24
Wed, Apr
26 Artikel Baru

Pertahan Kelantan elak syiar Islam malap

Berita
Typography

SYIAR Islam yang sedang marak di Kelantan sekarang dibimbangi terencat sekiranya rakyat membiarkan parti lain mentadbir negeri ini selepas pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.

“Dataran Stadium ini tempat kita mengadakan solat tarawih, khatam dan daurah al Quran pada Ramadan yang baru sahaja berlalu.

“Tempat ini cukup bersejarah kepada rakyat Kelantan, namun ia dibimbangi program itu tidak ada lagi sekiranya dibiarkan parti lain menerajui Kelantan pada masa akan datang,” kata Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Oleh itu Menteri Besar mengajak rakyat Kelantan mempertahankan kerajaan yang ada sekarang.

Katanya pendokong gerakan Islam dan rakyat perlu ada kekuatan dalaman dan luaran bagi mempertahankan kerajaan negeri.

Menurutnya, gerak kerja bagi mempertahankan Kelantan sudah tidak ada masa rehat sekarang.

“Nabi Muhammad SAW tidak ada masa rehat bagi menyebarkan Islam sehingga bekembang ke seluruh dunia. Begitu juga kita sekarang tidak ada masa rehat. Perlu kekuatan dalaman dan luaran.

“Namun setiap gerak kerja kita juga hendaklah secara tersusun dan berdisiplin. Kena akur arahan pimpinan bagi membentuk kerjasama yang utuh,” katanya pada pelancaran munajat kemenangan fasa kedua di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV, bermula jam 4.15 pagi tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakub, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Program bermula dengan solat tahajud, solat hajat, witir dan Subuh. Solat hajat diimamkan anggota jawatakuasa Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat.

Munajat tersebut diadakan selama 60 hari berturut-turut yang meliputi 14 kawasan parlimen dan 45 Dun. Pagi esok di Tumpat dan lusa Pengkalan Chepa.

Sebelum ini munajat pusingan pertama diadakan di seluruh Kelantan menjelang pembentangan rang undang-undang Pindaan Akta 355 di parlimen. - HARAKAHDAILY 30/6/2017