The Star sepatutnya lebih sensitif

Berita
Typography

TAJUKNYA Ketua Pengganas di Malaysia dengan gambar orang Islam sedang menunaikan solat Tarawih memberi gambaran dan niat yang tersembunyi akhbar The Star.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata sepatutnya akhbar terbabit lebih sensitif terhadap perkara sedemikian.

“Lagi pun ia bukan kali pertama, malah sudah berkali-kali akhbar itu menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kepada sebuah akhbar yang tekenal dan mendapat liputan meluas di Malaysia,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini.

Baru-baru ini akhbar berbahasa Inggeris, The Star menyiarkan tajuk muka hadapan 'Malaysia Terrorist Leader' dan di bawahnya ada gambar umat Islam sedang menunaikan solat Tarawih.

Ekoran itu Kementerian Dalam Negeri memanggil pengarang akhbar terbabit.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata amat tidak patut  akhbar itu berbuat demikian. – HARAKAHDAILY 31/5/2017