24
Sat, Jun
13 Artikel Baru

Lantikan politik berdasar kehendak PKR

Berita
Typography

KERAJAAN negeri sudah menghantar surat pelantikan kepada 75 lantikan politik mewakili PKR berdasar senarai nama yang diberi pimpinan parti terbabit sebelum ini.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia surat pelantikan itu berdasar kepada nama yang dicadangkan PKR.

"Kita telah hantar surat tawaran cuma terpulang kepada mereka untuk menerima atau tidak, lepas ini akan ada majlis angkat sumpah.

"Kita masih mengekalkan mandat pada pilihan raya 2013. Kita masih meneruskan setakat ini," katanya selepas mengadakan dialog bersama persatuan penternak ikan Sungai Geting, Tumpat hari ini.

Kelmarin Biro Politik PKR membuat keputusan supaya pemegang jawatan lantikan politik dalam kerajaan Kelantan meletak jawatan serta merta.

Che Abdullah yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, PAS tetap berpegang kepada mandat rakyat yang diberikan pada pilihan raya umum (PRU) lalu walaupun tiada hubungan politik bersama PKR.

"Oleh itu terpulang atas individu terbabit yang diberi tawaran, kalau dia tidak terima, kita tidak boleh buat apa-apa.

"Kita tidak boleh memaksa mereka untuk menerima, lagi pun kerja sukarela, tetapi kita memang berhasrat untuk meneruskan mandat ini," jelasnya.

Menurutnya, mandat rakyat pada PRU 13 akan berakhir dengan pembubaran parlimen dan Dun.

Pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan di Kelantan sedang berjalan sekarang selepas seminar dan watikah pelantikan diadakan pada awal bulan ini. – HARAKAHDAILY 18/5/2017