21
Sun, Jul
19 Artikel Baru

Memali: RCI demi keadilan, bukan politik

Berita
Typography

PRESIDEN PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sanggup memberi kerjasama pada bila-bila masa sahaja apabila dipanggil bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang mungkin ditubuhkan bagi menyiasat tragedi berdarah Memali.

Bercakap kepada media beliau berkata, dalam kejadian Memali 1985 banyak perkara yang tersirat dan tersembunyi yang tidak diketahui umum dan perlu didedahkan di dalam RCI itu nanti.

"Bersetuju RCI di tubuhkan. Banyak tersirat rakyat akan tahu mereka yang hidup masa itu pun tahu ramai yang jadi mangsa, anggota polis pun jadi mangsa. Kerana penyelesaian tidak betul sebab itu perlu tubuh RCI," katanya selepas menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Rusila hari ini.

Berhubung 'Amanat Haji Hadi' kononya menjadi salah satu punca tercetusnya peristiwa Memali, Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan Menteri Dalam Negeri Datuk Musa Hitam waktu itu tidak pula mengenakan apa-apa pertuduhan dari segi agama dan undang-undang terhadap beliau.

"Buku saya tulis pada tahun 2002 dan dicetak sebanyak 3 kali, dan waktu itu saya difahamkan Musa Hitam sebagai Menteri tidak mengambil tindakan. Saya anggap lebih kepada perjuangan politik nak siasat balik pun tak apa," katanya.

Jelasnya, penubuhan RCI bukan kerana kepentingan politik sebaliknya demi mencari keadilan kepada mangsa dan keluarga mangsa terbunuh termasuklah polis itu sendiri.

"Banyak lagi polis buat kenyataan selepas itu bermakna mereka dipaksa kerana politik, kita tidak menyalahkan orang-orang yang dipaksa itu," katanya.

Justeru katanya, kerajaan kena menghantar wakil dan mendengah hujah-hujah mereka serta menyiasat secara terperinci sebab-sebab berlaku kejadian itu, di dalam RCI nanti.

Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa kekecohan semasa forum "Nothing to Hide 2.0" baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin.

Susulan itu, pemimpin kanan PAS itu mengulangi desakan supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyemak semula peristiwa 32 tahun lalu itu dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan kerajaan untuk berbuat demikian sekiranya ada permintaan.

Dua bekas ketua polis negara, Tun Mohammed Hanif Omar dan Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor bagaimanapun mempersoalkan kewajaran membuka semula siasatan yang sudah selesai. – HARAKAHDAILY 25/8/2017