21
Sat, Sep
28 Artikel Baru

SABTU ini, 2 Mac hari penentu pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) akan menentukan siapa pilihan mereka, apakah Pakatan Harapan akan kekal terajui atau BN berjaya merampas semula Dun Semenyih?

Tiga calon, Muhammad Aiman Zainuli (PH), Zakaria Hanafi (BN) dan Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) setakat ini dilihat memberi impak kepada pengundi selepas kempen masuk ke fasa akhir.

Sementara calon PSM, Nik Aziz Afiq pula dilihat sedikit perlahan sambutan kepadanya, mungkin dilihat bukan saingan utama.

PRK Semenyih sebenarnya medan menguji kerjasama antara komponen PH juga medan mengukuh kerjasama Umno-PAS tatkala, di samping "test ground" kepada calon Bebas, Uncle Kentang selaku aktivis kebajikan masyarakat mendapatkan perhatian masyarakat, apatah lagi jolokan Kentang memberi kelebihan sebagai orang yang dekat dengan marhaen.

PRK DUN Semenyih agak berbeza dengan PRK Parlimen Cameron Highlands walaupun dua kerusi ini adalah pernah menjadi kubu kuat BN.

Namun di Semenyih pada PRU14, kubu BN ini berjaya ditembusi PH dengan mudah.

Kemenangan BN yang turut dibantu oleh PAS di Cameron Highlands tidaklah begitu mengejutkan, namun ia satu amaran lisan kepada parti pemerintah.

Semenyih bisa menjadi medan menguji kekuatan dan populariti sebenar, apakah PH mampu terus mempertahankan kerusi ini atau BN akan kembali menguasai semula kubu tradisi mereka ini suatu masa lalu.

Walaupun PRK ini menyaksikan saingan empat penjuru tetapi hakikatnya betapa saingan sebenar masih tertumpu antara BN dengan PH selain Uncle Kentang sedikit mencuri tumpuan atas imejnya.

Selepas Cameron, Semenyih menjadi medan tempur, malah sejak hari penamaan calon lagi gegak gempita perang dalaman PH meletus antara kem Anwar dan kem Mahathir.

Ia terbukti menjadi medan perang Anwar-Mahathir angkara pertemuan dengan PAS sebelum ini, dan lebih menyerlah Anwar membelasah PAS dengan pelbagai tuduhan tidak berasas yang mencerminkan kemelut sebenar dalam PH antara Bersatu dan Anwar-DAP.

Ramai dalam kalangan pengundi yang ditemui sejak seminggu lalu menyatakan rasa kesal dengan percakaran dalaman PH kerana jawatan PM.

Malah terdengar khabar bahawa pengundi Cina secara perlahan-lahan akan memboikot calon PH kerana marahnya mereka ke atas pertemuan Tun Mahathir dan PAS.

Apapun, PRK Semenyih ini tidak akan mempengaruhi kedudukan kerajaan negeri yang masih dikuasai kukuh oleh PH, namun keputusan di Semenyih dilihat cukup penting dalam mempamerkan mood sebenar pengundi khasnya kalangan dua blok besar pengundi bandar iaitu Melayu dan Cina.

Apakah trend Melayu kembali kepada Umno-BN yang dibantu PAS akan menjadi kenyataan mengenepikan kemenangan PH, atau undi Cina berpecah akibat pergolakan dalam PH akan mengubah lanskap politik Semenyih.

Kehadiran Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari selaku MB baharu, bakal menjadi signal awal kepadanya yang dilihat kurang tertonjol berbanding MB terdahulu.

Hal ini penting kerana kita percaya tempoh berbulan madu meraih kejayaan membentuk kerajaan pusat dan buat pertama kali setelah menumbangkan BN sudah berakhir.

Dalam suam-suam kuku kempen PRK Semenyih, kita pula dihidang dengan pelbagai isu kontroversi dan sensitif yang telah berlaku sehingga kelihatan menggores hati dan perasaan orang Melayu dan umat Islam.

Provokasi melampau seperti hina Nabi SAW yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab semakin membimbangkan, malah ia menyemarak kemarahan Melayu Islam.

