21
Mon, Aug
12 Artikel Baru

Kita bekerja untuk merancang kemenangan

Berita
Typography

NAIB Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menekankan 11 ciri-ciri keberkesanan tarbiyah yang menjadi sinergi utama kepada penerusan gerak kerja dakwah dan siasah.

“Gerak kerja tarbiyah tidak mampu dilihat dalam masa yang singkat. Namun, kita hendaklah meletakkan husnu as-thiqah billah (bersangka baik dengan Allah) bahawa Dia akan membantu perjuangan ini.

"Oleh itu, ayuh kita peranankan diri dengan bekerja untuk merancang kemenangan,” ujarnya pada Liqa’ Fikri anjuran PAS Kawasan Lembah Pantai, kelmarin.

Beliau juga menekankan agar ahli PAS membina persekitaran yang baik (biah solehah) terutama dalam keluarga masing-masing.

Menurutnya, tarbiah tidak akan berkesan jika tidak dihidupkan dalam komuniti yang kecil ini.

Menyentuh ciri terakhir dalam unsur keberkesanan tarbiah, beliau yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang mengajak para hadirin agar menanam kehendak yang jitu untuk membantu parti kerana hakikatnya, kejayaan atau kegagalan sesuatu perkara bergantung pada individu itu sendiri.

Para hadirin tidak melepaskan peluang mengajukan persoalan mengenai perkembangan PAS serta isu-isu semasa yang berkaitan.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Kawasan, Kamzuri Fuad memaklumkan bahawa PAS Lembah Pantai akan menghantar calon untuk bertanding dalam PRU14 nanti.

Beliau turut menyeru semua agar mampu menggembleng tenaga ke arah mencapai kemenangan yang dinantikan kelak.

Program itu bertujuan meneruskan agenda membina kefahaman dan menyuntik taujihat ahli dengan mendengar ucapan dari pimpinan tertinggi PAS.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa wehdah serta laungan takbir yang diketuai oleh Ustaz Tarmizi Abdullah bagi mengukuhkan lagi kesatuan jentera parti peringkat kawasan Lembah Pantai. - HARAKAHDAILY 9/8/2017

LP2