SEMASA di IDEAS, Wan Saiful dan kumpulannya antara yang tidak bersetuju dengan idea ‘gaji minimum’ antara alasan yang diberikan adalah kerana tindakan meletakkan gaji minimum ini akan membahayakan orang miskin. Pelbagai alasan dan ulasan dikemukakan, untuk menjaga orang miskin daripada terus tertindas dengan pelaksanaan gaji minima ini.

Namun hari ini, orang miskin pula bakal ditindas oleh Wan Saiful melalui PTPTN. Dengan hanya pendapatan dibawah gaji minimum (RM1,100), RM1,000 sebulan, graduan yang meminjam dengan PTPTN akan berhadapan dengan pemotongan gaji secara berjadual.

Dengan adanya penetapan gaji miniuma RM1,100 pun Menteri Kewangan melalui PTPTN boleh meletakkan graduan berpendapatan RM1,000 akan dipotong gaji mereka. Apatah lagi sekiranya tiada penetapan gaji minimum seperti yang digesa oleh Wan Saiful kita tidak tahu apa polisi yang bakal terjadi.

Jika dilihat Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), pendapatan isi rumah yang mempunyai RM940 sebulan itu dikira sebagai miskin bagi kawasan bandar di Semenanjung dan RM1,160 di Sabah serta RM1,040 di Sarawak. Inilah ukuran PGK yang dilaksanakan pada September 2015.

Ini menunjukkan pendapatan RM1,000 adalah pendapatan bagi orang miskin. Namun, PTPTN meletakkan RM1,000 ini sebagai Pendapatan Garis Mampu untuk membayar hutang PTPTN. Bukankah ini suatu kezaliman meletakkan kemampuan pada bukan tempatnya?

Maka, adalah disarankan kepada pihak PTPTN untuk mengkaji semula dan menarik balik cadangan pelaksanaan ini. Kerana pelaksanaan ini telah melanggar semangat untuk membantu golongan miskin dengan mengenepikan gaji minimum RM1,100 dan Pendapatan Garis Kemiskinan RM940-RM1,160.

Wan Saiful sebagai seorang Islam harus mengamati seuntai ayat Al-Quran dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud: “Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia lapang (mampu), dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu lebih baik bagi kalian, jika kalian mengetahui”.

Bukanlah penulis mahu Wan Saiful sedekah duit PTPTN, namun, tangguhlah ia kepada satu Garis Pendapatan yang lebih realiti dan mampu. RM1,000 sebagai garis mampu adalah melampau.

Bahkan terdapat saranan daripada hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari menegaskan orang yang mampu tidak boleh menangguhkan hutang.
"Penangguhan bayar hutang oleh orang yang mampu adalah satu kezaliman."

Perlu dicerahkan, dengan jelas disebutkan bahawa hutang itu wajib dibayar oleh orang yang mampu, dan jika orang yang berhutang itu tidak mampu adalah sangat baik diberikan tempoh sehingga dia mampu. Persoalan disini apakah RM1,000 itu dalam kategori mampu? Jawabnya, tidak.

PTPTN harus mengemukakan satu mekanisma yang tidak melanggar Gaji Minima dan tidak pula melanggar PGK yang dilihat mereka yang berada dibawah ini merupakan kelompok yang tidak mampu.

Apatah lagi jika dibahaskan dengan lebih panjang terdapat juga tokoh tokoh yang mahu PGK ini dikaji semula dan dinaikkan nilainya kerana nilai sekarang tidak relevan dengan perkembangan ekonomi semasa.

Maka, eloklah rasanya PTPTN turut serta dalam kajian ini, bagi memastikan polisi yang dibuat benar-benar kena pada orang yang mampu bukannya orang yang tidak mampu. Sekali lagi, angka RM1,000 ini bukan angka orang yang mampu. Mohon mencadang kepada Wan Saiful.

