Keistimewaan PAS berbanding parti politik lain

Berita
Typography

KEISTIMEWAAN PAS berbanding parti politik lain di Malaysia ialah PAS mempunyai ahli yang sanggup mengorbankan harta benda, tenaga dan masa mereka demi perjuangan.

Mereka hadir ke Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal dengan duit poket mereka dari seluruh pelosok negara.

“Mereka sanggup berjemur di tengah panas dan basah kuyup dengan hujan,” tulis Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menerusi laman facebook, hari ini.

Menurutnya, mereka bersusah payah dengan pelbagai kemudahan berhimpun yang tentu ada kekurangan.

Tambahnya, mereka membawa anak kecil dan isteri dari tempat yang jauh dengan segala kepayahan dan kesukaran.

Katanya lagi, mereka bersedia untuk berjalan kaki berkilometer jaraknya demi sampai ke tempat Himpunan Fastaqim.

Di samping itu, ujarnya para petugas pula sanggup bersengkang mata berminggu-minggu tanpa sebarang upah dan bayaran demi menjayakan Fastaqim 2.0.

“Mereka bertugas dengan penuh etika dan disiplin serta penuh kesabaran menjaga lalu lintas, melayani keperluan peserta himpunan.

“Di saat para peserta di seluruh dalam perjalanan pulang mereka pula berpenat lelah membersihkan kawasan,” tambahnya.

Semuanya, kata beliau kerana mereka yakin bahawa mereka beramal demi mendapat syurga Allah dan bukannya habuan dunia.

“Ya Allah kurniakanlah yang terbaik buat mereka berupa kemenangan di dunia dan akhirat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/10/2017