Myanmar: Solidariti untuk etnik Rohingya

Berita
Typography

PEMUDA PAS Selangor, Syarhan Humaizi berpandangan Kaum Rohingya patut dibenarkan bersama-sama NGO menyerahkan memorandum di Kedutaan Myanmar hari ini.

Namun apa yang berlaku hari ini mereka tidak dibenarkan oleh pihak polis bersama-sama NGO bagi menyatakan solidariti mereka terhadap memorandum yang diserahkan.

"Sahabat kita yang disekat. Dilayan seolah-olah seperti rakan mereka di bumi Myanmar. Mereka hadir kerana rasa tanggungjawab. Pihak berkuasa wajara toleransi untuk tanda kasih sayang dan kemanusiaan kita.

"Kita hadir bukan untuk bom kedutaan, kita waras bukan hendak belasah. Hendak tunjuk rakan saudara kita saban hari sedang dibunuh dan dibakar hidup-hidup. Layanan kita terima teruk, rakan-rakan kita dari Myanmar tidak boleh masuk," katanya di hadapan Kedutaan Myanmar hari ini.

Katanya, sepatutnya pihak berkuasa memberi ruang untuk mereka berhimpun di sini untuk menyatakan kesedihan mereka.

Beliau juga menegaskan agar memorandum yang diserahkan pada hari ini diterima oleh kerajaan Myanmar supaya menghentikan kezaliman ke atas umat Islam Rohingya di sana.

"Sekiranya kezaliman itu berlarutan, kita minta duta ini dihalau keluar daripada negara ini," tegas beliau yang diikuti laungan takbir di kalangan peserta himpunan yang hadir. – HARAKAHDAILY 30/8/2017