26
Mon, Aug
27 Artikel Baru

Cahaya al-Quran temani pelajar tahfiz

Berita
Typography

PAS Pahang turut melahirkan simpati dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran Tahfiz Ittifaqiyah di Jalan Keramat, ibu negara pagi semalam.

Pesuruhjayanya, Ustaz Rosli Abd Jabar berkata, PAS Pahang mendoakan pelajar-pelajar dan guru yang terkorban dikurniakan husnul khatimah.

“Semoga semuanya berbahagia dengan nikmat yang dijanjikan Allah, semoga al-Quran yang mereka hafal, pelajari dan ajarkan menjadi cahaya keindahan kehidupan mereka di alam barzakh.

“Manakala keluarga mangsa diharap tabah dan redha dengan takdir yang Allah SWT tentukan dan sentiasa berdoa agar diketemukan kembali dengan mereka di akhirat nanti,” katanya di Kuantan.

Kebakaran bangunan asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung pagi semalam melibatkan kematian seramai 23 pelajar dan guru.

Dalam kejadian menjelang Subuh itu, 21 pelajar lelaki berusia 13 hingga 17 tahun dan dua guru maut, manakala tujuh lagi menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat kebakaran.

Ustaz Rosli juga berkata, sesungguhnya kematian pasti akan berlaku dengan pelbagai sebab yang tidak kita ketahui. – HARAKAHDAILY 15/9/2017