21
Sun, Jul
19 Artikel Baru

Pemuda PAS Selangor sedia hadapi tiga penjuru

Berita
Typography

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) telah bersedia menghadapi pertembungan tiga penjuru pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
shukrisngorKetua Penerangan DPPNS, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya dari awal telah bersedia dengan sebarang kemungkinan, apatah lagi sudah dalam jangkaan reaksi yang diberikan oleh DAP dan PAN.

"Umno kekal menjadi musuh di dalam politik serta tidak akan berlaku sebarang kerjasama pembahagian kerusi dengan mereka," tegasnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sikap itu juga adalah sebagai menyambut apa yang telah diumumkan oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Sallehen Mukhyi bahawa PAS Selangor sedia bertanding sekurang-kurangnya 42 kerusi.

Katanya, DPPNS telah melancarkan jentera pilihan raya Pemuda di setiap kawasan dan hanya menunggu sahaja arahan dari pimpinan.

"Cabaran dari DAP dan PAN kami sambut dengan lunas demokrasi," ujarnya.

Katanya lagi, PAS hadir dalam masyarakat membawa visi politik Islam yang menjaga agama dan mentadbir negara.

Tambahnya, dalam kemelut yang dihadapi negara secara berterusan PAS sudah mempunyai solusi untuk dihamparkan buat rakyat iaitu Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara.

Katanya, keberadaan PAS dalam iklim politik tanah air bukan bersifat rakus berkuasa serta memperalatkan emosi rakyat demi kepentingan diri tetapi melaksanakan tanggungjawab besar bagi menegakkan Islam serta menyanggah kebatilan.

"PAS membuktikan di saat konflik Menteri Besar Selangor, kita terus mempertahankan mandat rakyat.

"Rakyat Selangor mampu melihat dengan bijaksana parti politik mana yang mempermainkan kepercayaan mereka sedangkan PAS kekal berprinsip," ujarnya.

Menurutnya lagi, rakyat bijak menilai dari siri-siri kelantangan pimpinan PAS terhadap kemungkaran 1MDB, penyelewangan FGV dan lain-lain.

"Kami terus konsisten untuk melihat Malaysia yang lebih baik yang menjaga hubungan di antara kaum, keadilan terus ditegakkan, pertumbuhan ekonomi yang cemerlang dan Islam kekal terpelihara.

"Moga rakyat terus dapat membuat pilihan yang terbaik buat negara dengan Islam sejahtera seluruhnya," katanya. - HARAKAHDAILY 26/8/2017