21
Sun, Jul
19 Artikel Baru

PAS Selangor bakal letak ramai muka baru

Berita
Typography

BAGI mengisi 42 kerusi di DUN Selangor pada PRU-14 nanti, PAS akan mengetengahkan calon-calon di kalangan muka baru dan yang paling penting mereka adalah pilihan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata, kebanyakkan calon yang akan diketengahkan PAS pada pilihan raya nanti adalah muka baru memandangkan beberapa wakil rakyat PAS yang sedia ada telah berpaling tadah kepada PAN.

"PRU lalu kita tanding 21 kerusi, kita menang 15 kerusi kemudian ada yang cabut dan pergi kepada PAN. Tambahan ini adalah muka-muka baru," katanya dalam sidang media.

Katanya, PAS meletakkan syarat yang sangat ketat untuk menjadi calon antaranya mereka mestilah pemimpin yang baik dan tidak ada rekod jenayah sebagaimana digariskan oleh Majlis Syura Ulamak.

Jelasnya, calon-calon ini mestilah diserahkan kepada Majlis Syura Ulamak terlebih dahulu kerana penilaian itu bukan sahaja dinilai luaran sahaja tetapi melihat komitmen calon kepada program-program parti.

Sementara itu, Sallehen juga menegaskan PAS tidak pernah menutup pintu perbincangan ke arah kesejahteraan rakyat Selangor.

"PAS bersama PKR di dalam kerajaan dan kita sentiasa bincang dalam konteks kerjasama untuk kesejahteraan rakyat Selangor. Kita tidak bincang soal tiga penjuru sebab dengan Menteri Besar kita bincang soal kerajaan. Kita tidak bincang hal-hal kerusi dengan MB," katanya.

Begitu juga katanya, di dalam lawatan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali tidak lebih kepada untuk bertanya khabar bukannya mengenai pilihan raya sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

Daripada sasaran 42 kerusi itu, katanya PAS bersedia untuk bertanding di kerusi DAP, BN dan PKR termasuklah kerusi Azmin Ali di Bukit Antarabangsa dan Wan Azizah di Kajang.

Walaupun PKR memenangi hanya 14 kerusi, PAS dan rakan sekutu Pakatan Rakyat lain bersetuju supaya parti itu menerajui kerajaan negeri Selangor. – HARAKAHDAILY 24/8/2017