yang memilih kerajaan negeri selain Pakatan Harapan. Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan PAS akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan demi kepentingan rakyat dan negeri seluruhnya.

4. Konsep kerajaan memerintah semua rakyat. Bagi pihak kerajaan negeri mahupun pusat perlu mengasihi dan menjaga rakyat tanpa mengira latar belakang kerana kerajaan memerintah rakyat pelbagai kaum, bangsa dan fahaman politik, bukan hanya ahli partinya sahaja.

Sekian, wallahu'alam.

Abdul Malik Ab Razak
Setiausaha Akhbar Presiden PAS

ALLAH S.W.T memberitakan dalam al-Quran berkaitan ayat-ayat supaya manusia mengkaji dan meneliti fenomena alam agar mereka memahami serta mencapai ilmu pengetahuan tinggi. Allah menjadikan bayang-bayang yang dapat dilihat oleh manusia sebenarnya mempunyai rahsia dan hikmah tertentu. Firman Allah S.W.T:

أَلَمْ تَرَ إِلَىٰ رَبِّكَ كَيْفَ مَدَّ الظِّلَّ وَلَوْ شَاءَ لَجَعَلَهُ سَاكِنًا ثُمَّ جَعَلْنَا الشَّمْسَ عَلَيْهِ دَلِيلًا

"Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? Bagaimana Dia menjadikan bayang-bayang itu terbentang luas dan jika Dia kehendaki tentulah Dia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah). Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan pada bayang-bayang itu."

[al-Furqan: 45]

Bayang-bayang yang terjadi adalah salah satu bentuk nikmat Allah kepada makhluk di bumi. Dengan adanya bayang-bayang, manusia dapat mengambil manfaat mendirikan tempat tinggal bagi mencari keselesaan dan cuaca yang nyaman lagi tenteram.

Bayang-bayang sebenarnya terjadi apabila cahaya terhalang sesuatu benda. Kita tidak dapat bayangkan apa akan terjadi kepada makhluk di dunia ini sekiranya cahaya matahari memancar tanpa terhalang kepada benda lain, manusia dan haiwan pasti akan terdedah kepada kepanasan yang boleh memudaratkan mereka.

Mengikut ahli Sains, bayang-bayang merupakan indikator yang penting dalam kehidupan manusia. Ia tidak akan terjadi sekiranya tidak ada sumber cahaya yang sangat terang. Bayang-bayang sebenarnya dapat dimanfaatkan untuk menentukan arah dan jarak antara dua tempat di permukaan bumi. Seorang Saintis yang dilahirkan sebelum Masihi, Erastothenes pernah menentukan radius planet bumi kira-kira lebih daripada 2,200 tahun silam melalui bayang-bayang.

Selain itu, penggunaan teknik bayang-bayang akibat cahaya matahari adalah mudah dan paling tepat untuk menentukan arah kiblat kerana pada masa tersebut, matahari berada tepat di langit latitud Kaabah. Sekiranya semua orang yang dapat melihat matahari dan menghadapkan wajahnya ke sana pada ketika itu, maka dia telah menghadapkan wajahnya tepat ke kiblat.

Ini dapat dibuktikan juga melalui bayangan sesuatu objek yang tegak lurus di atas tanah yang tidak terlindung, maka bayangan tersebut akan membentuk garis arah ke kiblat. Cara mengukur arah kiblat melalui cara yang dinyatakan di atas adalah lebih tepat dan teliti jika dibandingkan dengan penggunaan teknik kompas.

Sama-samalah kita tafakkur ayat-ayat suci al-Quran.

USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
19 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 4/6/2018

PAS percaya isu pelantikan Peguam Negara yang baru bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai isu yang perlu diberikan perhatian serius selain ditangani dengan penuh bijaksana kerana jawatan terbabit merupakan jawatan tertinggi dalam Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam Badan Perundangan (Judiciary).

