Saman Sarawak Report masih perlukan sumbangan

Berita
Typography

SUMBANGAN kewangan daripada ahli dan penyokong PAS masih diperlukan bagi menampung kos perbicaraan terhadap Sarawak Report (SR).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebanyak RM250,000 telah dibayar kepada peguam yang mengendalikan kes saman berhubung fitnah yang dilemparkan portal berita itu.

“Pada 2 Ogos, perbicaraan berlangsung, hakim di London bersetuju dengan hujah-hujah dari ‘lawyer’ Tuan Guru Haji Hadi (Presiden PAS) yang menafikan dakwaan Miss Brown,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ceramah Penutup Himpunan PAS Kawasan Dungun kali kedua (Himpun 2.0) di Pulau Serai, Dungun, malam tadi.

Takiyuddin menambah, dalam perbicaraan hari tersebut, hakim memutuskan bahawa pihak Presiden PAS menang dalam kes sebutan awal dan mengarahkan Claire Rewcastle Brown, membayar kos 15,000 pound di atas penanggungan kos perbicaraan.

“Bayaran mesti dibuat pada jam 4.00 petang, 23 Ogos 2017, Miss Brown merayu penangguhan bayaran dan rayuan tersebut ditolak oleh hakim.

“Brown masih tidak lagi memasukkan lagi pembelaan diri beliau pada 23 Ogos,” ujarnya.

Malah kata beliau, Claire Brown memohon tarikhnya dilanjutkan untuk memasukkan pembelaan diri dengan beralasan, peguamnya yang terdahulu telah digugurkan.

“Rumusannya, saman Sarawak Report adalah untuk membersihkan nama Islam dan nama jamaah Islam PAS yang dipalit dengan isu-isu seperti rasuah,” tegasnya.