24
Wed, Apr
25 Artikel Baru

KERAJAAN PH seumpama Kerajaan BN kelihatan masih gagal membendung gejala penagihan arak. Malah lebih teruk kini arak ‘out specification’ dengan kandungan alkohol yang terlalu tinggi mula menular.

Terkini disahkan sekurangnya 15 lelaki disahkan meninggal dunia dan 33 lagi dimasukkan ke hospital dipercayai akibat keracunan arak sekitar kawasan Lembah Klang sejak dua hari lalu dan terdiri daripada warga asing dan warga tempatan. Dilaporkan kini masih ada 33 lagi mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh (15 orang), Hospital Kajang (15 orang), Hospital Selayang (seorang), Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (seorang) dan Hospital Shah Alam (seorang) kerana mengalami simptom yang sama. Mereka dipercayai meminum tiga jenis arak yang dikenalpasti iaitu Mandalay Whiskey, King Fisher Beer dan Grand Royal Whiskey.

Saya melihat bagaimana Undang-undang yang sedia ada masih tidak berkesan menghalang penyeludupan arak beralkohol tinggi yang bukan sekadar mabuk malah membunuh cepat para peminumnya.

Malaysia yang pernah didedahkan sebelum ini sebagai Negara ranking ke-10 dunia peminum arak. Beberapa tahun lalu didedahkan Malaysia telah berada di ranking ke-10 negara konsumer arak terbesar dunia dan disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang menyatakan rakyat Malaysia menghabiskan lebih RM1.5 bilion setahun untuk membeli arak.

Jika ditinjau kesannya setiap tahun, 30 peratus kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku kerana pengaruh alkohol. Malah lebih teruk dari itu, arak juga sering dikaitkan dengan jenayah penganiayaan, dera, rogol dan bunuh. Gejala pengambilan arak juga kini sudah menular kalangan pelajar sekolah dengan arak murah semurah RM3 yang juga mengandungi kadar alkohol yang tinggi serta pernah didedah oleh majalah Mastika sekitar tahun 2009 lalu.

Saya juga melihat di saat Menteri Kewangan dan Perdana Menteri mencanang bebanan ekonomi Negara dan hutang Negara yang berbilion, kerajaan juga perlu menilai tahap kerugian Negara kepada sektor perubatan yang membelanja wang besar untuk merawat penyakit yang sengaja dicari seumpama ketagihan arak ini. Kes kanser peparu, sakit jantung, kanser hati adalah antara perawatan yang berpunca masalah ketagihan arak.

PAS mengajak kesemua kaum dan agama bersatu menentang gejala ketagihan arak malah Islam amat benci kepada kerosakan fizikal dan mental akibat meminum arak. Arak adalah pemusnah nilai ketamadunan dan kewarasan rakyat. Rakyat yang mulia adalah senantiasa menjaga diri, akal dan nyawa masing-masing. Semua agama tidak mahu pasangan atau anak-beranak mereka mati sia-sia melalui gejala penagihan arak yang membazir dan merosakkan sistem sosial Negara.

Saya juga mahu melihat kelantangan Kabinet menyelar gejala ini dan mengambil sebarang tindakan yang paling berkesan untuk membendung jenayah ini. Kabinet kerajaan tidak sepatutnya hanya bingkas mengkritik dan menolak isu sebat cara syariah di Terengganu.

Adakah mereka hanya kerajaan yang hanya skeptikal dan alergik dengan perlakukan bersyariat semata-mata atau benar ikhlas mahu menyelamatkan dan memartabatkan taraf rakyat mereka sendiri.

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik / Timbalan YDP PAS Kawasan Sik
19 September 2018 - HARAKAHDAILY 19/9/2018

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia tertarik dengan beberapa laporan media pada hari ini mengenai beberapa pemimpin utama Umno yang telah membuat keputusan untuk keluar parti.

