22
Tue, Oct
28 Artikel Baru

DAULAT Tuanku…

PAS Pahang mengucapkan tahniah kepada Kebawah Duli Tuanku.

MAJLIS Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang bersidang semalam bersetuju bahawa Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam.

Keputusan itu diumumkan oleh Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini.

Majlis pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang akan diadakan di Istana Abu Bakar Pekan pada 15 Januari ini.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Tanjung Lumpur – HARAKAHDAILY 12/1/2019

SEBELUM azan solat Subuh berkumandang dari Masjid Ayesha Kok Lanas lagi, gerai makan nasi dagang kegemaran saya yang hanya di hadapan pintu masuk Masjid sudah siap menanti kehadiran saya dan ahli jemaah yang lain. Saya tidak pasti dari jam berapa mereka bangun untuk siapkan makanan ketika ramai dari kalangan kita termasuk 'mereka' yang kata orang Melayu itu malas masih nyenyak tidur dibuai mimpi. Mana mungkin peniaga dari kalangan orang Melayu seperti mereka itu malas sebab orang Melayu yang malas tidak bangun awal pagi untuk siap berniaga.

7 tahun belajar di Negeri Jelapang Padi, hampir semua pesawah-pesawah yang saya temui adalah orang Melayu. Mereka turun ke bendang membanting tulang untuk isteri dan anak-anak. Dengan keringat empat kerat itulah, anak-anak mereka pada hari ini bergelar graduan, memenuhi sektor korporat malah ada juga yang berjawatan tinggi di sektor swasta dan kerajaan. Hasil usaha pesawah-pesawah inilah juga yang membantu memenuhi keperluan beras kita dan negara. Mana mungkin pesawah-pesawah dari kalangan orang Melayu seperti ini malas sebab orang Melayu yang malas tidak sanggup buat kerja-kerja berat seperti itu.

Dibesarkan di Johor dari kecil lagi, majoriti sahabat baik sekolah saya adalah dari keluarga penoreh getah. Selalu juga saya tidur di rumah mereka. Menyelami corak hidup sahabat baik saya yang sangat bijak dalam subjek Matematik itu sebagai anak seorang penoreh getah, apa yang dimakannya, dipakainya dan di mana tempat tidurnya. Di kegelapan awal pagi ketika manusia yang ringan mulut dan sanggup menyindir orang Melayu itu malas sedang tidur enak di singgahsana mewahnya, berbekalkan lampu dari cahaya pelita yang diikatkan di kepala mereka, ayah dan ibu sahabat baik saya itu sanggup meredah kegelapan ladang getah yang juga dipenuhi ancaman binatang buas hanya kerana ingin memenuhi keperluan makan minum sahabat baik saya dan 4 adik-beradiknya di rumah. Tidak lupa juga sumbangan besar penoreh-penoreh getah ini dari kalangan orang Melayu terhadap keperluan getah negara agar kadar import getah dari luar negara tidak setinggi mana. Mana mungkin penoreh getah dari kalangan orang Melayu seperti mereka yang sanggup bangun awal-awal pagi, sanggup pula menggadaikan nyawa mereka hanya kerana RM2-RM3 sekilo getah skrap itu malas orangnya. Sebab orang Melayu yang malas tidak sanggup buat kerja yang sedikit hasil dan bahaya kerjanya.

Menetap di Terengganu sudah lebih 15 tahun, mata saya meniti cahaya lampu kecil dan samar-samar dari bot-bot nelayan di tengah-tengah lautan. Ada yang menangkap ikan ketika waktu kita sedang siap untuk tidur dan berlabuh semula di jeti ketika matahari berada di puncak kepala. Mereka terdedah kepada bahaya ombak tinggi, dan ada juga yang mati lemas hanya kerana keperluan makan minum isteri dan anak-anak di rumah. Saya pasti tanpa pengorbanan nelayan-nelayan seperti ini, tidak merasalah masakan ikan di atas meja kita, tidak cukuplah keperluan protein anak-anak kita dan seluruh rakyat Malaysia. Mana mungkin nelayan dari kalangan orang Melayu seperti ini yang sanggup gadai nyawanya di tengah lautan itu untuk kita adalah orang Melayu yang malas.