Ahmad Fahmi Mokhtar
Projek Anak Muda Islam (PAMI) – HARAKAHDAILY 5/11/2018

DEWAN Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) mengecam tindakan biadap taikun DAP, Koon Yew Yin yang secara terang dan jelas mencemarkan institusi Di-Raja Perak dengan membuat dakwaan yang sangat serius berhubung amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran oleh Almarhum Sultan Azlan Shah dan tuduhan berat bahawa campur tangan Tuanku Sultan Nazrin untuk tidak meneruskan lantikan beliau sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri.

Tindakan Koon Yew Yin dilihat sengaja membangkitkan rasa kebencian kepada rakyat terhadap sultan malahan seolah mencabar kontrak sosial yang telah dimeterai dalam Perlembagaan Malaysia yang selama ini dipegang oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum khususnya di Perak.

DPPN Perak bersetuju dan merakamkan ucapan tahniah di atas tindakan tepat Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhomat Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan khidmat Koon Yew Yin menganggotai Majlis Penasihat Ekonomi Negeri. Walaupun Koon Yew Yin penyuntik dana politik dalam Pakatan Harapan, namun ianya bukanlah membolehkan beliau mengatakan sewenangnya.

DPPN Perak menggesa supaya Koon Yew Yin segera tampil menyembah permohonan ampun kepada KDYMM Tuanku Sultan Perak dan keluarga Di-Raja Perak. Dalam masa yang sama, beliau perlu membuat permohonan maaf secara umum di media dalam tempoh 24 jam di atas kata-katanya yang melampau dan menyinggung banyak pihak, selain berisiko mengundang tindak balas negatif.

DPPN Perak menyeru semua pihak untuk sama-sama membuat laporan polis sekiranya beliau enggan memohon ampun dan meminta maaf juga terus berkeras dengan sikap ego dan sombongnya dalam tempoh yang ditetapkan.

DPPN Perak sentiasa komited dalam memperjuangkan isu yang berkaitan Islam, Raja dan Melayu. Justeru itu juga diingatkan kepada semua pihak sama ada individu, parti politik mahupun badan NGO agar menjaga keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan sultan serta memastikan kontrak sosial yang terbina dapat dijaga dan disemat utuh dalam jiwa rakyat supaya negara kekal dalam kesejahteraan.

"Islam Memimpin" 
"Terus Mara"
"Terus Berjuang"

YB AKMAL HJ KAMARUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak - HARAKAHDAILY 5/11/2018

KEPUTUSAN PH untuk meratifikasi ICERD adalah sikap unilateral; tanpa merundingkannya dengan pelbagai pihak terutama Raja-raja Melayu. Juga dengan golongan rakyat terbesar sebagai pemegang taruh utama hal ini sebelum pelaksanaan yang bakal menyentuh sensitiviti survival Islam dan Melayu di tanah air ini.

Ia jelas membelakangkan Raja-raja Melayu selaku Ketua Agama Islam di peringkat negeri dan Persekutuan. Ratifikasi ICERD diusahakan secepatnya tanpa rundingan, persetujuan mahu pun perkenan Raja-raja Melayu atau Majlis Raja-raja. Sedangkan isu ini cukup kritikal dan memberi impak ke atas survival negara bangsa Malaysia.

Ketiadaan usaha untuk merundingkan isu ratifikasi ini secara meluas dengan rakyat, sebaliknya tergesa-gesa dalam suku pertama 2019; jelas bercanggah dengan prinsip dilaungkan PH. Walhal kononnya selama ini PH memperjuangkan prinsip keterangkuman (inclusivity), ketelusan (transparency) dan demokrasi.

Ini menunjukkan PH begitu angkuh membelakangkan prinsip dan juga penghormatan kepada institusi beraja yang merupakan tiang seri negara kita. Persoalan juga, dalam keadaan begitu banyak janji Manifesto PH yang belum dan gagal ditunaikan, mengapa terburu-buru untuk menandatangani ICERD secepat ini?

