21
Sat, Sep
30 Artikel Baru

HIMPUNAN Woman's March yang diadakan pada hari ini, 9 Mac 2019 adalah satu agenda mengarut dan jelas menunjukkan kedangkalan atau ketidak perihatinan pemahaman pendukung ini terhadap akar budaya rakyat Malaysia yang menekankan adab sopan dan budi pekerti mulia.

Intipati daripada laungan “Hidup Wanita”, “Hidup LGBT”, "Hentikan Stereotaip dan Prejudis”, serta perjuangan kesaksamaan gender sebenarnya berlawanan dengan norma masyarakat Malaysia kerana ia hanya berakar umbi daripada gerakan-gerakan di Barat dan Eropah.

Muslimat PAS ingin menegaskan bahawa Allah S.W.T telah secara jelas mencegah dan melarang gaya hidup LGBT dalam Surah al-A'raf ayat 80-81, dan tindakan mempromosi dan mempertahankan hak LGBT dilihat sebagai mencabar perintah Allah S.W.T dan ianya amat memalukan kerana Malaysia merupakan sebuah negara Islam.

Kami juga mengecam tindakan kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada SIS, sebuah pertubuhan yang telah difatwakan sesat oleh Majlis Agama Islam Selangor, serta perjuangannya bertentangan dengan kehendak rakyat Malaysia.

Oleh itu, Muslimat PAS menyatakan bantahan terhadap perhimpunan dan segala kehendak golongan Liberal seperti SIS dan Women Aid Organization (WAO) untuk menyemai idea Liberal dan Feminisme di Malaysia.

Kami juga menyeru agar semua wanita tidak mengikuti ajaran songsang ini dan terus mengenal Islam serta ajarannya yang sebenar dan kami percaya agama lain juga mencegah perbuatan songsang yang tidak mendatangkan manfaat kepada penganutnya.

Di samping itu, Muslimat PAS sangat mendukung usaha untuk menyelamatkan rakyat yang tertindas melalui pelbagai cara dan kami juga konsisten memperjuangkan hak semua wanita dengan adil dan saksama tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
9 Mac 2019 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1440 - HARAKAHDAILY 9/3/2019

KETIKA PAS dituduh telah melancarkan perang dan akan menjadikan negara ini seperti Afghanistan, Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) tampil menganjurkan satu seminar untuk meningkatkan keharmonian di antara kaum di Malaysia.

DHPP akan menganjurkan SEMINAR PERPADUAN NASIONAL hari Ahad, 10 Mac 2019 dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang di Hotel Plaza, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Seminar ini bertujuan untuk mengenalpasti formula bagi memastikan hubungan antara kaum di Malaysia dapat menjadi lebih harmoni.

Seminar ini sekali-gus menjawab segala tuduhan-tuduhan yang tidak berasas itu.

Berikut adalah butiran seminar ini.

Seminar ini dibuka kepada orang ramai.

8.00 am - 9.00 am:
Pendaftaran dan sarapan pagi.

9.00 am - 9.45 am:
- Ucapan Aluan Pengerusi, Dr Balachandran Gopal Krishnan (Pegawai Hal Ehwal Bukan Islam Kepada Menteri Besar Terengganu).
- Ucapan Ketua DHPP Pusat, Sdra N. Balasubramaniam JP.
- Ucapan Perasmian Naib Presiden PAS, Dato' Iskandar Abdul Samad.

9.45 am – 10.15 am:
Kertaskerja 1 - Sejarah Hubungan Antara Kaum Di Malaysia - Dr. Ann Wan Seng.

10.15 am – 10.45 am : Kertas kerja 2 - Hubungan Antara Kaum Di Malaysia Hari Ini - Peguam Zubir Embong.

10.45 am - 11.00 am:
Rehat Dan Minum Teh.

11.00 am – 11.30 am: Kertas kerja 3 - Pengalaman Kerajaan Negeri Kelantan Menangani Hubungan Antara Kaum - Dr Wan Nik Wan Yusuf, CEO Pusat Kajian Strategik Kelantan.

11.30 am – 12.00 pm: Kertas kerja 4 - Pengalaman Kerajaan Negeri Selangor Menangani Hubungan Antara Kaum - Dr Halimah Ali, Mantan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

12.00 pm – 12.45 pm:
Soal Jawab Dan Dialog

12.45 pm – 1.00 pm: Resolusi - Cigku Lau Chin Chua, AJK DHPP Pusat.

1.00 pm – 1.30 pm:
Penggulungan Dan Penutup - YB Datuk Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh, Setiausaha Majlis Syura Ulamak.

1.30 pm - 1.45 pm:
Penyampaian cenderamata dan sesi fotografi.

1.45 pm - 2.30 pm:
Makan tengah hari.

N. BALASUBRAMANIAM
Ketua DHPP Pusat
9 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 9/3/2019

SEMALAM Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan juga wakil rakyat DAP, Nga Kor Ming mengatakan bahawa jika Umno dan PAS memerintah, Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan di bawah Taliban.