Kalau rajinnya orang Melayu itu hanya diukur jika rumah dan keretanya besar, maka malaslah juga saya kerana rumah saya tidak besar dan kereta Myvi saya juga tidak besar. Mana mungkin orang Melayu yang malas seperti saya ada ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana.

Kalau rajinnya orang Melayu itu hanya diukur bila anak-anaknya tersenarai dari kalangan 10 lelaki terkaya di negara ini, maka berjutalah rakyat Malaysia dari kalangan orang Melayu itu yang boleh disindir Malas.

Saya tidak bersetuju dengan sindiran bahawa orang Melayu itu malas kerana sindiran bahawa orang Melayu itu malas hanya dibuat dari pandang sisi dan istilah peribadi yang sangat sempit. Kesannya juga tidak baik dari sisi pandang kaum-kaum lain di negara ini. Mahukah majikan dari kaum lain menggajikan orang Melayu yang telah tertanam di benak fikirannya oleh sentimen yang tidak sihat bahawa orang Melayu itu adalah kaum yang malas sifatnya walaupun pada hakikatnya tidak malas?

Rajin atau malas tidak hanya diukur dari harta kekayaan yang kita pamerkan ke mata manusia. Dan tidak semua yang kaya hartanya itu pula rajin orangnya kerana yang rajin menipu, rajin merasuah serta rajin menggunakan pengaruh Kronisme anak beranak itu juga kaya hartanya.

Orang Melayu tidak malas. Orang Melayu juga diakui sebagai kaum yang sangat rajin oleh catatan sejarah penjajah. Yang suka menyindir itu mungkin orang yang sebenarnya malas, malas dalam menyelami sejarah.

Jangan lagi disindir bahawa orang Melayu itu malas kerana orang Cina dan India sendiri tidak pernah kata kaumnya malas. Saya khuatir dalam sibuk menyindir orang Melayu malas, orang Melayu akan menyindir semula pemimpin Melayu yang berkenaan agar jangan malas dalam menunaikan janji manifestonya. 

HUZIR SULAIMAN
12 Januari 2019 - HARAKAHDAILY 12/1/2019

SAYA merujuk kepada kenyataan Jabatan Perdana Menteri yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 11 Januari 2019 yang menyatakan kesilapan fakta oleh saya dalam rencana saya bertajuk “Peletakan Jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Selepasnya” yang saya naikmuatkan dalam laman-laman web saya pada 9 Januari 2019. Kesilapan itu adalah mengenai kenyataan saya bahawa Tun Dr. Mahathir telah pergi ke Islana Negara tanpa diundang pada malam 9 Mei 2018 untuk meminta YDPA mengangkat sumpahnya sebagai Perdana Menteri.

Saya terima kenyataan itu sepenuhnya. Saya akui bahawa saya telah membuat kesilapan fakta dan juga komen yang berbangkit daripada kesilapan fakta itu dalam penulisan rencana itu. Saya akui ia disebabkan oleh kecuaian saya sendiri dan saya tidak mengemukakan apa-apa alasan (excuse) di atas kesilapan itu. Saya bertanggungjawab sepenuhnya.

Dengan rendah diri dan dengan penuh penyesalan, saya memohon maaf kepada YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir di atas kesilapan itu dan apa-apa persepsi negatif terhadap beliau yang disebabkan oleh kesilapan dan komen itu.

Saya juga mengangkat sembah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memohon maaf kiranya terdapat apa-apa kesilapan fakta yang melibatkan baginda dalam rencana itu walaupun, setakat ini, belum ada sesiapa yang menunjuknya.

Saya juga memohon maaf kepada semua pihak yang telah menyiarkan rencana itu dan kepada semua pembaca di atas kesilapan dan kecuaian saya itu.

Saya telah pun membuat pindaan yang perlu kepada rencana itu. Saya meminta semua pihak yang telah menyiarkannya online supaya turut menarik balik rencana asal itu dan, jika mahu, menyiarkan rencana yang telah dipinda ini sebagai ganti.

Sekian.

Tun Abdul Hamid Mohamad
12 01 2019 - HARAKAHDAILY 12/1/2019

PROSPEK ekonomi 2019 dijangka pasif.