Malah keadaan ekonomi global dan negara yang masih bergelora dilihat mengeruhkan lagi keadaan yang sedia keruh.

Di pihak BN, inilah masa sesuai untuk mengembalikan keyakinan rakyat agar kembali menyokong BN khasnya Umno yang kini bekerjasama dengan PAS.

Apa yang penting, BN jangan leka dengan kemenangan di Cameron Highlands, sebaliknya perlu terus bangun mendekati rakyat dan meyakinkan rakyat bahawa BN sudah menginsafi kekalahan pada PRU14 dan sudah bersedia untuk melakukan perubahan secara besar-besaran untuk meraih kembali kepercayaan dan sokongan yang hilang.

Apapun keputusan pengundi ini juga sedikit sebanyak tertakluk kepada kebijaksanaan semua calon yang bertanding dalam meyakinkan mereka.

Kata kunci PRK Semenyih, siapa berjaya memenangi hati golongan atas pagar dan mendapatkan undi asas masing-masing pada tahap paling maksimum maka ia akan boleh dijulang sebagai pemenang.

Dalam masa yang sama, calon, jentera dan pemimpin perlu betapa PRK akan banyak memberi fokus kepada isu setempat berbanding PRU yang banyak dipengaruhi isu nasional.

Isu yang berlegar dalam kalangan rakyat adalah isu pembangunan yang dikatakan tidak seimbang serta isu kesesakan jalan raya khasnya di pekan Semenyih dan sekitar di samping pelbagai isu tempatan yang lazim seperti isu keselamatan dan kemiskinan.

Apa yang penting, fasa akhir kempen ini calon dan jentera kesemua pihak bertanding wajar menggunakan tempoh kempen yang ada untuk mendekati semua pengundi dan menyatakan aspirasi mereka secara tuntas.

Sama ada politik stabil akan menang atau bekas parti pemerintah akan kembali menerajui bagi menyusun langkah ke PRU15, signal jelas pengudi Melayu boleh membantu BN setidak-tidaknya mengecilkan majoriti PH.

Seperkara lagi, pembangunan, rasuah undi dan propaganda tersembunyi atau terang dewasa ini sukar disembunyikan jika ia berlaku kerana pengundi kini sedar hak mereka. – HARAKAHDAILY 28/2/2019

TUDUH, kemudian cabar saman. Sistem perundangan mana yang dipakai. Sekular pun tidak, Islam lagilah tidak. Lingkup kalau manusia seperti ini memerintah negara.

Dulu menuduh PAS mendapat wang daripada 1MDB, sekarang menuduh dapat duit daripada Umno pula. Terbaru, PAS bayar RM1.4 juta kepada Sarawak Report. Daripada anak buah hingga ke atas semacam saja.

Bukan hendak mencari kebenaran, tetapi dendam tidak berkesudahan.

Tujuan untuk wujud persepsi buruk terhadap PAS sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), terutama melalui media sosial supaya PAS hilang fokus.

Insya-Allah PAS bersedia bertempur di gerbang maya untuk menjawab tuduhan ini.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
28 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 28/2/2019

KEANGKUHAN Presiden PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadap kedudukan telah masyhur diketahui ramai. Bahkan, kerakusan dan halobanya mengejar kuasa bukan lagi satu rahsia. Segala permainan licik beliau bukan sahaja memijak dan menenggelamkan lawan, malah turut menyingkir jatuhkan rakan taulan.
 
Ngauman retoriknya sentiasa menerkam baham memangsa sesiapa sahaja demi untuk memenangi persaingan. Segala tatacara, akhlak dan tradisi dilanggar menyondol matlamat ingin diraih rebutnya. Tidak hairanlah jika beliau sanggup membabi buta tuduh melulu dan memalit kebusukan ke pihak yang pernah menolongnya.
 
Kerana merasa diri sudah cukup kuat dan gagah, maka dipersetankan etika dan moral membuat dakwaan keji. PAS dibelasahnya tanpa kasihan dan pertimbangan adil. Tidak cukup dengan itu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut dijelikkannya secara nista konon berkawan dengan pencuri.
 
