Bolasepak Sukan Sea: Enam ruang solat di Stadium Shah Alam

Berita
Typography

KERAJAAN Negeri Selangor telah mengambil satu lagi pendekatan kemudahan mesra rakyat dengan menyediakan keperluan ruangan solat untuk lebih 80,000 penonton beragama Islam yang hadir menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea pasukan Malaysia menentang Thailand di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, penambahan ruangan tersebut dilakukan selepas mengadakan perbincangan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Alhamdulillah, pada malam ini kita dapat saksikan ramai dalam kalangan penonton yang hadir selain memberi sorakan kepada pasukan bola sepak negara kita, mereka juga tidak lupa melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan terhadap tuntutan agama.

"Matlamat kita jelas, tujuan penambahan ruangan solat ini adalah kita nak pupuk dan semai kepada masyarakat bahawa bersukan tidak memisahkan antara sukan dan solat. Solat boleh didirikan di mana-mana sahaja dan bukan alasan untuk meninggalkannya," katanya kepada Harakahdaily.

Stadium Shah Alam sebelum ini telah menyediakan dua ruangan solat iaitu di Zon A dan Zon B, berikutan kapasiti penonton yang begitu ramai ruangan solat ditambah menjadikan enam iaitu penonton yang hadir boleh mendirikan solat di Zon C dan D yang terletak di aras bawah dan aras tiga.

"Lebih ramai yang dirikan solat, tetapi secara bergilir-gilir dan kita juga sediakan ruangan yang cukup selesa dengan menghamparkan tikar, kita ada jemput imam untuk mengimamkan solat manakala laungan azan adalah di Zon B.

"Di tingkat tiga itu, kita ada masalah punca air untuk wuduk, kita dah bincang dengan pihak Jais dan dapatlah kita sediakan 8,000 'cup mineral water' untuk dijadikan sumber berwuduk.

"Pihak Jais dan Exco juga sediakan telekung untuk mudahkan kaum hawa solat sebab tak ada alasannya untuk mereka tidak solat," katanya. - HARAKAHDAILY 29/8/2017

SASolat