PAS akur dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung pelantikan ini, iaitu Perkara 145(1) yang jelas memperuntukkan bahawa Yang DiPertuan Agong hendaklah melantik seorang Peguam Negara atas nasihat Perdana Menteri dalam kalangan seseorang yang berkelayakan untuk dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Berdasarkan peruntukan di atas, sepintas lalu PAS berpandangan orang yang tidak boleh dipertikaikan kelayakannya untuk dilantik sebagai Peguam Negara adalah para Hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat sekarang ini mahu pun mereka yang telah bersara dari jawatan tersebut. Ini memandangkan selain daripada mereka dalam kategori di atas, tiada siapa pun yang boleh dianggap mempunyai segala ciri-ciri yang perlu untuk dilantik sebagai seorang Hakim Mahkamah Persekutuan, sama ada dari sudut pengetahuan undang-undang, pengalaman dalam pelbagai bidang perundangan dan menunjukkan sifat bijaksana serta berintegriti.

Dari segi sejarah pula, setakat ini hanya seorang sahaja peguam yang dilantik terus sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Tun Zaki Tun Azmi pada tahun 2007. Itupun beliau berpengalaman luas dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan selama hampir 30 tahun sebelum menjadi seorang peguam. Mengikut rekod juga, pelantikan beliau telah dibantah termasuk oleh para peguam sehingga turut dibahaskan di Parlimen.

Salah satu peranan penting Peguam Negara adalah memastikan tindakan penyeragaman dan pemurnian perundangan Syariah dapat dilaksanakan secara berkesan dan berdiplomasi tinggi kerana ia turut melibatkan prerogatif Yang DiPertuan Agong serta Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri. Oleh itu Peguam Negara juga mestilah seorang yang memahami dengan tinggi prinsip perundangan Islam selain daripada perundangan Sivil.

PAS berpandangan sesuai dengan perkembangan kesedaran beragama yang sihat dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga di peringkat global, ditambah dengan prinsip Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara kita, amatlah wajar Peguam Negara adalah seorang yang ‘peduli agama dan peduli Raja’.

PAS turut berpandangan sekiranya Peguam Negara seorang yang bukan ‘peduli agama dan peduli Raja’, timbul kebimbangan termasuk dalam apa-apa tindakan perundangan ke atas Raja-raja Melayu di Mahkamah Khas yang memerlukan Persetujuan (consent) Peguam Negara, tidak mengambil kira mudarat besar kepada keyakinan rakyat terhadap institusi DiRaja secara umumnya.

PAS juga berpandangan adalah lebih tertib dan bijaksana sekiranya soal pelantikan Peguam Negara ini dibincangkan secara konsultasi tertutup di antara Perdana Menteri dan Yang DiPertuan Agong bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif serta menimbulkan provokasi yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. Pendedahan kepada umum cadangan tersebut juga sudah pasti meletakkan Yang DiPertuan Agong dalam keadaan yang tidak selesa malah
tertekan.

PAS berharap isu pelantikan Peguam Negara ini tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak sehingga menimbulkan kerugian, keresahan serta krisis yang tidak menguntungkan rakyat dan Negara.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN,
Setiausaha Agung.
Bertarikh: 04 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 4/6/2018

MAJLIS Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) mengucapkan tahniah kepada Tun Dr.Mahathir Mohamad Perdana Menteri Malaysia Baru, serta pasukan kabinet Pakatan Harapan (PH) yang telah memenangi PRU14 2018.

Kemenangan ini adalah mandat rakyat dan kini rakyat menunggu janji manifesto Malaysia Baru yang telah dijanjikan daripada manifesto PH.

2. Walau bagaimana kita dikejutkan dengan cadangan Perdana Menteri dengan persetujuan PH untuk melantik Tommy Thomas (TT) sebagai calun tunggal Peguam Negara (AG).

3. Lebih mengejutkan lagi apabila telah dikeluarkan kenyataan media daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang mengumumkan pada ketika ini, Putrajaya dan Istana Negara belum lagi mencapai persetujuan tentang calun penganti Peguam Negara yang lalu.

4. Akibat daripada situasi ini, telah menimbulkan "keresahan" kepada kebanyakan rakyat dan institusi negara sehingga pelbagai pihak yang mewakili pelbagai institusi, NGO/NGI khususnya ummat Islam sebagai rakyat majoriti dan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan "berasa tidak sewajarnya" Peguam Negara dicalunkan kepada Tommy Thomas yang pernah membuat kenyataan yang mempersoalkan Islam dalam konteks bernegara.

