Kita halau semua Myanmar dari Malaysia

Berita
Typography

MAJLIS Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendesak kerajaan Malaysia membuat penegasan sekali lagi terhadap kezaliman Junta Myanmar ke atas etnik Rohingya.

Menurut Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid penegasan ini adalah titik terakhir dan sekiranya kezaliman terus berlaku kerajaan Malaysia digesa bertindak menghalau semua rakyat Myanmar keluar dari Malaysia.

"Kerajaan dulu sudah buat pendirian, tetapi sekarang berlaku lagi. Janganlah beretorik. Kalau begini rupanya kita halau semua orang Myanmar dari Malaysia.

"Ini sahaja jalan mengajar mereka, ini bukan soal kita tidak hormati," katanya kepada media sebaik selepas menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Myanmar hari ini.

Beliau melahirkan rasa kecewa apabila pegawai kedutaan enggan keluar menyambut kehadiran mereka sebaliknya mengarahkan orang bawahannya.

"Ini menunjukkan mereka sangat angkuh dan tidak mahu mendengar daripada sesiapapun. Kami tahu banyak resolusi yang dikeluarkan daripada OIC, UN atau Asean, mereka tidak peduli mereka tetap menghalau Rohingya," ujarnya.

Memorandum yang diserahkan turut menuntut kerajaan Junta Myanmar menghentikan serta merta operasi tentera dan persenjataan terhadap etnik Rohingya dan menghormati Deklarasi Hak Asasi Asean yang ditandatangani oleh Myanmar.

Myanmar juga didesak mengembalikan kerakyatan kepada kelompok Rohingya yang dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik kepada konflik ini.

"Myanmar hendaklah memberi pampasan kepada semua kemusnahan harta dan kehilangan nyawa kaum itu yang dibunuh tanpa perikemanusiaan.

"Minta juga Myanmar membuka semula sekatan terhadap NGO Islam supaya mereka dapat masuk ke Myanmar, hentika semua pembunuhan dan tangkapan tanpa bicara," tegas beliau.

Beliau juga meminta semua NGO di Myanmar yang ada rasa tanggungjawab terhadap kezaliman yang berlaku membantah kerajaan Myanmar bahawa tindakan mereka tidak boleh diterima sama sekali.

Seramai lima orang dibenarkan masuk menyerahkan memorandum itu antaranya Mohd Azmi Abdul Hamid, Ajk PAS Pusat Mohd Sanusi Md Nor, Pesuruhjaya PAS Wilayah Mohammad Nor Mohamad dan beberapa wakil NGO lain.

Penyerahan memorandum itu adalah anjuran Mapim, PAS Relief dan Food For Flotilla Myanmar – HARAKAHDAILY 30/8/2017