Memang benar, setiap individu tersebut mempunyai hak masing-masing untuk menentukan wadah perjuangan mereka. Sehingga hari ini, tiada mana-mana parti politik termasuk Umno yang boleh menghalang wakil rakyat melompat parti atau menjadi bebas berdasarkan perundangan negara. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa wakil-wakil rakyat di pihak Gagasan Sejahtera (PAS) untuk mengusulkan akta “Anti Lompat Parti” agar mana-mana wakil rakyat yang melompat parti atau keluar parti menjadi wakil bebas, kerusi yang ditandingi tersebut mesti dikosongkan bagi membolehkan rakyat memilih semula.

Walaupun tidak menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang sekarang, namun tindakan keluar parti tanpa mengosongkan kerusi bagaikan tindakan mengkhianati amanah rakyat, mengkhianati perjanjian parti, dan mengkhianati keyakinan pengundi di kawasan mereka.

Pemimpin seharusnya sedar bahawa kemenangan mereka semasa pilihan raya adalah disebabkan oleh jentera parti, khidmat ahli-ahli parti akar umbi, manifesto parti dan kesepakatan antara pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti yang mendukung calon-calon parti di setiap Parlimen atau Dun.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berharap tindakan sebegini harus diberhentikan agar proses demokrasi terus subur. Rakyat telah memilih pada PRU14. Seharusnya setiap wakil rakyat bekerja keras sehingga PRU15 dan tidak terbabit di dalam sebarang percaturan politik untuk menentukan mana-mana individu terus berkuasa atau menghalang mana-mana individu mendapat kuasa di peringkat tertinggi dalam negara kita.

Demi Bangsa Malaysia!

Shahir Adnan
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
19 September 2018 – HARAKAHDAILY 19/9/2018

SEMALAM (18 September 2018) Lembah Klang digemparkan dengan kes keracunan arak sehingga menyebabkan 19 orang meninggal dan 32 yang lain dalam pantauan hospital di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes ini akan disiasat bagi memastikan pengilang dan pengedar mematuhi piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 untuk mengelakkan campuran secara haram yang mengakibatkan keracunan metanol.

Islam memandang serius isu pengambilan arak terutamanya dalam kalangan Muslim demi menjaga kewarasan akal fikiran dan menjaga kesihatan tubuh badan yang boleh menyebabkan kerosakan organ tubuh badan, meruntuhkan institusi kekeluargaan bahkan mengancam keselamatan umum.

Demi menjaga nilai moral dan tatatusila yang bersesuaian dengan adat kehendak terutamanya rakyat Malaysia, Islam mengharamkan setiap perkara yang berkaitan dengan arak seperti yang dijelaskan bersesuaian dengan hadis daripada Anas bin Malik R.A yang bermaksud: "Rasulullah S.A.W melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: Pemerah anggur (untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya". [Hadis riwayat Imam Al-Tirmidzi (1296) dalam Sunan]

Pemuda PAS Batu melihat perkara ini mesti dipandang secara serius dan aktiviti pengawalan pengambilan arak mestilah dikuatkuasakan oleh pihak berautoriti secara lebih telus dan menyeluruh dengan melibatkan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan.

Kewajaran pengawalan arak bukan lagi hanya untuk Muslim, bahkan di kalangan non-Muslim juga. Ia juga mestilah tidak dipolitikkan sekiranya kita serius ingin menyelesaikan masalah moral dalam kalangan rakyat Malaysia.

Berwaspadalah, kerana arak yang tidak beracun juga adalah racun masyarakat. - HARAKAHDAILY 19/9/2018

Penulis ialah Naib Ketua Pemuda PAS Batu.

MAAF cakap. Tapi agak kecewa dengan sikap orang kita yang aktif di media sosial. Walaupun Muktamar dua hari cukup padat dengan ilmu dan idea, tetapi perkara tersebut tidak begitu tersebar di alam maya. Ucapan dasar, perbahasan perwakilan, penggulungan dan penangguhan pimpinan tidak menjadi viral. Sebaliknya boleh dikatakan kebanyakan sibuk menyambut serangan musuh mengenai baju Amal. Padahal itu cuma isu yang sengaja disensasikan. Kenapa perlu menari ikut rentak musuh? Kenapa tidak bawa agenda sendiri?