Ini adalah suatu kenyataan yang cuba menakut-nakutkan kaum bukan Melayu di Malaysia supaya menentang penyatuan orang-orang Melayu.

ISHAMDAP lebih untung jika orang-orang Melayu berpecah belah sebab bila orang Melayu berpecah mereka boleh menang pilihan raya dan memerintah negara seperti sekarang.

Perjuangan DAP dan PH ini tidak ada asas moral malah amat keji kerana mereka mahu berkuasa di atas perpecahan orang lain.

Mereka menuduh Umno dan PAS rasis.

Namun hakikatnya, mereka (DAP dan PH) lah yang rasis.

Dalam sejarah dunia, pihak yang mahu golongan majoriti berpecah dan lemah supaya mereka (pemecah belah ini) boleh berkuasa adalah pihak yang rasis kerana mereka mahu memerintah melalui perpecahan kaum dan kelemahan majoriti.

Ini sama seperti yang berlaku dalam kerajaan apartheid di Afrika Selatan dari tahun 1948 sehingga 1994 di mana kaum minoriti kulit putih memerintah majoriti etnik kulit hitam yang berpecah belah selama berdekad lamanya sehinggalah Presiden Mandela menyatupadukan orang-orang kulit hitam dan merampas kuasa.

Adalah tidak mustahil jika Kerajaan PH ini terus memerintah, suatu hari nanti Malaysia akan jadi negara apartheid seperti Afrika Selatan dahulu di mana golongan minoriti memerintah golongan majoriti secara rasis dan kuku besi.

Malaysia tidak akan jadi negara Taliban seperti yang ditakut-takutkan oleh Nga Kor Ming.

Namun tidak mustahil Malaysia akan menjadi negara apartheid di bawah DAP. -  HARAKAHDAILY 9/3/2019

Penulis ialah Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan sama sekali tidak semestinya mencerminkan pendirian Harakahdaily.

KENYATAAN Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah bersifat dangkal dan rasis apabila menyifatkan kerjasama PAS-Umno adalah satu bentuk survival politik untuk memerangi atau memusuhi non-Malay.

Ia dapat dilihat menerusi medium maya laporan Malaysiakini pada 6 Mac 2019 jam 8.22 malam. Tajuk laporan tersebut kemudiannya diedit pada jam 11.29 malam hari yang sama.

Beliau selaku menteri dan kerajaan yang memerintah sepatutnya bersifat profesional dalam sesuatu kenyataan yang dikeluarkan. Kenyataan demikian dilihat seolah-olah beliau masih lagi dalam konteks pembangkang yang tidak matang.

Kenyataan tersebut juga sangat bahaya kerana berbaur hasutan yang memberikan persepsi negatif yang boleh membawa implikasi rusuhan kaum jika tidak dibendung dari awal.

Kerjasama PAS-Umno pada konteks penyatuan isu ummah bukanlah bersifat rasis. Malah PAS sehingga kini memiliki pendukung dan penyokong non-Malay dan non-Muslim dari Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Kerjasama antara PAS-Umno ini rentetan banyak isu yang berkaitan kaum Melayu sebagai teras penganut Islam di negara ini serta isu-isu berkaitan agama dilihat pincang di bawah kerajaan PH selepas pasca PRU14.

Sehingga kini isu kematian Adib masih belum terbela, isu isu ratifikasi ICERD sebelum ini, begitu juga desas desus berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan dan banyak lagi.

Hakikatnya, kerjasama PAS-Umno dalam konteks penyatuan ummah dilihat memberikan tekanan kepada pihak PH. Ini jelas apabila kekalahan PH dua kali berturut-turut dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih ekoran sikap kerajaan PH yang gagal melunaskan janji malah terpalit dengan isu penipuan sijil akademik oleh beberapa wakil rakyat dari PH serta kempen-kempen bersifat fitnah dalam ucapan pimpinan PH.

Sekretariat SaveUmmah melihat sikap beliau sebegini tidak layak untuk menjawat jawatan menteri. Tiada kredebiliti dan penuh dengan isu negatif yang terpalit. Orang ramai digesa buat aduan polis berkaitan kenyataan beliau yang berbaur hasutan agar dikenakan tindakan yang sewajaranya.

NOR ZARINA MOHD AZHAR
Sekretariat
#SaveUmmah
Dewan Pemuda PAS Selangor
Dewan Muslimat PAS Selangor
Dewan Ulamak PAS Selangor – HARAKAHDAILY 9/3/2019

KERAJAAN Negeri Kelantan bersyukur ke hadrat Allah SWT serta merakamkan jutaan terima kasih kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamed Perdana Menteri Malaysia yang telah bersetuju meluluskan lima projek utama pembangunan Negeri Kelantan yang dianggarkan memakan belanja RM1.4 bilion.