5. Sewajarnya perkara ini perhalusi sebaik baiknya, dengan mengambilkira janji-janji pada petikan buku Harapan PRU14, Pakatan Harapan mukasurat 45 : Janji 11, yang berbunyi; "Kerajaan Pakatan Harapan akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja Berpelembagaan dalam negara kita.".

Maka sewajarnya boleh difahami dalam konteks persetujuan yang belum dicapai diantara Putrajaya dan Istana Negara, merupakan suatu bentuk teguran yang perlu diamati dan dihormati dengan sebaik-baiknya oleh PM dan Kerajaan PH.

6. Situasi ini juga diperkukuhkan oleh kenyataan DS Anwar Ibrahim yang telah bertemu Raja-Raja Melayu yang memberikan keyakinan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan akan menjaga dan menghormati Institusi Raja-Raja Melayu tampa mengikut telunjuk pihak-pihak yang tertentu. Juga akan sentiasa menjaga Agama Islam dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

7. Maka, keputusan persetujuan yang belum dicapai di antara Putrajaya dan Istana adalah perkara penting dan besar yang melibatkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi. Dalam menjalankan tugas Sumpah Yang di-Pertuan Agong Perkara 145(1) dan 145(5) maka pelantikan Peguam Negara sangat memerlukan "kecermatan dan pertimbangan yang sangat halus".

8. Rakyat Malaysia Baru, mengharapkan kemelut di atas dapat diatasi dan diselesaikan dengan penuh berhemah dan hikmah serta penuh kebijaksanaan diantara Kerajaan Pakatan Harapan Putrajaya dan Istana Negara bagi menghormati Islam adalah agama rasmi negara dan Institusi Raja-Raja adalah sebagai payung agama dan negara.Berikan hak rakyat untuk rakyat dan berikan hak Raja-Raja demi agama dan negara.

Mohd Zai Mustafa
Ketua Eksekutif MAPPIM
4 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 4/6/2018

CONSTANTINOPLE adalah sebuah Kota Rom yang didirikan oleh pendiri Empayar Byzantine, Constantine The Great. Ia menjadi Pusat Pemerintah Rom Timur bermazhab Kristian Ortodoks, yang berpisah daripada Rom Barat.

Lokasinya kini di Istanbul, Turki bahagian Eropah. Bahagian Selatan kota ini berada di sebelah laut, di kuala Selat Boshphorus yang menghubungkan Laut Mediterranean dan Laut Kaspia atau Laut Hitam. Bahagian Barat Daya kota itu pula berada di daratan.

Kota ini terkenal dengan keteguhan temboknya. Umat Islam berusaha sejak zaman Saidina Umar al-Khattab untuk membuka kota tersebut. Malangnya ia hanya dapat dibuka pada tahun 1453 Masihi, 847 tahun selepas kewafatan Baginda S.A.W. Constantinople jatuh di tangan Sultan Muhammad al-Fateh daripada Dinasti Uthmaniah.

Umat Islam sangat gigih untuk membuka Kota Constantinople. Mereka berlumba bagi menjadi tentera pembuka kota tersebut ekoran Hadis Nabi S.A.W yang bersabda:

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ فَلَنِعْمَ الْاَمِيرُ اَمِيرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

"Constantinople bakal dibuka. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya."

[HR Ahmad]

Ramai yang tidak mengetahui bahawa kota tersebut bakal dibuka sekali lagi di akhir zaman. Bahkan sebahagian ulamak berpendapat pembukaan yang berlaku di zaman Uthmaniah bukanlah pembukaan yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W. Ia merujuk kepada Hadis Nabi S.A.W:

عُمْرَانُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَرَابُ يَثْرِبَ وَخَرَابُ يَثْرِبَ خُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ وَخُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ فَتْحُ قُسْطَنْطِينِيَّةَ وَفَتْحُ الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ خُرُوجُ الدَّجَّالِ.

