Bapa biologi: NGO pertahan tindakan JPN

Berita
Typography

PERTUBUHAN Kasih Anak Yatim Malaysia (KAYMA) turut mempertahankan tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak membenarkan anak tak sah taraf boleh dibinkan kepada nama bapa biologi.

Yang Dipertuanya, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, penetapan nasab seseorang anak bagi menentukan sama ada sah atau tidak tarafnya, bukan bertujuan menghukum anak atas dosa yang dilakukan ibu bapanya.

Sebaliknya kata beliau bertujuan menjaga kesucian dan keutuhan nasab dan keturunan.

“Ini telah dirumuskan oleh ulama sebagai termasuk salah satu daripada matlamat atau maqasid syariah,” katanya.

Baru-baru ini Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur memutuskan bidang kuasa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya tertakluk kepada Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 dan tidak terikat dengan fatwa.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dilapor berkata, Ketua Pengarah JPN bertindak secara tidak rasional apabila enggan mengubah nama bapa daripada 'Abdullah' kepada nama sebenar bapa anak berkenaan dalam sijil kelahiran.

Dr Zulkeflee juga berkata, keutuhan nasab amat penting untuk dipelihara, kerana akan memberikan implikasi terhadap aspek hukum syarak.

Selain itu menurutnya aspek pembahagian harta pusaka, perwalian, pernikahan dan hukum-hakam berkaitan mahram. – HARAKAHDAILY 1/8/2017