Apakah pencuri yang kamu maksudkan itu telah terbukti serta didakwa tuduhan atasnya di mahkamah dan dijatuhi hukuman? Bagaimana dengan kamu yang pernah dibuktikan tuduhan di mahkamah dan dihukum penjara? Mengapa bersikap menghakimi di luar institusi sepatutnya secara dwi-standard dan pesimis?
 
Harap Dato' Seri Anwar tidak punya penyakit 'mudah lupa' bahawa anda pernah merasa tersiksa dianiya dan diaibkan dengan begitu teruk sekali. Kini sendiri hipokrit bergayut di banyak pihak untuk mencapai cita-cita dan agenda peribadi, tanpa sedar membuka pekung sendiri. Ingatlah bahawa Allah S.W.T itu Maha Adil.
 
Jika tidakpun, kenangilah masa lampau. "Hei Hadi" kamu sergah itulah yang memahamkan umat; akhlak mendepani tuduhan fitnah. Ahli PASlah yang meramaikan himpunan membela kamu dan bekerja di pilihan raya untuk PKR. Bahkan, akhbar Harakah melebihkan kamu di berbanding para pimpinannya sendiri.
 
Jangan Dia dan Nabi-Nya hanya menjadi hiasan dibibir manis kamu, tetapi para ulamak dan pendukung perjuangan Islam dirabakkan dengan fitnah dan palitan keji lagi fitnah. Bertakwa dan bersikap adil kerana ketika kamu dipuncak kuasa dahulu pun masih juga terpasung hina. Apa ada jaminan dengan kuasa kini yang belum menentu?
 
"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
 
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 27/2/2019

BELIA UMMAH bersama 300 NGO umat Islam di bawah Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyeru kepada seluruh anak muda Islam daripada seluruh negara untuk keluar berhimpun pada hari Jumaat ini bagi menyatakan bantahan secara terbuka ke atas tindakan yang tidak bertanggungjawab beberapa rakyat Malaysia yang berani menghina Rasulullah S.A.W secara terbuka.

Penghinaan yang dilakukan ke atas Rasulullah S.A.W adalah sebuah tindakan di luar batasan dan bersifat provokasi secara terbuka terhadap umat Islam di negara ini. Belia UMMAH menyifatkan bahawasanya tindakan menghina Rasulullah S.A.W ini adalah sebuah gerakan atau usaha untuk menormalisasikan tindakan menghina agama Islam dalam negara kita di atas nama hak kebebasan dan demokrasi.

Himpunan pada hari Jumaat ini adalah penting bagi memberikan amaran kepada pihak yang melakukan provokasi ke atas umat Islam supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama dan menarik perhatian pihak kerajaan supaya mengambil berat isu ini dan tidak membiarkan agama Islam dihina begitu sahaja.

Belia UMMAH menegaskan bahawa himpunan yang akan diadakan adalah bertujuan untuk memberikan sokongan kepada pihak PDRM untuk mendakwa dan memastikan mereka yang melakukan jenayah menghina Rasulullah S.A.W menerima hukuman yang setimpal dan haknya.

PDRM mestilah memastikan 'rule of law' berjalan tanpa ada pihak luar yang campur tangan dan memastikan undang–undang sedia ada mampu mengawal jenayah ini serta menjamin ketenteraman awam sama ada daripada pihak yang melakukan provokasi atau umat Islam itu sendiri.

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) pada hari Jumaat ini akan mengadakan himpunan serentak di seluruh negara dan UMMAH pusat akan mengadakan himpunan rasmi di Masjid Negara selepas dariapada solat Jumaat.

Sekian. Terima kasih.

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Pengerusi Kluster Belia Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
0142374002 - HARAKAHDAILY 27/2/2019

TINDAKAN melampau daripada beberapa individu yang dilihat berani menghina Nabi Muhammad SAW secara terbuka mengundang kemarahan dan kebangkitan ummat Islam.

Hal sebegini sudah tentu boleh mengancam keharmonian sesebuah negara, lebih-lebih lagi Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk, berbeza bangsa dan agama. Seharusnya semua rakyat Malaysia saling hormat-menghormati pegangan dan kepercayaan masing-masing tanpa sedikit pun rasa benci dan iri hati terhadap yang lain.