Menerusi ratifikasi ICERD, pelbagai persetujuan telah dimeterai dalam konstruk ‘ala-kontrak sosial’ antara Raja-raja Melayu, kaum Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak, serta kaum bukan Melayu akan kembali dirungkai dan diperdebatkan. Sedangkan ia telah sedia tersemat dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

ICERD jelas sekali membuka ‘kotak pandora’ apabila bakal memberi ruang kepada pihak yang kuat berusaha sejak sekian lama mahu mengubah landskap politik negara ditunjangi Melayu, Islam dan Beraja. Antaranya, Perkara 153 yang menyentuh kedudukan istimewa Melayu dan anak negeri Bumiputera Sabah dan Sarawak akan segera dicabar.

Sandaran bahawa negara-negara Arab yang tidak demokratik dan monarki sekalipun turut meratifikasi ICERD, menjelaskan lagi betapa sempit dan cetek pemikiran pemimpin PH. Hujah dangkal begini menunjukkan penuturnya tidak faham komposisi demografi kaum yang cukup berbeza antara negara Arab dengan Malaysia.

Malaysia masih berada dalam keadaan di mana kerajaan perlu untuk mengimbangi antara kepentingan umat Melayu Islam dengan bukan Melayu. Jika selama ini kita berjaya mengekalkan keamanan dan kestabilan politik akomodatif menerusi acuan sendiri, maka mengapa perlu tunduk kepada telunjuk tali barut dengan meratifikasi ICERD?

Suara penentangan terhadap keghairahan PH ini juga sedang dinyatakan begitu banyak pihak. Antaranya juga adalah bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang amat dihormati. Beliau telah memberi amaran keras kepada Kerajaan PH berhubung hakikat dan implikasi terhadap keputusan meratifikasinya.

Sehubungan dengan itu, kami mendesak Kerajaan PH menghentikan segera usaha ini kerana ia bakal menggugat perpaduan, keharmonian, keselamatan dan keamanan negara. PH perlu sedar, sikap degil mereka hanya akan mengundang bantahan keras rakyat atas cinta mereka mempertahankan negara ini.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara”

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

*ICERD - International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination - HARAKAHDAILY 4/11/2018

KAUM Jatti Meirek merupakan penduduk asal bumiputera di bandar Miri. Miri terletak hampir dengan sempadan Brunei di timur laut Sarawak. Miri juga meliputi Pujut, (Unan) Bakam, Lopeng (Lufieng), Lutong, Bekenu, Kuala Baram (Long Utan), Sibuti, Marudi, Tutong Brunei, Temburong Brunei, dan Kuala Belait.

Kebelakangan ini, banyak tanah adat telah ditukar status menjadi tanah kerajaan dan ini sangat merunsingkan pewaris. Penduduk Jatti Meirek, Melayu dan Bumiputera yang tinggal di pinggir bandar Miri yang mewarisi tanah nenek moyang mereka telah kehilangan pemilikan kerana status tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah diubah menjadi tanah kerajaan. Malahan, ada tanah diberikan kepada pemaju dan syarikat perladangan untuk dibangunkan.

Dakwaan ini bukan satu cakap kosong, penduduk mampu membuktikan tanah mereka adalah tanah adat. Sebagai contoh, terdapat makam Dato 'Permaisuri yang masih utuh di sebuah kawasan di Sungai Pujut, Miri bahkan Kerajaan Negeri Sarawak juga telah mewartakan makam itu sebagai pengiktirafan sumbangan beliau dalam membangunkan Islam di Miri.

Sekiranya terdapat tanah perkuburan lama di kawasan itu, adalah jelas bahawa kawasan itu telah dihuni oleh penduduk asal di mana kebanyakan mereka sebagai petani akan berpindah ke kawasan baru apabila kesuburan tanah yang terbiar akan ditumbuhi oleh hutan belukar (hutan sekunder).

Selain itu, berlaku juga di Bandaraya Miri di mana tanah warisan Jatti Miriek dan tanah orang Melayu diserahkan kepada pemaju kerana status tanah warisan menjadi tanah kerajaan atau zon campuran. Tanah ini pastinya boleh dijual atau dipindah milik kepada bukan Bumiputera untuk dibangunkan. Contoh kawasan terlibat adalah tanah warisan Jatti Meirek, Melayu, Kedayan, dan Bumiputra di Pujut Padang Kerbau, Pujut Adong, Tukau, dan kawasan sekitarnya yang telah diubah menjadi tanah kerajaan.