"Kepesatan Baitulmaqdis adalah tanda keruntuhan Madinah. Keruntuhan Madinah adalah tanda berlakunya perang besar. Perang besar adalah tanda berlakunya pembukaan Kota Constantinople. Pembukaan Constantinople adalah tanda keluarnya Dajjal."

[HR Abu Daud]

Merujuk kepada Hadis di atas, Nabi S.A.W menyatakan bahawa pembukaan Kota Constantinople akan berlaku selepas tercetusnya Malhamah. Secara lebih tepat, ia akan berlaku selepas pakatan Islam-Rom terputus dan masing-masing kembali berperang sesama sendiri.

Satu lagi sudut yang menarik untuk diperbahaskan adalah mengenai situasi Constantinople hari ini. Bagaimana ia mungkin akan dibuka sedangkan sudah berada di tangan orang Islam?

Terdapat dua pandangan mengenai perkara ini. Pertama, Constantinople akan dibebaskan daripada sistem yang tidak Islamik kepada sistem Islam. Umum mengetahui hari ini perlembagaan Turki berpaksikan ideologi Sekular yang sangat pekat. Walaupun umat Islam membentuk komposisi 90 peratus daripada rakyat Turki, tetapi mereka tidak mampu mempraktiskan Islam secara sepenuhnya kerana kekangan sistem pemerintahan yang ada. Beberapa kali pendekatan Islam cuba untuk diterapkan seperti Sistem Perbankan Islam dan Sistem Pendidikan Islam, namun dihalang oleh Perlembagaan menyebabkan parti pemerintah yang menang pilihan raya digulingkan dan diharamkan, namun mereka masih terus berusaha kerana percaya, Constantinople bakal dibuka jua akhirnya daripada kekangan sistem yang ada.

Menurut pandangan ini, tidak akan berlaku apa-apa perkara besar terhadap keselamatan Turki. Proses pembukaan tersebut berlaku dengan cara yang aman, sama ada melalui proses demokrasi ataupun kebangkitan rakyat yang memaksa pemerintah akur.

Pandangan tanpa perang ini seiring dengan Hadis Nabi S.A.W:

سَمِعْتُمْ بِمَدِينَةٍ جَانِبٌ مِنْهَا فِي الْبَرِّ وَجَانِبٌ مِنْهَا فِي الْبَحْرِ ؟ قَالُوا : نَعَمْ ، يَا رَسُولَ اللهِ . قَالَ : لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَغْزُوَهَا سَبْعُونَ أَلْفًا مِنْ بَنِي إِسْحَاقَ ، فَإِذَا جَاءُوهَا نَزَلُوا ، فَلَمْ يُقَاتِلُوا بِسِلَاحٍ وَلَمْ يَرْمُوا بِسَهْمٍ ، قَالُوا : لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ ، فَيَسْقُطُ أَحَدُ جَانِبَيْهَا الَّذِي فِي الْبَحْرِ ، ثُمَّ يَقُولُوا الثَّانِيَةَ : لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ . فَيَسْقُطُ جَانِبُهَا الْآخَرُ . ثُمَّ يَقُولُوا الثَّالِثَةَ : لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ . فَيُفَرَّجُ لَهُمْ ، فَيَدْخُلُوهَا فَيَغْنَمُوا ، فَبَيْنَمَا هُمْ يَقْتَسِمُونَ الْمَغَانِمَ إِذْ جَاءَهُمُ الصَّرِيخُ ، فَقَالَ : إِنَّ الدَّجَّالَ قَدْ خَرَجَ ، فَيَتْرُكُونَ كُلَّ شَيْءٍ وَيَرْجِعُونَ

"Adakah kamu pernah mendengar tentang sebuah kota sebahagiannya di darat dan sebahagian di laut? Jawab sahabat: Ya. Nabi bersabda: Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah ia diperangi oleh 70000 orang keturunan Nabi Ishak. Apabila mereka mendatangi kota tersebut, tidak berlaku perang dengan senjata mahupun panah. Mereka cuma berkata: LailahaillAllah, maka runtuhlah salah satu sudutnya. Kemudian mereka berkata lagi: LailahaillAllah, maka runtuhlah satu lagi sudutnya. mereka berkata kali ketiga: LailahaillAllah, lalu diberikan kemenangan. Maka mereka masuk dan memperoleh ghanimah. Ketika mereka sebagai membahagikan ghanimah, ketika itulah muncul suara berteriak: Dajjal telah muncul! Menyebabkan mereka meninggalkan semua itu lalu bergegas pulang."