Tindakan tegas pihak berkuasa kerajaan mesti diambil terhadap individu yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW supaya kejadian sama tidak akan berulang lagi, seterusnya menjadi amaran bahawa seseorang itu tidak perlu mempermainkan agama, pegangan dan kepercayaan orang lain.

Justeru, kami Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru seluruh Muslimat PAS terutamanya, dan seluruh rakyat Malaysia umumnya untuk bersama-sama menyertai Himpunan Bantah Hina Nabi SAW yang akan diadakan di seluruh Malaysia secara serentak pada 1 Mac selepas solat Jumaat sebagai bukti cinta dan kasih pada Nabi kita yang tercinta.

Kepada seluruh ummat Islam, marilah kita bersatu padu mempertahankan maruah agama dengan bangkit beramai-ramai bagi menyatakan kemarahan dan bantahan kita terhadap penghinaan yang dilakukan terhadap Nabi junjungan Muhammad SAW.

Apakah kita tidak berasa sensitif terhadap apa yang berlaku dan hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh melihat Nabi kita dicaci dan dihina? Layakkah kita mengaku ummat Nabi SAW yang pada saban masa baginda SAW, tidak lekang mengingati kita?

Semoga rasa cinta kasih dan sayang kita pada Nabi saw juga tak berbelah bahagi.

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
27 Februari 2019 | 22 Jamadil Akhir 1440 – HARAKAHDAILY 27/2/2019

ORANG kampung pun pelik mengapa selepas sembilan bulan berlalu tertuduh isu RM2.7 bilion belum dibicarakan. Apa yang berlaku sekadar dihadap ke mahkamah dan ikat jamin jutaan ringgit.

Kata bekas Presiden Senat Tan Sri Adam Kadir, ‘timbullah keadaan si itu betul dan si ini salah. Si itu tidak ditahan begitu lama selepas dituduh sebab si itu tidak bersalah’.

Pada awal Januari lepas beberapa NGO membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara, Tommy Thomas atas dakwaan disyaki melindungi pembunuh Muhammad Adib Mohd Kassim.

Kata mereka Peguam Negara sepatutnya membenarkan polis menukar kertas siasatan daripada Seksyen 307 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebaliknya kata wakil NGO terbabit Dato’ Lokman Noor Adam, apa yang berlaku Peguam Negara tiba-tiba mengarah inkues pula dilakukan.

Sedangkan awal Disember lepas empat lelaki yang dikatakan terlibat insiden membelasah anggota bomba terbabit direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Hujah serupa dikongsi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia. Presidennya Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar berhujah mengadakan inkues tidak perlu. “Hanya akan melengah-lengahkan keadilan kepada keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Baginya, PDRM perlu segera menyempurnakan kertas siasatan dan Peguam Negara mendakwa pihak yang terbabit.

Ini kepelikan yang dibiarkan berlaku di era sekarang. Malah ramai juga terkilan Jabatan Peguam Negara dianggap tidak tegas terhadap pihak yang menghina Islam.

Beberapa individu didapati membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti Islam disifatkan banyak pihak mengambil masa dihadap ke pengadilan.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyebut penting bagi pihak berkuasa menunjukkan kepada rakyat tiada sesiapa dilindungi daripada proses pengadilan.

Hanya hari ini seorang warga emas dihadap ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyiar kandungan jelik di Facebooknya.

Semalam seorang pemuda juga didakwa di mahkamah Shah Alam atas tuduhan sama. Ramai gusar tindakan mahkamah hanya diambil selepas umat Islam bangkit membantah.

Situasi itu juga seperti membuka ruang perhimpunan umat Melayu-Islam bagi kesekian kalinya. Sebelum ini ratusan ribu hadir membantah ICERD di Kuala Lumpur.

Semenyih

Kronologi isu yang berlaku sekarang seperti tidak membantu Pakatan Harapan (PH) di Semenyih.

Lebih-lebih lagi kenyataan Perdana Menteri mahu mengurangkan penjawat awam. Bagi ramai pengamat politik di kampus, kenyataan itu boleh mengundang tindak balak orang Melayu.

Seorang pegawai kanan pernah meluahkan, ramai sangatkah penjawat awam di Malaysia sekarang.