Bank Dunia mengunjurkan KDNK Malaysia akan berkembang pada kadar 4.7 peratus dalam tahun 2019, dan akan terus berkembang perlahan kepada 4.6 peratus dalam tahun 2020, seiring dengan ketidaktentuan ekonomi global dan serantau.

Unjuran Bank Dunia ini adalah lebih rendah berbanding angka rasmi pertumbuhan ekonomi pada kadar 4.9 peratus yang diumumkan oleh Kerajaan semasa Belanjawan 2019.

Di dalam laporan Prospek Ekonomi Global Januari 2019 bertajuk ‘Darkening Skies’ (Langit Kelam), Bank Dunia menyatakan pertumbuhan import Malaysia adalah lemah berbanding trend serantau, manakala Malaysia berhadapan dengan risiko peningkatan paras hutang awam dan swasta, hutang luar negara dan penyertaan pelabur asing dalam pasaran bon tempatan.

Selain itu, sentimen keyakinan peniaga dan pelabur di Malaysia, yang diukur melalui Indeks Keyakinan Perniagaan oleh RAM Holdings (RAM BCI) mendapati, keyakinan perniagaan bagi separuh pertama 2019 berada pada tahap terendah sejak 2017.

RAM dalam satu kenyataan berkata, pelbagai faktor dikaitkan dengan sentimen perniagaan yang lemah dalam enam bulan akan datang iaitu pengurangan pertumbuhan domestik, permintaan global yang tidak menentu, kelemahan aktiviti pelaburan serta kekurangan pemangkin positif termasuk Belanjawan 2019 yang agak neutral.

RAM berkata, sejumlah firma yang terbabit dalam kaji selidik itu bersetuju faktor ekonomi yang lemah adalah cabaran utama perniagaan mereka dalam tahun 2019, diikuti oleh kenaikan kos menjalankan perniagaan dan peningkatan persaingan.

Justeru dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa, fokus perlu diberi untuk merancakkan permintaan dan meningkatkan daya tahan. Segmen pengguna dinasihatkan agar terus berbelanja secara berhemah bagi merancakkan permintaan domestik, di samping penumpuan perlu diberikan bagi meningkatkan dayatahan peniaga kecil dan sederhana di seluruh negara, antaranya melalui kempen ‘Beli Barangan Buatan Malaysia’.

Prospek politik 2019 pula dijangka aktif.

Tirai politik negara bagi tahun 2018 berlabuh dengan beberapa episod mendebarkan.

Sejurus Pilihan raya Umum ke-14 yang dimenangi oleh Pakatan Harapan, beberapa pilihan raya kecil telah menyusul berikutan kematian penyandang seperti di Dun Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, serta pengosongan kerusi seperti berlaku di Parlimen Port Dickson, yang kesemuanya menyaksikan keputusan ‘status-quo’ dimenangi oleh parti kerajaan.

Namun pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands dan Dun Semenyih yang bakal berlangsung dalam masa terdekat, akan menghangatkan pentas politik dalam negara, di samping perubahan senario politik di pihak kerajaan berikutan sejumlah besar Ahli Parlimen Umno yang telah mengisytiharkan keluar parti, dan kini sedang menanti untung nasib mereka.

Selain itu, pergolakan dalaman di pihak Pakatan Harapan dijangka bertambah rumit, bermula dengan perebutan jawatan tertinggi di dalam pemilihan PKR dan DAP seluruh negara, desas-desus rombakan kabinet oleh Perdana Menteri menjelang sidang Parlimen yang akan bermula Mac ini, serta persoalan besar berhubung jawatan Perdana Menteri ‘menanti’ yang masih belum terjawab secara tuntas oleh Pakatan Harapan.

Malah Perdana Menteri dilihat ‘berseorangan’ ketika menyuarakan pendirian dalam isu sensitif seperti pilihan raya kerajaan tempatan (PBT), bantahan ratifikasi ICERD, pengiktirafan sijil UEC dan cadangan projek kereta nasional, serta beberapa isu serantau dan antarabangsa melibatkan hubungan dengan Singapura, Amerika Syarikat dan China.

Di sebalik kemelut dalaman di pihak Kerajaan, Perdana Menteri dilihat komited untuk menghidupkan kembali semangat federalisma yang sedikit tergugat sebelum ini, khususnya dalam membaiki hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang dimenangi parti pembangkang, seperti kesediaan untuk menyalurkan peruntukan pembangunan dan pengembalian royalti kepada Kelantan dan Terengganu.

