PPR mahu diroboh untuk bangun kediaman mewah

Berita
Typography

UNDI mereka merupakan ‘deposit’ penting kemenangan pilihan raya pihak tertentu hingga diumpan dengan segala pemberian. Tetapi umpama kata pepatah, “Habis madu sepah dibuang”, begitulah kebimbangan yang mula melanda.

Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, Putri Wangsa, Tebrau kini resah terhadap masa depan mereka. Kediaman yang mereka duduki itu bagaikan pulau yang dikepung oleh kepesatan pembangunan mewah di sekililingnya.

Maka, kawasan itu menjadi sangat mengiurkan bagi pihak tertentu yang mahu mendapatkannya untuk pembinaan lebih menguntungkan kerana nilai tanah di situ semakin tinggi di mana PPR yang mempunyai 2,000 unit rumah itu didakwa bakal dirobohkan.

Ketika sama kalangan ahli politik turut mahu mengambil kesempatan menjadikannya laba kepentingan diri. Jadilah rakyat selaku golongan bawahan sebagai mangsa yang boleh dipertaruh dan disingkirkan apabila kerajaan menjadi serigala kapitalis.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Seri Anugerah, Nasir Abdullah, para penduduk di situ kebanyakannya adalah dari kalangan rakyat miskin atau setinggan dari beberapa daerah selatan negeri itu. Mereka dihimpunkan di PPR tersebut pada tahun 2007 dengan sewaan RM124 sebulan.

Pada 18 Januari 2008, Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak pada majlis penyerahan kunci menjanjikan hak sewa milik selepas 5 tahun menduduki dengan harga RM35,000 kepada para penghuni.

Malangnya, janji tinggal janji dan atas nama Persatuan Penduduk Taman Desa Mutiara, mereka mengutus surat pada tahun 2014 kepada Menteri Besar, Datuk Seri Khalid Nordin meminta agar janji tersebut dipenuhi, tetapi menerima reaksi sebaliknya.

Bahkan, usaha penduduk mendapat pembelaan daripada Ahli Parlimen dihalang oleh tindakan parti politik tertentu menyebabkan penduduk bukan sahaja dituduh pro-pembangkang, malah persatuan penduduk juga dibatalkan oleh campur tangan politik.

Selain itu, PPR tersebut seperti diabaikan apabila penyelenggaraan bangunan tidak dipedulikan sebaiknya menyebabkan penduduk menanggung ketidakselesaan yang teruk. Antaranya kebocoran paip pembentungan dan kumbahan hingga menyebabkan suasana memualkan.

Penduduk juga diletakkan dalam keadaan bersalah oleh pelbagai kelemahan mereka yang bagai diugut dan didesak untuk keluar disebabkan hutang sewaan. Ketidakmampuan menyewa di luar menyebabkan ada yang merempat dan kembali bersetinggan.

Sedangkan, mereka menghidu adanya diskriminasi apabila terdapat penghuni yang juga punya hutang lebih banyak sehingga lebih RM7,000, tetapi tidak dikenakan tindakan atau penyitaan dan meter air atau elektrik juga tidak dipotong.

Kerana mereka itu dilihat menjadi pengampu atau rapat dengan orang atau parti politik tertentu. Juga terdapat penghuni bukan dari kalangan rakyat Johor, tetapi didakwa membuat bayaran sewa yang lebih agar dapat menyewa di situ.

Tekanan politik juga hinggakan penduduk dinafikan banyak kepentingan awam lain seperti penggunaan padang, peminjaman peralatan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), serta pengecualian bayaran penggunaan bekalan air bawah 25 meter padu.

Ini kerana, PPR mereka dibekalkan air secara sistem pukal yang berbeza dengan PPR lain di Johor di mana disalurkan mengikut rumah masing-masing. Mereka turut merungut kawasan parkir digunakan pihak lain untuk meletakkan kenderaan berat.

Gesa Nasir juga, untuk keadilan, senarai penyewa di situ juga perlu dilakukan pemutihan kerana terdapat mereka yang tidak layak disebabkan mempunyai pendapatan melepasi garis kemiskinan.

Pasrah dengan perobohan yang amat mungkin dilakukan terhadap PPR itu, mereka mahu pembelaan kebajikan dari pihak kerajaan agar diganti rumah lebih baik dan di kawasan tidak terpencil atau jauh dari kemudahan asas seperti dinikmati kini.

Mereka juga mengingatkan pihak pemerintah agar tidak ‘merampas’ hak hidup golongan fakir miskin, serta tidak menyalahgunakan kuasa dan mengambil kesempatan ke atas golongan itu membiarkan mereka hidup terumbang-ambing.

Pertemuan bersama wakil penduduk telah dihadiri Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Juwahir Amin; Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Azman Atmin; Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Tebrau, Jauhar Ali dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Tebrau, Abdul Rahman Musa. – HARAKAHDAILY 16/8/2017