26
Wed, Jun
13 Artikel Baru

Jangan sampai promosi negara ini destinasi arak

Berita
Typography

MALAYSIA yang sering dilaungkan sebagai negara Islam tidak sewajarnya dipromosikan sebagai destinasi minuman arak menerusi Better Beer Festival 2017.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, acara itu diuar-uarkan dengan begitu gah sehingga menampakkan negara majoriti Islam sebagai destinasi utama minuman keras di rantau ini.

Katanya, ia melibatkan isu besar dan mesti diberi perhatian pihak berkaitan, lapor SelangorKini.

“Ini bukan isu PAS tetapi isu umat Islam kerana ia boleh beri kesan buruk kepada negara.

“Kita tidak menghalang bukan Islam minum tetapi jangan sampai ada festival promosi negara ini sebagai destinasi arak.

“Kita bukan halang tetapi kita mohon jaga sensitiviti umat Islam,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui sejurus selesai menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Bersama Media di sebuah hotel, di Shah Alam, hari ini.

Iskandar yang juga Exco Kerajaan Selangor berkata, penganjuran festival itu bagaimanapun tidak pernah dibincangkan di peringkat kerajaan negeri.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menolak permohonan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ yang dicadang diadakan pada 5 dan 6 Oktober depan.