23
Tue, May
26 Artikel Baru

Pindah pengundi bagi jatuhkan PAS Kelantan

Berita
Typography

PAS mendakwa berlaku pemindahan pengundi secara besar-besaran di Kelantan oleh Umno BN sebagai tindakan mahu menjatuhkan Kerajaan PAS yang lebih 25 tahun mentadbir negeri itu.

Menurut AJK PAS Pusat Datuk Dr Fadzli Hassan mereka berjaya mengesan proses pemindahan pengundi yang dibuat ke atas beberapa DUN yang terpilih bagi menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan.

"Kita yakin tindakan ini dilakukan oleh Umno Kelantan. Bagi kita ini adalah tindakan tidak bermoral dan tidak demokratik," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS selepas Mesyuarat Khas AJK PAS Pusat, hari ini.

Sebelum ini, beliau juga pernah menyatakan bantahan terhadap daftar pemilih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ekoran berjaya mengesan lebih 200 pengundi yang dipindahkan.

Malangnya, kata beliau daftar pemilih yang terbaru suku pertama tahun 2017 didapati gerakan pemindahan yang luar biasa telah berlaku.

"Misalnya, di DUN Bukit Panau lebih 100 pengundi di dalam parlimen telah dipindahkan ke DUN tersebut. Manakala di DUN saya sendiri, Tamangan pula seramai 700 pengundi dalam 3 DUN dipindahkan ke Dun Temangan.

"Kita kenal pasti pengundi-pengundi yang didaftarkan dan dipindahkan adalah penyokong tegar Umno BN," tegas beliau.

Beliau turut menasihati Umno BN Kelantan agar menghadapi PAS di negeri itu secara bermaruah dan 'gentlemen' kerana PAS telah mempertahankan negeri itu melalui cara demokrasi tulen sehingga berjaya mentadbir kerajaan lebih 25 tahun.

Justeru katanya, SPR perlu berlaku adil di dalam menguruskan proses pilihan raya negara ini bukannya menjadi alat kepada mana-mana parti yang mendominasi.

Turut bersama di dalam sidang media itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan dan AJK PAS Pusat Abdullah Hussin. – HARAKAHDAILY 18/5/2017