Kami, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Miri turut mengambil inisiatif bertemu dan bertanya kepada pegawai di Jabatan Tanah Dan Ukur Miri mengenai status permohonan tanah yang dibuat oleh pewaris tanah Pujut.

Maklum balas yang kami perolehi daripada pegawai, statusnya telah berubah menjadi tanah kerajaan dan tanah itu telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk dimajukan. Pegawai tersebut turut menyatakan bahawa kerajaan telah merancang untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai tapak pertanian dan sebarang permohonan untuk tanah di kawasan itu tidak akan dilayan.

PAS Miri juga dimaklumkan bahawa tanah itu akan diserahkan kepada sebuah syarikat perladangan untuk dijadikan sebagai kawasan penanaman kelapa sawit dan pokok-pokok. Kini, tanah ini berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan dan Jabatan Tanah dan Ukur tidak lagi bertanggungjawab. Selepas beberapa dekad pewaris tanah berusaha menuntut hak mereka di sana melalui Jabatan Tanah dan Ukur akhirnya gagal. Mereka akan terus menuntut hak mereka dari pihak kerajaan sehingga hak mereka dikembalikan semula.

Kini setelah menerima berita ini melalui surat dari Jabatan Tanah dan Ukur, harapan mereka akan menerima hak pemilikan hancur. Mereka juga dimaklumkan bahawa permohonan mereka tidak akan dipertimbangkan. Para pewaris ini tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan kerana mereka telah memohon tanah adat Jatti Meirek untuk jangka masa yang lama malahan ada yang telah meninggal dunia. Namun, Jabatan Tanah dan Ukur masih tidak memproses permohonan mereka. Pada akhirnya, ini jawapan yang mereka terima.

Lebih mendukacitakan, kenapa permohonan syarikat mendapat proses dan persetujuan yang lebih cepat daripada para penduduk yang telah lama cuba memohon secara sah? Di mana kepincangan yang berlaku sehingga tanah warisan boleh jatuh kepada tangan pemaju dan syarikat perladangan? Jabatan Tanah dan Ukur bertanggungjawab menjawab persoalan ini.

Kami diberikan jawapan bahawa tanah berstatus NCR ini berubah kepada tanah kerajaan kerana tanah ini tidak dituntut dalam semakan tanah di awal 80-an maka secara automatik ianya menjadi tanah kerajaan.

Namun, alasan ini masih tidak dapat memuaskan hati pewaris. Mungkin ketika itu,pada tahun 80-an penduduk tidak tahu bahawa tanah yang mereka usahakan dalam proses pemetaan. Bayangkan saluran maklumat dan hubungan komunikasi ketika itu. Adakah ini kesalahan penduduk yang mungkin kurang mendapat maklumat ketika itu?

Menurut laporan Borneo Utusan (Sarawak) pada 8 April 2017 "Kerajaan akan terus membantu orang Melayu untuk membangun tanah secara komersil tanpa melibatkan pertukaran pemilikan: KM"
Kerajaan akan terus membantu tanah milik kaum Melayu khasnya di bandar yang dibangunkan secara komersial agar dikekalkan pemilikannya serta tidak bertukar tangan. Ketua Menteri Datuk Amar Abang Zohari Tun Abang Openg berkata, pemilikan tanah orang Melayu berbeza dengan kaum-kaum lain yang mempunyai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). “Bagi tanah yang berstatus komersial, ia boleh dibeli oleh sesiapa sahaja dan kita (orang Melayu) perlu mempunyai cara kita sendiri untuk membangunkan tanah agar ia tidak bertukar tangan.

PAS Miri menggesa kerajaan terutamanya Ketua Menteri Sarawak untuk campur tangan bagi mengkaji dan mengembalikan hak tanah Miriek dan pemilik tanah Melayu Sarawak kepada pewaris mereka. Jangan biarkan tanah warisan ini jatuh ke tangan orang asing yang hanya berminat untuk mendapatkan keuntungan tanpa memikirkan nasib penduduk tempatan yang telah kehilangan hak mereka. Mereka layak hidup dengan tanah yang diwarisi oleh nenek moyang mereka. Penduduk ini juga memerlukan tanah untuk membina rumah di tempat mereka mencari rezeki yang kebanyakkannya berasaskan sumber pertanian.