Sedangkan sejak lebih 60 tahun Umno bertongkat kepada kakitangan awam bagi mempertahankan kuasa. Sebaliknya PH cuba menjarakkan diri.

Situasi sekarang dibayangkan Prof Dato’ Dr Mohammad Agus Yusoff, PH bakal melalui laluan sukar di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih.

Sainstis politik itu membelek nilai integriti pemimpin PH semakin terhakis angkara gagal menunaikan pelbagai janji.

“Saya tidak nampak PH boleh memberikan imej parti yang kuat, tidak nampak sokongan kuat di akar umbi. Saya tidak nampak imej PH untuk dipertahan di Semenyih,” ujarnya pada satu forum.

Di tengah-tengah kemelut PH tiba-tiba bakal perdana menteri membangkitkan pula isu bayaran PAS kepada pengarang Sarawak Report.

Menurutnya beliau menanyakan isu bayaran kepada Clare kerana mendapati ada keanehan penyelesaian saman berkenaan.

Mengapa Dato’ Seri Anwar Ibrahim begitu bersungguh-sungguh mahu mencalarkan PAS. Mungkin sejarah 1998 mahu disisih daripada peta ingatan.

PAS mewujudkan Gerak bagi menangkis isu liwat di sisi Anwar. Hari ini bakal perdana menteri meminta usah terbawa-bawa politik adu domba dengan menggunakan nama Islam.

Ramai menjangka peluru itu ditabur selepas PAS mendedahkan ada komplot mahu menyingkrkan perdana menteri.

Masih ingatkan kita ungkapan arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Katanya - “Apa erti kamu dizalimi dan dipenjara padahal kamu difitnah. Apa erti rasa kamu derita, dizalimi bertahun-tahun. Apa pengajarannnya. Kamu kena ingat ini bukan soal Anwar.” - HARAKAHDAILY 27/2/2019

PERSEPSI awam sedang merebak dengan perasaan sangsi ekoran individu yang menghina Rasulullah S.A.W telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari ketiga dia direman. Walhal isu ini sangat sensitif yang meragut ketenangan umat Islam di mana mencetus emosi marah. Paling dikhuatiri sekiranya berlaku tindak balas luar kawalan yang tentunya menggugat ketenteraman awam.
 
Perlakuan mencerca atau menghina agama, negara, bangsa hatta individu sekalipun, adalah tindakan melampau lagi ekstrem. Kerana ia umpama menembak langsung ke jantung hati. Radikalnya bukan sekadar boleh mengakibatkan pergaduhan atau rusuhan, bahkan api peperangan bersenjata. Demikian bahaya sewenangnya dicetuskan itu, maka pelaku dalam isu ini mesti ditangani secara serius.
 
Sikap celupar, kurang ajar dan biadab ini dilihat semakin berleluasa dilakukan dengan berani di era Malaysia Baharu yang diterajui PH. Ironinya, terjadi lantaran keangkuhan dan kerakusan yang dibayangi DAP mengusik banyak terma asas tonggak negara. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan terhadap kedudukan dan hak berkaitan Islam, Melayu dan Bumiputera cuba dirombak.
 
Natijahnya, berkembang sikap fanatik dan sentimen perkauman serta agama hingga hilang rasa tolak ansur, hormat dan harmoni. Kerana pemicu senjatanya berada di tangan politik. Sekali gus, menimbulkan rasa curiga bahawa individu berkenaan juga dilepaskan oleh arahan atau pengaruh desakan politik. Lebih parah, prejudis ini gagal dihadapkan dengan sebarang penjelasan konkrit hingga kini.
 
Sehubungan itu, para pelakunya mesti ditunjukkan amaran tegas, manakala pihak berkuasa pula digesa bertindak secara profesional serta bebas dari campur tangan politik. Atas kekesalan yang berlaku dan menuntut kedurjanaan ini ditangani sewajarnya, umat akan menunjukkan solidariti menerusi Demonstrasi Bantahan selepas Solat Jumaat, 1 Mac ini di seluruh negara, dipimpin Pemuda PAS.
 
"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
 
YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 27/2/2019

More Articles ...