Harap-PGU: Demi melihat Islam didaulatkan

Berita
Typography

ISLAM yang diperjuangkan PAS selama ini akan membawa kesejahteraan kepada seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam.

"Mesej Islam ini akan kita bawa dengan penuh kasih sayang kepada seluruh masyarakat yang berada di tempat kita," ujar Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah dhuha pada Himpunan Harapan Semua PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.6 di Batu 24, Kuala Berang hari ini.

“Ini yang kita nak bagi tahu pada seluruh masyarakat tapi masalahnya orang tak percaya.

"Kita buat sebaik mungkin, selebihnya serah kepada Allah orang nak terima atau tidak dakwah kita,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh.

Menurutnya, program Harap-PGU diadakan di seluruh Terengganu demi melihat Islam didaulatkan di bumi Malaysia ini.

“Kita tidak berpeluk tubuh saja. Kita nak bagi tahu pada orang Hulu Terengganu bahawa inilah perjuangan PAS. Begitu juga baru-baru ini kita adakan Harap di Besut," jelasnya dipetik Buletin Online.

Harap-PGU 3.6 yang diadakan di Dun Kuala Berang, Hulu Terengganu itu adalah yang keenam selepas Dun Seberang Takir (Kuala Nerus), Dun Pulau Serai (Dungun), Dun Pengkalan Berangan (Marang), Dun Kemasik (Kemaman), dan Dun Kota Putera (Besut).