Tidak tahu, apakah fokus kepada isu Amal adalah satu langkah strategik dari organisasi parti sendiri, ataupun inisiatif facebookers dan mujahid siber PAS akibat tidak memiliki sebarang agenda strategik yang lain. Jika ia adalah langkah strategik, maka tiada pertikaian lagi. Mungkin ada maslahahnya tersendiri. Tetapi jika inisiatif akar umbi, saya rasa perlu perbetulkan kembali fokusnya. Amat malang jika respon ini adalah hasil umpanan musuh politik.

Mungkin fenomena ini timbul kerana mentaliti kita masih simplistik dan tidak berapa gemar memberatkan pemikiran. Lebih suka melayan provokasi dan sentimen murahan. Jika benar ini faktornya, malanglah PAS. Parti bernuansa Islam ini sepatutnya berdiri atas dasar ilmu dan agama. Bukan sentimen dan rasa.

Joseph Liow, fellow Brookings Institute pada 2003 menyatakan PAS kuat kerana ahlinya dipupuk dengan perbincangan berat mengenai ideologi (fikrah). Ini menyebabkan mereka susah dirosakkan. Tahun 2017 beliau menyatakan pula bahawa Islamis di Malaysia sudah tidak pentingkan perihal ideologi menyebabkan mereka senang terdorong utk bersikap oportunis. Maknanya, kualiti ahli sudah berubah ke tahap membimbangkan.

Ayuh ahli PAS. Buktikan dapatan Joseph Liow ini silap. Bangkit semula dengan kembali membincangkan perihal ideologi dan ilmiah di media sosial. Olah dalam bentuk yang sesuai bagi mentaliti rakyat setiap lapisan. Tugas utama kita dakwah, sementara politik hanyalah alat dan wasilah. Tetapkan jati diri, jangan tertukar matlamat, barulah tidak mudah terikut rentak asing.

8 Muharram 1440
18 September 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 18/9/2018

 

BERIKUTAN 51 kes keracunan metanol di Kuala Lumpur dan Selangor (sehingga 19 September 2018) di mana 19 kematian dan 14 yang lain dalam keadaan kritikal, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak terkejut sama sekali. Bagaimana alkohol yang dicampurkan ini berakhir di pasaran? Ini kerana kami telah lama menggesa pihak berkuasa sejak empat dekad yang lalu supaya mengambil pendirian tegas untuk mengawal penjualan alkohol tetapi gesaan itu berlalu begitu sahaja dan mengalami kejutan apabila insiden ini berlaku. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa sesetengah kedai menjual arak seludup.

Kejadian keracunan metanol ini bukanlah pertama kali berlaku dan bukanlah yang terakhir kerana ia pernah berlaku pada 1977 (18 kematian), 1979 (21 kematian), dan 1981 (32 kematian). Sebab kepada kejadian ini ialah samsu, bir, atau arak murah tetapi dicampurkan dengan metanol beracun (dijual secara komersial sebagai methylated spirit).

Pada 2005, rakyat Thailand keluar beramai-ramai ke jalan raya di Bangkok, Thailand untuk membantah terhadap permohonan bagi penyenaraian di pasaran saham oleh syarikat pembuat bir terbesar Thailand. Mereka berjaya menolak permohohan itu.

Ini adalah hasil rakyat Thailand yang melihat keluarga yang berpecah-belah, kemerosotan pelajar, bilangan kemalangan yang berkait dengan memandu dalam keadaan mabuk, pergaduhan yang berlaku selepas mengambil alkohol.

Hampir 20 peratus (13 juta) rakyat Thailand menandatangani petisyen menyokong Akta Kawalan Minuman Alkohol Thailand apabila ia pertama kali dicadangkan. Kami ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Thailand di atas pendirian mereka yang menentang kerana mahukan sebuah masyarakat yang sihat serta bebas daripada alkohol dan menggunakan wang mereka untuk makanan dan keperluan lain bagi keluarga mereka.

