21
Mon, Aug
12 Artikel Baru

Ladang Rakyat: Audit Negara buktikan tuduhan Husam tidak betul

Berita
Typography

KETIKA pemimpin parti serpihan cuba menggambarkan projek di bawah Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat bermasalah, sebaliknya Jabatan Audit Negara pula menganugerah Sijil Bersih Tanpa Teguran.

Ladang Rakyat semalam menerima sijil bersih Pengauditan Penyata Kewangan Tahun 2016 daripada Jabatan Audit Negara.

Sijil itu diserah wakil Jabatan Audit Negara Cawangan Kelantan kepada Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Mohd Khairil Hazmie Yusof.

Mohd Khairil berkata, di sebalik tuduhan berlaku ketidakcekapan dan salah tadbir pengurusan, Ladang Rakyat diiktiraf mematuhi amalan perakaunan kewangan oleh Jabatan Audit Negara.

“Saya mewakili warga Perbadanan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang berterusan memberi sokongan dan kepercayaan kepada kami dalam menjayakan objektif meningkatkan ekonomi rakyat miskin,” katanya di Kota Bharu.

Baru-baru ini Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa pada catatan di media sosial menyebut lima anak syarikat Ladang Rakyat rugi, di mana empat ‘tutup kedai’.

Menurutnya juga Ladang Rakyat Project Management Sdn Bhd pula rugi RM8.4 juta pada 2016.

Manakala dalam perkembangan berkaitan Jabatan Audit Negara memberi markah 99 peratus Prestasi Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 kepada Pejabat Menteri Besar Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Prestasi itu mendahului negeri-negeri lain termasuk Selangor (96.20 peratus), Pulau Pinang (96.16 peratus), Terengganu (94.50 peratus), Johor (91.30 peratus) dan Kedah (90.01 peratus).

Laporan Audit Negara 2016 mendapati pencapaian pengurusan kewangan bagi 12 jabatan dan agensi negeri di Kelantan cemerlang.

Manakala lima jabatan dan agensi mendapat penarafan pada tahap baik.

“Jabatan dan agensi negeri boleh mempertingkatkan pengurusan kewangan ke tahap yang lebih baik jika langkah-langkah penambahbaikan dijalankan dan sentiasa peka terhadap pekeliling terbaru dikeluarkan kerajaan.

“Ia bagi membantu melicinkan lagi proses pengurusan kewangan di jabatan dan agensi serta mengadakan program latihan berterusan kepada pegawai yang terlibat pengurusan kewangan.

“Ini agar mereka dapat meningkatkan pengetahuan dan kompetensi dalam menjalankan tugas,” lapor Jabatan Audit Negara 2016 dikeluarkan Isnin lepas. – HARAKAHDAILY 2/8/2017