21
Mon, Aug
12 Artikel Baru

Kerangka NGO bantu PAS menang PRU14

Berita
Typography

PAS meletakkan kerangka kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara bagi membantu parti itu menguasai dan memenangi Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS Pusat, Kamaruzaman Muhammad berkata semua NGO Islam adalah ‘mini jemaah’ kepada perjuangan.

“Kita adalah NGO Islam yang merupakan mini jemaah dalam PAS yang akan menjadi pendesak dan pencetus ke arah kemenangan PRU14.

“NGO PAS ini akan berada dalam masyarakat sebagai mata telinga parti,” ujarnya pada Majlis Dialog NGO Bersama Pemimpin PAS di sebuah restoran di Kuala Terengganu, kelmarin.

Justeru, beliau menyeru dan berharap semua NGO mempunyai hala tuju dan terajunya bersama PAS dan mendukung perjuangan Islam.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ustaz Husain Awang dan timbalan pesuruhjaya III, Yahaya Ali.

Yahaya selaku Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS negeri berkata, para anggota parti perlu mendapat maklumat dari sumber yang betul.

“NGO perlu mengambil pendekatan yang jelas dari sumber yang jelas dan media rasmi kita itu yang perlu dirujuk saperti Buletin Online, Harap TV dan Harakah supaya setiap tindak tanduk yang bakal dibuat itu berfakta dan jelas, itu semestinya akan membantu PAS,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Menurutnya, setiap NGO perlu mewujudkan unit media masing-masing dan diselaraskan bagi membantu tenaga media PAS.

“Kita mahu semua (unit) media (NGO) bergabung dan mampu diselaraskan untuk membantu ‘upgrade’ media kita sebagai NGO yang mampu menguasai pemikiran di alam maya dan terkesan dengan apa (isu) yang dikeluarkan oleh NGO kita,” katanya.

Katanya, ia adalah amat perlu untuk melahirkan tokoh di kalangan NGO yang mampu menjadi pencetus dan menjadi suara kuasa ketiga.