Seperti rakyat Thailand, rakyat Malaysia juga seharusnya mengambil berat mengenai isu yang melibatkan mereka dan bukannya mengambil sikap ‘tidak apa’. Kami juga ingin merayu kepada pembuat dasar supaya menggubal atau meminda undang-undang yang lebih ketat dan tegas bagi mengawal penjualan alkohol memandangkan sekarang kita boleh melihat kedai alkohol semakin banyak dibuka dan beroperasi dengan kawalan yang sedikit oleh pihak berkuasa.

Kami menggesa supaya mengehadkan alkohol berdasarkan enam perkara berikut:

1. Alkohol mendedahkan risiko kesihatan.
2. Masalah sosial akibat daripada kemabukan alkohol;
3. Kemalangan jalan raya berkaitan dengan pengambilan alkohol;
4. Perbelanjaan yang tidak sepatutnya ke atas pengambilan alkohol yang boleh digunakan untuk perbelanjaan keluarga;
5. Keganasan rumahtangga berkaitan alkohol; dan
6. Mencegah keracunan metanol memandangkan ia boleh menyebabkan kematian.

Bahaya alkohol yang dibawa kepada masyarakat menuntut perhatian kita. Walaupun kerajaan menaikkan had usia minimum yang dibenarkan bagi pengambilan alkohol daripada 18 kepada 21 tahun pada 1 Disember 2017, ia tidak menangani masalah yang berkaitan dengannya. Contoh yang jelas ialah adalah sukar untuk memantau jika kedai runcit yang menjual alkohol mematuhinya untuk membuat pengesahan usia pembeli muda yang mencurigakan.

Adalah dianggarkan bahawa pada 2016, terdapat 2 bilion orang di seluruh dunia yang mengambil alkohol dan 2.8 juta orang mati disebabkan berkaitan alkohol.

Perangkaan Malaysia menunjukkan pengambilan alkohol per kapita (liter setahun) amat membimbangkan. Ia semakin meningkat daripada 0.8 liter setahun pada 2005; 1.2 liter pada 2010; kepada 1.7 liter pada 2015. Pada 2011, Kuala Lumpur mempunyai bilangan tertinggi peminum semasa dengan kira-kira 154,200 (19.3 peratus) daripada penduduk; Sarawak, 440,000 (17.8 peratus); Sabah/Labuan, 526,440 (16.4 peratus); dan Pulau Pinang, 221,520 (14.2 peratus).

Tambahan pula, mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 (3.0 peratus) dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar (284,160 daripada penduduk) cenderung untuk membelanjakan lebih banyak daripada pendapatan mereka ke atas alkohol berbanding penduduk umum bandar (681,790 penduduk) pada 2016. Daripada penduduk umum bandar yang mengambil alkohol, kumpulan usia termuda yang dikesan ialah antara 13 dan 14 tahun.

Ia adalah satu perkembangan yang amat membimbangkan disebabkan mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 yang merupakan dari kategori B40. Tabiat merokok dan/atau minum mereka akan menjejaskan perbelanjaan mereka ke atas makanan dan keperluan lain bagi keluarga. Menurut laporan 2016, rakyat Malaysia membelanjakan lebih daripada RM2 bilion ke atas alkohol setiap tahun, menjadikan kita pengguna terbesar ke-10 di dunia.

Pengambilan alkohol juga menyebabkan tidak kurang daripada berbelas penyakit seperti anemia, penyakit kardiovaskular, sirosis, dementia, gout dan juga peningkatan risiko kanser. Pada 2012, ia menyumbang kepada 30.8 peratus sirosis hati dalam kalangan lelaki dan 28.6 peratus dalam kalangan wanita; dan Majlis Keselamatan Jalan Raya menganggarkan memandu ketika mabuk menyebabkan 30 peratus daripada kemalangan jalan raya di seluruh negara dengan 38 peratus mengakibatkan kematian.