Maka, PAS Miri berpendapat Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) wajar mengambil serius masalah tanah orang asal ini supaya pegangan hak mereka tidak hilang dan didominasi oleh pihak luar. Kerjasama dengan pihak yang berkaitan untuk menangani masalah ini amat dihargai. Kita tidak mahu, di akhir nanti kita hanya “menang sorak kampung tergadai” dan mangsanya adalah anak cucu kita.

Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 3/11/2018

BERIKUTAN daripada ucapan Bajet 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Malaysia di dewan Parlimen pada 2 November 2018 yang lalu, mahasiswa serta anak muda Malaysia dikejutkan dengan satu polisi yang sangat membebankan golongan yang berpendapatan rendah iaitu sistem potongan gaji secara automatik bagi peminjam PTPTN yang mempunyai gaji lebih daripada RM1000.00 sebanyak 2 peratus hingga ke 15 peratus.

Ini adalah polisi yang sangat membebankan anak muda khususnya buat mereka graduan muda yang terpaksa ikat perut untuk membina kehidupan secara berdikari selepas mereka menamatkan pengajian mereka.

PTPTN adalah sebuah perbadanan yang telah wujud sejak 1 Julai 1997 di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta566). Ia diwujudkan ketika Najib Razak menjadi Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri pada waktu itu ialah Tun Dr Mahathir.

Sehingga ke 31 Januari 2017 Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan dana sebanyak RM48.7 bilion dan daripada tempoh itu, kerajaan sepatutnya telah berjaya mengumpulkan dana daripada para peminjam sebanyak RM18.8 bilion.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana hanya RM10.8 bilion dana yang berjaya dikutip.

Menurut Pengerusi PTPTN yang sebelum ini, Dr Shamsul Anuar seramai 2.6 juta peminjam yang tidak mampu untuk melunaskan hutang mereka dan daripada jumlah itu, sebanyak 663 ribu peminjam yang langsung tidak membayar hutang PTPTN walaupun satu sen.

Ini adalah permasalahan yang hakiki dan sepatutnya Kerajaan PH memahami masalah golongan anak muda yang tidak mampu untuk membayar hutang PTPTN dan mengambil sikap membantu rakyat bukannya mengambil kesempatan di atas kelemahan atau kesempitan ekonomi anak muda.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Statistik Tenaga Buruh Malaysia 2017, kadar pengangguran kian meningkat bagi setiap tahun iaitu 3.5 peratus bagi tahun 2017 berbanding 3.1 peratus bagi tahun 2015.

Di samping itu, menurut data kajian yang dilakukan oleh KPT (Kajian Pengesanan Mahasiswa, 2015), sebanyak 54 peratus mahasiswa yang mampu berkerja hanyalah mempunyai gaji RM2000 dan ke bawah.

Menurut data di atas, kita dapat memahami bahawa majoriti anak muda Malaysia tidak mempunyai gaji yang besar dan apabila polisi potongan gaji sebanyak 2 peratus hingga 15 peratus ini diperkenalkan, ia bakal menambah beban anak muda untuk terus hidup mendepani cabaran kos sara hidup yang tinggi khususnya buat mereka yang memulakan hidup mereka di kawasan bandar.

Kos sara hidup yang tinggi, nilai mata wang Malaysia yang rendah, dan peluang pekerjaan tenaga mahir yang rendah dan pendapatan (gaji) yang rendah bagi graduan baru adalah beban sedia ada yang terpaksa dihadapi oleh anak muda Malaysia hari ini.

Kerajaan PH seolah-olah telah melupai tujuan perjuangan mereka untuk membela nasib golongan graduan dan golongan berpendapatan rendah apabila sudah menikmati gaji-gaji yang menggunung selepas menjadi Menteri di dalam Kerajaan Malaysia.

