60 lagi serah borang jadi ahli PAS di Selayang

Berita
Typography

PENYERAHAN borang keahlian PAS baru seramai 60 orang kepada Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad membuktikan bahawa parti Islam itu tidak pernah `terpadam' untuk terus mendapat sokongan rakyat.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Selayang, Ustaz Mohd Farhan Mazlan berkata, fitnah dilemparkan ke arah PAS bertubi-tubi bukan sahaja daripada Umno bahkan Pakatan Harapan (PH).

Namun katanya, PAS tetap menjadi pilihan rakyat dan terus diperlukan oleh semua parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata, amalan budaya politik matang dan sejahtera merupakan pendekatan PAS yang telah diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Seramai 60 orang telah mengisi borang PAS dan telah diserahkan kepada Ustaz Idris dalam program `Hati ke Hati' bersama beliau di Taman Selayang Mulia, semalam.

Menurut Farhan, mereka yang menjadi ahli PAS begitu yakin dengan PAS kerana dasar perjuangan dan komitmen PAS dalam membela Agama, rakyat dan bangsa.

Tambah beliau, di samping kesungguhan kerja dan perkhidmatan  membantu rakyat yang ditonjolkan oleh semua wakil rakyat PAS terutama Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib.

"Ini menunjukkan PAS terus dirasai dan diterima oleh masyarakat di seluruh negeri Selangor," katanya.

Turut menyaksikan penyerahan borang keahlian baru, Yang Dipertua PAS Kawasan Selayang, Zaidy Abdul Talib yang juga exco kerajaan negeri Selangor. – HARAKAHDAILY 11/9/2017