[HR Muslim]

Pandangan kedua pula menjangkakan bahawa Turki bakal berhadapan dengan krisis peperangan. Umum mengetahui bahawa Ankara kini lebih cenderung kepada blok Timur pasca kudeta gagal 2016. Walau bagaimanapun, Turki menjadi negara yang paling dekat dengan rantau kekuasaan Barat. Sekiranya berlaku pertempuran antara blok, Turki akan menjadi negara barisan hadapan dari sudut lokasi. Kedudukannya yang berada di Selat Boshphorus sangat strategik kepada Barat sebagai akses laut ke Heartland, ditambah pula dengan Crimea sudah menjadi wilayah kekuasaan Rusia.

Pandangan kedua ini lebih menepati Hadis Nabi S.A.W yang berikut:
لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَنْزِلَ الرُّومُ بِالْأَعْمَاقِ أَوْ بِدَابِقٍ فَيَخْرُجُ إِلَيْهِمْ جَيْشٌ مِن الْمَدِينَةِ مِنْ خِيَارِ أَهْلِ الْأَرْضِ يَوْمَئِذٍ فَإِذَا تَصَافُّوا قَالَتِ الرُّومُ : خَلُّوا بَيْنَنَا وَبَيْنَ الَّذِينَ سَبَوْا مِنَّا نُقَاتِلْهُمْ . فَيَقُولُ الْمُسْلِمُونَ : لَا وَاللهِ لَا نُخَلِّي بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ إِخْوَانِنَا . فَيُقَاتِلُونَهُمْ فَيَنْهَزِمُ ثُلُثٌ لَا يَتُوبُ اللهُ عَلَيْهِمْ أَبَدًا وَيُقْتَلُ ثُلُثُهُمْ أَفْضَلُ الشُّهَدَاءِ عِنْدَ اللهِ وَيَفْتَتِحُ الثُّلُثُ لَا يُفْتَنُونَ أَبَدًا فَيَفْتَتِحُونَ قُسْطَنْطِينِيَّةَ فَبَيْنَمَا هُمْ يَقْتَسِمُونَ الْغَنَائِمَ قَدْ عَلَّقُوا سُيُوفَهُمْ بِالزَّيْتُونِ إِذْ صَاحَ فِيهِمِ الشَّيْطَانُ : إِنَّ الْمَسِيحَ قَدْ خَلَفَكُمْ فِي أَهْلِيكُمْ فَيَخْرُجُونَ وَذَلِكَ بَاطِلٌ فَإِذَا جَاءُوا الشَّامَ خَرَجَ فَبَيْنَمَا هُمْ يُعِدُّونَ لِلْقِتَالِ يُسَوُّونَ الصُّفُوفَ إِذْ أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

"Tidak akan terjadi hari kiamat, sehingga orang Rom turun di Kota Amaq (lembah Antioch, Selatan Turki) dan di Dabiq (berhampiran Aleppo, Syria). Kemudian datanglah suatu pasukan dari Madinah, yang merupakan penduduk pilihan di muka bumi kala itu. Ketika mereka sudah berbaris untuk berperang, maka berkatalah orang Rom: “Biarkanlah (jangan kalian halangi) antara kami dengan orang-orang yang memisahkan diri dari kami (yang masuk Islam) untuk kami perangi. Maka kaum Muslimin berkata, Demi Allah, kami tidak akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Maka berperanglah kedua pihak ini. Pusingan pertama, lari satu pertiga dari umat Islam yang Allah tidak akan menerima taubatnya. Pusingan kedua, mati pula satu pertiga yang merupakan sebaik-baik syuhada. Pusingan ketiga, dimenangi oleh satu pertiga yang baki. Setelah mereka berjaya membuka Kota Constantinople. Mereka membahagikan harta rampasan perang dan menggantungkan pedang-pedang dengan zaitun. Ketika itu muncul satu khabar dari syaitan, mengatakan Dajjal telah pun keluar bagi mengganggu anak isteri mereka. Maka mereka pun keluar mendapatkannya. Walhal ianya adalah batil. Ketika mereka balik ke Syam, pada waktu itulah Dajjal keluar. Dalam mereka dalam persiapan untuk memerangi Dajjal, masuk ketika waktu Subuh dan iqamah dilaungkan, mereka memperbetulkan saf, tiba-tiba turunlah Nabi Isa Ibn Maryam A.S."