Kajian juga menunjukkan ketidakhadiran di tempat kerja berkaitan dengan pengambilan alkohol ialah 16 kali lebih tinggi berbanding bagi alasan lain.

Sehubungan itu, kami mencadangkan:
• Kedai alkohol seharusnya tidak dibenarkan dalam lingkungan 500 meter daripada sebarang kawasan perumahan, hospital, institusi agama dan pendidikan.
• Alkohol juga seharusnya tidak dijual di Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), kedai runcit yang memberikan perkhidmatan kepada Angkatan Tentera Malaysia sejak 1983.
• Waktu operasi kedai yang menghidangkan alkohol mestilah dihadkan contohnya dari jam 1 petang hingga 9 malam, dan perabot seperti meja dan kerusi tidak ditempatkan di luar kedai (termasuk kaki lima jalan).
• Memperkenalkan hukuman penjara mandatori bagi mereka yang menjual alkohol campuran atau yang diseludup yang mana dutinya tidak dibayar.
• Mengenakan ‘cukai dosa’ (sin tax) ke atas alkohol (sama seperti yang dikenakan kepada rokok) dan digunakan untuk tujuan promosi kesihatan oleh Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MHPB).
• Melarang penjualan alkohol dan rokok bebas cukai, malah di lapangan terbang.
• Mengharamkan sepenuhnya iklan alkohol.

Kami mencadangkan agar ‘cukai dosa’ dikenakan ke atas alkohol sama seperti yang dilakukan ke atas tembakau dan rokok supaya cukai itu boleh digunakan untuk membiayai program pendidikan dan kesihatan yang berkaitan dengan bahaya pengambilan alkohol dan merokok. Program boleh dijalankan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dengan pembiayaan diberikan oleh Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MHPB). MHPB ditubuhkan pada 2006. Pengambilan alkohol perlu dihadkan bagi memastikan rakyat Malaysia yang lebih sihat.

S.M MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang - HARAKAHDAILY 19/9/2018

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya benar-benar serius dengan tindakan tegas terhadap dua ladang khinzir yang beroperasi di Gertak Sanggul di sebelah barat daya pulau yang didakwa melepaskan sisa kumbahan tidak terawat ke dalam laut. Tindakan segera diperlukan agar penduduk, nelayan dan orang awam yang sering berkunjung ke kawasan tersebut yakin dengan apa yang dikatakan oleh pihak kerajaan negeri untuk menangani masalah yang telah sekian lama berlaku ini.

SAM telah beberapa kali mengemukakan aduan kepada pihak-pihak yang berkenaan seperti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) namun perkara ini masih tetap berlaku seolah pihak-pihak yang berkenaan tidak mengambil serius untuk menyelesaikan segala permasalahan ini.

Mesyuarat dan lawatan lapangan juga telah diadakan sebelum ini malah jaminan yang diberikan oleh beberapa agensi-agensi yang terlibat untuk menangani isu pencemaran ini seumpama kata-kata manis tapi tiada tindakan yang berkesan diambil. Perkara ini amat mengecewakan dan membimbangkan.

Memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Dr. Afif Bahardin melalui portal Free Malaysia Today (FMT) yang bertarikh 17 September 2018 menyatakan bahawa kumbahan tak terawat itu bukan sahaja memberi kesan ke atas penduduk yang tinggal sepanjang pantai dengan bau busuk tetapi juga menggugat tangkapan nelayan di situ. Malah katanya lagi, beliau kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah penternak khinzir yang gagal menyelia ladang mereka dengan baik dan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan bertindak tegas terhadap penternak khinzir yang tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Artikel tersebut juga menyatakan selama berdekad-dekad ladang khinzir di Gertak Sanggul dan banyak tempat di Seberang Perai memberi kesan buruk ke atas alam sekitar. Seharusnya pihak-pihak yang bertanggungjawab mengakui kebenaran tersebut bahawa kebanyakan sisa-sisa buangan dan kumbahan yang terhasil dari ladang ternakan khinzir yang dilepaskan ke parit, sungai atau laut adalah tidak dirawat 100%.