Bebanan ini juga bakal memberikan kesan domino iaitu akan lebih ramai anak muda lepasan SPM yang datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah takut untuk menghantar anak mereka ke pengajian yang lebih tinggi ekoran daripada beban hutang yang sangat menekan dan menzalimi golongan yang berpendapatan rendah.

Kerajaan sepatutnya menyediakan satu mekanisme yang tuntas untuk membantu rakyat keseluruhan sama ada mereka miskin atau kaya untuk mendapat pendidikan tanpa yang ada yang didiskriminasi selaras dengan Perlembagaan Malaysia Perkara 12.

Kami mahasiswa konsisten mengatakan bahawa kerajaan wajib membantu rakyat untuk menikmati pelajaran bermula daripada pengajian rendah hinggalah ke pengajian yang tertinggi.

Kami meyarankan kerajaan untuk mengambil inisiatif seperti berikut:

1.     Hapuskan hutang PTPTN bagi semua rakyat Malaysia.

2.     Wujudkan Perbadanan Tabung Wakaf Pendidikan Negara untuk menampung kos pendidikan Malaysia.

3.     Potong gaji Menteri-menteri dalam kerajaan, lantikan-lantikan politik, serta CEO GLC Kerajaan sebanyak 40 peratus untuk menampung kos pendidikan negara.

4.     Memberikan fokus kepada sektor pendidikan daripada belanjawan negara sebanyak 45 peratus daripada bajet keseluruhan negara.

Sekian. Terima kasih.

“Istiqamah Bersama Islam"

Oleh :
MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Presiden, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 

24 Safar 1440H | 4 November 2018M - HARAKAHDAILY 4/11/2018

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya; Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.” (Al-Isra’: 30)

Bajet terbesar

Bajet 2019 yang julung kali dibentangkan oleh Pakatan Harapan merupakan bajet terbesar dalam sejarah, jauh melebihi ‘bajet pilihan raya’ oleh Barisan Nasional bagi tahun 2018.

Sejumlah RM314 bilion diperuntukkan untuk kerajaan berbelanja pada tahun hadapan, meningkat 12% berbanding anggaran RM280 bilion bagi tahun 2018.

Daripada jumlah tersebut, RM259 bilion akan dibelanjakan untuk tujuan mengurus, iaitu bagi membayar gaji dan pencen, bayaran khidmat hutang, perbekalan dan subsidi kepada rakyat.

Manakala untuk tujuan pembangunan, sejumlah RM55 bilion akan dibelanjakan ke dalam sektor ekonomi, sosial, keselamatan dan pentadbiran, bagi membawa limpahan ekonomi yang lebih besar kepada negara.

Untuk menampung perbelanjaan yang besar ini, kerajaan mengunjurkan kutipan hasil berjumlah RM261 bilion pada tahun 2018, disumbangkan oleh pungutan cukai langsung dan tidak langsung, serta dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion yang akan digunakan untuk melunaskan tunggakan bayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan berjumlah RM37 bilion.

Natijahnya, kerajaan dijangka akan menanggung defisit mencecah RM52 bilion pada tahun 2019, atau 3.4% kepada KDNK.

Penilaian makro

Di sebalik angka besar yang dimuatkan di dalam Bajet 2019, terdapat beberapa aspek makro ekonomi yang perlu diberikan perhatian.

Pertama, bajet RM314 bilion ini merupakan rekod tertinggi perbelanjaan kerajaan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, malah melebihi peruntukan ‘bajet pilihan raya’ oleh Barisan Nasional yang digelar sebagai ‘ibu segala bajet’.

Kedua, kerajaan Pakatan Harapan masih meneruskan tren perbelanjaan mengurus yang besar iaitu 82% daripada keseluruhan bajet. Manakala perbelanjaan pembangunan mencatatkan nisbah 17% daripada keseluruhan bajet, suatu nisbah yang sama seperti Bajet 2018.