Justeru dalam menghadapi ketidaktentuan politik semasa, fokus perlu diberi untuk meningkatkan penyampaian dan mengekalkan kestabilan dalam negara. Kebajikan rakyat perlu diutamakan, dan persaingan politik yang berlebihan perlu dikurangkan kerana tidak menguntungkan rakyat keseluruhannya.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
11 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 11/1/2019

SEMALAM timbul polemik dalam media maya Facebook yang cuba mengaitkan DPPNPs dengan isu pemecatan 25 imam di seluruh Negeri Perlis.

Kenyataan yang bertajuk 'Pemuda PAS dalangi demo di Masjid Guar Syed Alwi?' adalah kenyataan jahat berbaur fitnah kerana cuba menimbulkan persepsi negatif masyarakat kepada PAS.

DPPNPs juga mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang cuba membabitkan PAS dalam isu 25 imam.

Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat jam 3.01 petang 11 Januari 2019 dan DPPNPs menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat isu ini.

DPPNPs berpendirian bahawa isu ini seharusnya ditangani dengan baik antara pihak JAIPs dan ahli qariah masjid-masjid yang terlibat agar satu penyelesaian terbaik dapat dicapai.

DPPNPs juga menaruh keyakinan bahawa pentadbiran JAIPs sentiasa terbuka dalam menerima perbezaan dalam amalan yang dijalankan selagi mana tidak bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Yang bertanggungjawab

USTAZ MUHAMMAD AZMIR AZIZAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis.
12 Januari 2019 / 6 Jamadil Awal 1440H - HARAKAHDAILY 12/1/2019

 

PARA penggemar ketum melompat gembira apabila terdapat satu laporan akhbar dalam talian yang melaporkan ketum mempunyai khasiat perubatan. Kononnya juga laporan tersebut memetik hasil kajian daripada seorang pensyarah di sebuah uiniversiti tempatan Malaysia.

Saya membaca dengan teliti setiap ulasan yang ditulis oleh wartawan itu. Sayugia saya merumuskan bahawa ketum masih lagi berbahaya untuk kegunaan awam. Kajian yang dibuat oleh Dr Rusdi dari Universiti Malaya itu pun masih di peringkat kajian dan memerlukan kajian susul lanjut serta kemas dari sudut metodologi.

Mana mungkin kajian yang berbentuk pemerhatian secara hirisan lintang itu terus boleh mendakwa ketum baik untuk kesihatan dan mempunyai manfaat perubatan? Para pengkaji yang mahir dalam bab statistik kajian tidak akan cepat membuat konklusi yang tidak tepat ini. Kerana akhirnya masyarakat umum akan menyalin tampal kenyataan yang tidak tepat itu di luar dari konteks sebenar. Atau mungkin ulasan wartawan yang tidak memahami kaedah statistik dan metodologi kajian untuk diterjemahkan kepada masyarakat umum?

Penulisan yang diberitakan dalam laman web berkenaan lebih kepada pengalaman seseorang yang berada di lapangan. Pengalaman orang tua-tua menggunakan ketum itu boleh diterima sebagai satu petua yang tiada alternatif lain dalam masa terdesak. Tetapi perlu diingat bahawa ketum akan menjadi ketagih dan tanda-tanda ketagih mula timbul seawal 28 jam.

Oleh yang demikian unsur penyalahgunaan ini perlu dititik beratkan berbanding dengan manfaat yang sedikit. Tambahan pula masyarakat kita di Asia ini terlalu kreatif dalam mengambil ketum sehingga boleh mendatangkan mudarat kepada badan. Ada di antara mereka yang mencampurkan dengan dadah lain dan bahan-bahan bahaya seperti ubat nyamuk dan sebagainya.

