21
Mon, Aug
12 Artikel Baru

Penduduk kampung tagih dijanji kerajaan negeri

Berita
Typography

KAMPUNG Bulau, Kampung Mutap dan Kampung Sinop berada dalam daerah Bekenu dalam kawasan parlimen Sibuti. Cara yang terdekat untuk sampai ke kampung-kampung berkenaan adalah melalui sungai dengan menggunakan bot enjin sangkut.
 
Apabila menggunakan jalan raya jaraknya agak jauh dari pekan Bekenu mengambil masa kira-kira 45 minit untuk sampai ke kampung berkenaan kerana jalan kerikil dan jalan tidak rata melalui pintu masuk ke ladang kelapa sawit.
 
Pihak kami telah membuat tinjauan ke kampung-kampung berkenaan dan didapati masih lagi ada masalah kekurangan keperluan asas seperti bekalan air bersih.
 
Penduduk kampung mengadu masalah tiada bekalan air bersih dan jalan masuk masih belum diturap sepenuhnya. Mereka sudah lama memohon dan ada pihak yang berjanji untuk memberi bantuan tapi sampai sekarang masih boleh ditunaikan.
 
Rata-rata penduduk kampung yang ditemuramah berasa kecewa kerana sudah banyak kali pilihan raya diadakan dengan janji-janji untuk memberi peruntukan menyalurkan bekalan air bersih ke kampung mereka tetapi sehingga kini janji hanya tinggal janji yang tiada kesampaian.
 
Antara kampung yang tidak mempunyai bekalan air bersih ialah Kampung Mutap dan Kampung Sinop. Mereka terpaksa menggunakan pam air yang disalurkan dari sungai berdekatan dan menggunakan air hujan untuk kegunaan harian.
 
Air sungai yang keruh dan tidak bersih itu memang tidak baik untuk kesihatan dan mereka juga menghadapi masalah untuk mendapatkan air bersih terutama musim kemarau.
 
PAS menggesa kerajaan dan pihak-pihak yang berkaitan untuk membekalkan bekalan air bersih dan menyelesaikan jalan tar sepenuhnya ke kampung untuk menyediakan kemudahan asas dan menjaga kesihatan mereka daripada terus bergantung kepada air sungai keruh dan tidak baik untuk kesihatan.
 
Diharap pihak yang berkenaan dapat memberi perhatian serta segera bertindak mengatasi masalah rakyat ini dari berterusan. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan amat dihargai. – HARAKAHDAILY 7/8/2017

Tagih 2

Tagih 3