Kerajaan Negeri Kelantan juga turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan di atas kesudian mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Kelantan pada 7 Mac 2019 serta turut mempengerusikan Mesyuarat MTNg Kelantan kali pertama. Beliau turut mengumumkan lima projek yang diluluskan iaitu:

I. Pembinaan LPT3 sejauh 150 KM bermula dari Gemuroh (Terengganu) ke Tumpat sepanjang 150 KM.

II. Menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

III. Membina jalan raya yang menghubungkan Pasir Puteh-Machang-Jeli.

IV. Pembinaan jambatan Palekbang di Kota Bharu.

V. Pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (SCR) sepanjang 123 kilometer.

Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan sokongan penuh di atas keputusan YAB Perdana Menteri Malaysia bahawa tidak akan ada lagi lantikan politik dalam MTNg dan buat pertama kali struktur majlis ini dirombak dengan melibatkan pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan sahaja.

Kerajaan negeri melihat bahawa perlantikan YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selaku pengerusi MTNg Kelantan adalah sebagai pemilihan yang tepat dan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama terbaik kepada Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan semua projek-projek pembangunan negeri dan negara.

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
(Dato’ Bentara Kanan)
Menteri Besar Kelantan
2 Rejab 1440H / 9 Mac 2019M – HARAKAHDAILY 9/3/2019

KAJIAN oleh Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) yang mendapati wujud diskriminasi kaum dalam sektor swasta menunjukkan pelaksanaan dasar keseimbangan antara kaum di negara ini masih lemah dan bermasalah.

Sebelum ini, isu diskriminasi kaum dalam pasaran buruh ini sering diuar-uarkan sebagai berpunca daripada sikap, kemahiran dan penguasaan bahasa Inggeris dan Mandarin yang lemah terutamanya dalam kalangan orang-orang Melayu atau Bumiputera sendiri.

Menerusi laporan kajian Cent-GPS ini, kini jelas bahawa ia adalah stigma semata-mata bagi menutup amalan diskriminasi oleh pihak-pihak tertentu ke atas kaum-kaum lain.

Amalan diskriminasi ini hendakalah dihentikan segera kerana ia membelakangkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kedudukan istimewa orang Melayu; dan Bumiputera Sabah dan Sarawak; dan kepentingan sah kaum-kaum lain serta boleh menjadi penghalang kepada pelaksanaan dan kejayaan resolusi Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara.

Kerajaan digesa agar segera mengadakan perundingan menyeluruh dengan sektor swasta bagi menangani isu ini.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Sabtu, 9 Mac 2019 | 2 Rejab 1440 – HARAKAHDAILY 9/3/2019

KAMI hari ini melahirkan rasa kesal dan marah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) yang mengatakan Umno dan PAS telah ‘mengisytiharkan perang’ kepada orang masyarakat bukan Melayu.

Kenyataan ini jelas biadab, rasis dan tidak bertanggungjawab yang jelas boleh menggugat perpaduan kaum dan keharmonian negara.

Jelas menunjukkan sikap Lim Guan Eng yang pendendam dan iri hati terhadap kerjasama antara Umno dan PAS ini. Beliau seperti ‘panas punggung’ dan ‘cacing kepanasan’ melihat hubungan baik yang semakin kukuh dua parti Melayu dan Islam terbesar di Malaysia ini.

Ditambah pula dengan 2 kekalahan besar Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highland dan Dun Semenyih yang menyaksikan kerjasama kedua-dua parti telah mencapai kemenangan yang cukup selesa dan diterima rakyat khususnya pengundi-pengundi Melayu.

Kenapa Lim Guan Eng perlu takut dengan situasi ini? Sehinggakan terpaksa mengeluarkan kenyataan biadab serta dangkal seperti ini. Cerminlah diri sendiri terlebih dahulu. Beliau seringkali mengatakan Umno dan PAS rasis tetapi sebaliknya dengan kenyataan beliaulah yang sebenarnya rasis.

Sebagai Menteri Kanan dalam Kerajaan PH, bukan ini jadi isu utama. Kembalikan keyakinan rakyat kepada Kerajaan PH dengan menunaikan segala Manifesto PH pada PRU14 yang lepas. Selesaikan banyak masalah rakyat seperti menangani kos barang semakin meningkat, beban kehidupan rakyat, masalah bantuan petani, pesawah dan banyak lagi yang boleh dilakukan dalam membantu meningkatkan ekonomi negara.

Kami ingin menggesa kepada pihak polis dan berkuasa agar satu tindakan tegas perlu diambil khususnya Akta Hasutan kepada Lim Guan Eng yang jelas kenyataannya boleh menggugat keamanan dan keharmonian antara kaum di Malaysia. Perkara ini cukup serius dan membimbangkan.

Kami juga ingin mendesak agar beliau memohon maaf atas kenyataan tersebut dan meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan atas tanggungjawab mengeluarkan kenyataan biadab ini.

Terima kasih

Salam hormat dari kami,

1.     MOHD NORHIESAM HAJI ISMAIL
(Ketua Pergerakan Pemuda Umno Nibong Tebal)

2.     ABDUL MUSHAWWIR ABD RASHID
(Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Nibong Tebal)

3.     ELLANGOVAN A/L GENGAN

(Ketua Pemuda MIC Nibong Tebal) - HARAKAHDAILY 8/3/2019

IMG 20190308 WA0054

More Articles ...