17
Wed, Jul
39 Artikel Baru

Program walimatul urus PAS jadi ikutan ramai

Berita
Typography

PAS Pahang akan menjadikan program walimatul urus perdana sebagai tawaran kepada rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) tidak lama lagi.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abd Jabar berkata, pihaknya memulakan inisiatif menganjur walimatul urus perdana sejak 2014 bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah mendirikan rumah tangga.

Katanya, ternyata alternatif itu dapat menjimatkan kos dan membolehkan pasangan menguruskan kewangan untuk membina keluarga selepas berkahwin.

“Kini konsep perkahwinan beramai-ramai yang mula diperkenalkan PAS menjadi ikutan ramai.

“Konsep walimatul urus ini juga dapat mengukuhkan hubungan silaturahim antara semua pihak tanpa mengira latar belakang,” katanya pada program Walimatul Urus 3.0 di Temerloh semalam.

Program tersebut dianjur sekretariat parlimen dengan kerjasama PAS Temerloh. Hadir sama anggota parlimen Temerloh, Ustaz Nasruddin Hassan, Yang Dipertua PAS Kuala Krau, Ustaz Shahrul Azman Abdul Halim dan pengarah program, Badli Ahmad.

Kira-kira 10,000 ahli keluarga tujuh pasangan pengantin dan penduduk tempatan hadir memeriahkan program berkenaan.

Sebanyak tujuh lembu dan 300 ayam dimasak sebagai juadah kepada orang ramai yang hadir. – HARAKAHDAILY 18/9/2017