Apa yang merisaukan kami di posisi ahli perubatan adalah, kesilapan kenyataan dari pihak tertentu itu boleh menyebabkan orang awam mendapatkan akses berubat dengan perkara yang masih belum dibuktikan secara emperikal yang sahih. Jika ianya hanya dalam bentuk anekdot dan tiada asas kajian yang kukuh, dibimbangi orang awam akan meletakkan sandaran berubat kepada sumber yang tidak tepat. Sedangkan kaedah untuk merawat penyakit-penyakit yang didakwa itu sudah pun terbina dalam perubatan moden. Badan berkuasa ubat pun telah beberapa kali mengeluarkan amaran atas dakwaan dan tuntutan perubatan yang tidak tepat mengenai khasiat perubatan ketum.

Lebih menyedihkan lagi berita yang di luar konteks dan tidak tepat itu disiarkan dalam laman-laman web yang Islamik. Seolah-olah Islam membenarkan mengambil bahan terlarang tersebut. Sedangkan majlis fatwa dan mufti telah pun mengeluarkan hukum bahawa ketum adalah haram.

Lihat ulasan yang telah dibuat oleh SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan dalam isu ini: "Daun ketum meskipun ada faedahnya, namun mafsadahnya lebih besar dan tidak hairanlah kerajaan Malaysia juga telah mengharamkannya melalui Akta Racun 1952, Seksyen 30 (3) dengan menyebutnya sebagai bahan psikotropik. Ini juga secara tidak langsung kaedah sad al-Zari’ah (menutup jalan-jalan mudarat) telah digunakan bagi membendung permasalahan penyalahgunaan daun ketum."

Oleh yang demikian, pada 1 Ogos 2016 bersamaan 27 Syawal 1437H, Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak telah memutuskan bahawa cadangan penanaman pokok ketum adalah diharamkan. Ini berdasarkan kepada mafsadah (kerosakan) dan mudarat yang lebih besar berbanding dengan manfaatnya.

Semoga pencerahan ini boleh menjelaskan kekusutan yang berlaku akibat dari kekeliruan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu. – HARAKAHDAILY 11/1/2019

SEMINAR sehari sejarah PAS pada 19 Januari ini di Dewan Fadzil Noor, KUIZM, Taman Melewar, Kuala Lumpur akan dapat diikuti secara lintas langsung di mana sahaja di seluruh dunia termasuk di bilik Perdana Menteri dan ibu pejabat DAP.

Sebuah NGO yang mengendalikan media melalui Facebook, Nothing To Hide Media, www.nthmedia.com.my telah menawarkan khidmat sukarelanya untuk membuat liputan seluruhnya secara terus sepanjang program.

Ia telah menghanar tiga orang kru ke dewan seminar bagi memastikan keperluan teknikal mengizinkan dan ia berjanji untuk lapan orang kru untuk membuat liputan itu. Ia juga sedia menyebarkan maklumat seminar itu dari semasa ke semasa sehingga seminar itu berlangsung.

Ia bukan hak ekskusif membuat liputan baginya. Ia akan memberikan khidmat bersama lain-lain media. Penganjur membuka peluang membua liputan kepadA semua media yang berminat tetapi mestilah mendapatkan kelulusan daripada penganjur.

Penganjur membenarkan bilangan tertentu sahaja bagi mengelakkan kesesakan dan moga-moga majlis berjalan tanpa gangguan. Kerana itu penganjur mengharapkan media yang beminat dapat membuat pendaftaran awal.

Seminar yang pertama sepertinya sejak PAS ditubuhkan pada tahun 1951, sejak 68 tahun lalu rata-rata disertai orang-orang parti melalui berbagai lapisan. Ia juga dibuka kepada fakulti sejarah universiti-universiti, pelajar-pelajar sejarah dan peminat sejarah.

Jika semua warga PAS yang diwajibkan hadir jumlahnya melepasi seribu orang. Ia menyebabkan seminarin dan seminarat bukan PAS terhad. Dianggarkan peserta parti yang hadir sekitar 80 peratus.

Persiapan dibuat supaya peminat sejarah khususnya plajar dan anak muda dapat mengikutinya. Justeru itu, yang berminat boleh membuat pendaftaran awal dengan menghubungi Puan Noriah Yunus WhatsApp 019-676 6454. Yuran penuh RM30 dan bagi pelajar RM20. Tarikh tutup pada15 Januari tetapi penganjur boleh menggunakan budi bicara kepada pendaftaran lewat jika tidak mengganggu pengurusan. – HARAKAHDAILY 11/1/2019

More Articles ...