[HR Muslim]

Jarak masa antara pembukaan Kota Constantinople dan kemunculan Dajjal hanyalah kira-kira setahun. Sabda Rasulullah S.A.W:

بين المَلْحَمةِ وفَتْحِ المدينةِ سِتُّ سِنِينَ، ويُخرُجُ المَسيحُ الدَّجَّالُ في السَّابعةِ.

"Tempoh antara berlakunya Malhamah dan pembukaan Kota (Constantinople) adalah enam tahun. Dajjal akan muncul pada tahun ke tujuh."

[HR Abu Daud]

Wallahualam.

(Dipetik dari buku Hadis Geoeskatologi yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
19 Ramadan 1439
4 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 4/6/2018

 

PAS sedang memerhati dan meneliti perkembangan terkini pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Kanada, Mexico serta Kesatuan Eropah. Ini lanjutan tindakan terbaharu AS yang mengenakan tarif import sebanyak 25% ke atas barangan besi dan 10% ke atas barangan aluminium yang diimpot daripada negara-negara tersebut. Laporan terbaharu menyatakan bahawa negara-negara terbabit sedang merangka tindak balas bagi melindungi eksport mereka.

MAZLIWalaupun Malaysia tidak terlibat di dalam pertikaian ini, namun sebagai sebuah negara perdagangan yang bergantung kepada ekspot, akan ada kesan jangka panjang kepada ekonomi Malaysia sekiranya pertikaian ini berpanjangan.

AS bukanlah rakan dagangan utama Malaysia. Mengikut statistik daripada MATRADE, rakan dagangan terbesar Malaysia adalah Singapura pada 13.5% diikuti oleh China yang menyumbang 12.3% dan AS sebanyak 9.3%. Manakala lima ekspot utama terbesar Malaysia pula adalah barangan elektrik dan elektronik pada 36.6%, kimia dan barangan kimia (9.5%), barangan petroleum (6.9%), minyak sawit (5.3%) dan perkakas mesin dan peralatan (4.8%).

Melihat kepada konfigurasi perdagangan Malaysia ini, maka PAS menjangkakan pertikaian antara AS dan blok tersebut tidak akan mendatangkan kesan dalam tempoh terdekat kerana ianya hanya melibatkan besi dan aluminium. Namun apa yang dibimbangi adalah sekirannya pertikaian ini berpanjangan sudah tentu AS juga akan bertindak kepada sekutu dagangan blok tersebut bagi tujuan memberi tekanan dan ini juga berkemungkinan boleh melibatkan Malaysia juga.

Buat masa ini, PAS berpandangan Kerajaan perlu untuk merapatkan lagi hubungan dengan blok tersebut, terutamanya China, kerana dalam situasi yang sedang berlaku sekarang, sudah tentu mereka memerlukan rakan dagangan baharu yang boleh menyumbang pasaran yang lebih terjamin.

Di samping itu, PAS juga menyarankan kepada Kerajaan supaya memperkukuhkan lagi blok ekonomi serantau sepertimana AEC dan RCEP. Asean dengan saiz penduduk melebihi 600 juta sudah cukup untuk menyediakan pasaran kepada Malaysia dalam memastikan pertumbuhan dagangan dan ekonomi Malaysia secara progresif. Orientasi AEC dan RCEP yang lebih bersifat Asia juga akan mampu mewujudkan suasana kerjasama ekonomi yang lebih harmoni dan hormat menghormati sesama negara ahli.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat
19 Ramadhan 1439H / 4 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 4/6/2018

More Articles ...