21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

Sambutan hangat peniaga untuk Fastaqim 2.0

Berita
Typography

PANTAI Tok Jembal, Kuala Nerus bakal menghimpun kira-kira 200,000 penyokong PAS dari seluruh negara bagi menyemarakkan Fastaqim 2.0 akhir bulan ini.

Menjelang perhimpunan itu pada 29 dan 30 September ini, PAS Terengganu kini bertungkus lumus membuat persiapan menyambut tetamu yang bakal berkunjung.

Ketua persiapan Fastaqim 2.0 (200K), Dr Alias Razak berkata, kerja-kerja persiapan berjalan lancar dan dijangka dapat disiapkan lebih awal.

Katanya, lokasi himpunan itu seluas kira-kira 50 ekar boleh menampung lebih 200,000 peserta Fastaqim 2.0 yang datang dari seluruh negara.

“Kami telah memulakan kerja-kerja pembersihan kawasan dan persiapan tempat sejak 8 September lalu.

“Kerja-kerja ini akan berterusan sehingga 28 September ini. Alhamdulillah, kehadiran petugas sukarelawan begitu bersemangat dari seluruh Kuala Nerus,” katanya ketika ditemui ketika menyertai gotong-royong di Pantai Tok Jembal.

Menurutnya juga pihak urusetia turut menyediakan 200 gerai berkanopi dan 100 lot lagi gerai tidak berkanopi.

Kata beliau sehingga sekarang sambutan daripada peniaga sangat menggalakkan dari seluruh negara. – HARAKAHDAILY 14/9/2017