Ketiga, jumlah perbelanjaan mengurus sudah menghampiri jumlah hasil kerajaan pada paras 99%. Ini bermakna, setiap hasil yang dipungut kerajaan hanya cukup untuk menampung kos pengurusan kerajaan, dan situasi ini adalah berisiko terhadap keupayaan fiskal sekiranya terdapat kenaikan kos di luar jangkaan atau kutipan cukai jauh lebih rendah daripada yang dianggarkan.

Sejauh mana Bajet 2019 ini mampu memacu pertumbuhan ekonomi, menurunkan kadar inflasi dan mengurangkan kadar pengangguran, masih terlalu samar untuk dinilai kesudahannya.

Komitmen tadbir urus

Bajet yang julung kali dibentangkan oleh Pakatan Harapan ini dilihat berada di garis permulaan yang baik, khususnya dalam aspek peningkatan tadbir urus yang selama ini menyumbang kepada deficit berkembar dalam negara iaitu, defisit bajet (fiscal deficit) dan defisit kepercayaan (trust deficit).

Komitmen yang diberikan oleh kerajaan dalam membasmi rasuah dan meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran adalah perkara asasi yang perlu dibudayakan, bermula daripada kehendak politik (political will) yang ditunjukkan oleh pemimpin atasan.

Inilah rahsia kejayaan pentadbiran PAS di Kelantan sejak tahun 1990 hingga sekarang, yang ditunjukkan dengan ketinggian integriti oleh Menteri Besar, barisan Exco dan Adun, serta jentera pentadbiran di peringkat pertengahan, walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran.

Usaha membasmi rasuah dan meningkatkan integriti ini memerlukan komitmen dan kejujuran semua pihak. Ianya tidak cukup dengan ungkapan retorik dan nada sinis ketika pembentangan bajet di Parlimen, tetapi perlu diterjemahkan dalam aspek ketelusan oleh mereka yang kini berkuasa untuk meluluskan dan mengagihkan tender besar kerajaan.

Sejauh mana menteri baharu tidak akan mengulangi budaya menteri lama, hanya waktu yang akan menentukan.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
3 November 2018 – HARAKAHDAILY 3/11/2018

IKATAN Guru-Guru Muslim Malaysa (i-GURU) membantah sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Waytha Moorthy dan usaha pihak kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Untuk Memansuhkan Semua Bentuk Diskriminasi Perkaumnan (ICERD) pada suku tahun hadapan.

i-Guru berpandangan langkah ini akan memberi kesan besar kepada pendidikan terutama pendidikan kaum Melayu yang merupakan kaum teras di Malaysia sekali gus akan berlaku penghapusan hak-hak keistimewaan orang melayu dan bumiputera dalam perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, juga hak-hak istimewa orang Melayu dalam pendidikan seperti biasiswa, kemasukan pelajar ke IPTA, MRSM dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar rasmi dalam sistem pendidikan akan tergugat.

i-Guru melihat pendidikan anak- anak melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Serawak perlu dibantu dan terus dibela terutama sekolah-sekolah kebangsaan di luar bandar dan pedalaman yang perlukan kemudahan infranstruktur dan prasarana yang lengkap.

i-Guru juga merasakan jurang kekayaan dan pendidikan yang berbeza menuntut hak pendidikan anak-anak Melayu dan kaum Bumiputera diberi keutamaan terutama biasiswa, nisbah peratus yang tinggi untuk kelayakan ke IPTA dan institusi-institusi pendidikan untuk kaum Melayu seperti MRSM dan sekolah-sekolah agama.

Usaha meritifikasi ini akan membunuh peluang pendidikan anak-anak Melayu dan menggugat perpaduan dan keharmonian kaum. Justeru itu i-Guru bersama dengan NGO-NGO Melayu Islam menyeru seluruh rakyat Malaysia dan pemimpin orang Melayu supaya bangun bagi membantah usaha meritifikasi Konvensyen Antarabangsa Untuk Memansuhkan Semua Bentuk Diskriminasi Perkaumnan (ICERD).

Mohd Azizee Hasan
Presiden i-Guru – HARAKAHDAILY 3/11/2018

More Articles ...