Apabila sistem rawatan kumbahan tidak digunakan, masalah seumpama ini akan timbul dan menyebabkan rasa kurang senang penduduk dan nelayan yang berhadapan dengan bau yang busuk selain menyebabkan pencemaran di sekitar kawasan berhampiran.

Selain itu, akhbar The Star turut melaporkan pencemaran dari ladang khinzir telah mencemarkan kawasan pantai di Gertak Sanggul dan ahli biologi marin memberi amaran bahawa sejenis bakteria boleh menjangkiti makanan laut di Gertak Sanggul dengan pathogen berbahaya yang berkemungkinan dari penularan bakteria salmonlella, E-Coli serta virus Hepatitis A.

SAM menggesa semua pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas pengusaha ternakan khinzir yang mencemarkan kawasan pesisir pantai di Gertak Sanggul ini. SAM percaya jika masalah ini dibiarkan ia bukan saja boleh mengancam alam sekitar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang malah kesihatan penduduk dan sumber pendapatan nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan ikan juga akan turut terjejas.

Justeru SAM berharap apa yang telah diperkatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Pulau Pinang Dr. Afif Bahardin pada kali ini menjadi bukti kepada penduduk tempatan bahawa pihak beliau benar-benar serius untuk tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap penternak khinzir yang tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan. 

S M Mohamed Idris
Presiden Sahabat Alam Malaysia - HARAKAHDAILY 19/9/2018

SAYA tertarik dengan kelantangan YB Nurul Izzah yang menyuarakan hukuman gantung terhadap kes seorang lelaki dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana memiliki, memproses dan mengedarkan ganja yang diproses untuk tujuan perubatan.
Hujah beliau: "Ganja semakin diterima ramai di banyak negara sebagai tumbuhan yang mempunyai banyak faedah, terutamanya rawatan pelbagai penyakit kronik".

Dari sudut perubatan, saya memohon agar YB mendapatkan maklumat yang tepat dari pihak yang berwibawa. Terdapat dua isu di sini yang perlu difahami.

1. Ganja boleh mengubati penyakit? Tidak terbukti setakat ini. Pihak Berkuasa Ubatan (FDA) hanya meluluskan pemberian minyak ganja terhadap penyakit sawan (epilepsy) jenis dravet syndrome sahaja. Itupun sebagai sebagai rawatan tambahan dari kaedah rawatan sedia ada. Bukti kajian lain masih lagi tidak melepasi kajian klinikal sehingga membolehkan ianya digunakan secara meluas oleh masyarakat. Lagipun apa-apa ubat yang dikategori sebagai dadah wajib mematuhi akta Racun Negara 1952 dan Akta Dadah Merbahaya. Andaikata undang-undang membenarkan, tidak semua orang bebas memiliki, memproses dan mengedar ganja. Ianya wajib diseliakan oleh pegawai yang diberi kuasa oleh undang-undang seperti doktor dan ahli farmasi. Contohnya morfin, sejenis ubat yang termaktub dalam Akta Racun, hanya doktor dan ahli dalam bidang perubatan sahaja boleh memiliki dan memberikan kepada pesakit atas indikasi khusus.

2. Isu kedua adalah hukuman gantung yang dijatuhkan ke atas pesalah. Jika dilihat dari sudut keadilan, ianya mungkin tidak bersesuaian dengan perjuangan hak asasi. Dalam Islam terdapat hukum yang boleh dikiaskan bagi penggunaan ganja yang boleh merosakkan ini. Kias hukumnya adalah kesalahan penggunaan arak. Namun saya tidak mahu ulas lanjut kerana ianya bukan bidang saya. Para alim ulama Islam muktabar perlu dirujuk bagi menentukan hukum yang bersesuaian. - HARAKAHDAILY 18/9/2018

Penulis ialah Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma).

More Articles ...