Chef Cilik rangsang bakat pelajar PASTI

Berita
Typography
KANGAR: Rangkaian Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Smart Aulad telah mengadakan Program Chef Cilik di Shala Pizza, di sini sejak 3 Oktober dan berakhir hari ini.
 
Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pengalaman baru dan merangsang psikomotor halus kanak-kanak melalui kaedah penyusunan ‘topping’ pizza.
 
Selain itu, ia dapat mewujudkan perasaan daya saing di antara mereka dalam menghasilkan pizza yang paling unik.
 
“Melalui program ini, saya mengharapkan anak-anak PASTI bukan saja mendapat pelajaran di dalam kelas, malah dapat belajar secara tidak langsung di luar kelas,” kata Pengarah PASTI Negeri Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abdul Jalil.
 
Program ini telah melibatkan 74 orang murid 6 tahun dari tujuh rangkaian PASTI Smart Aulad, Kawasan Kangar. 
 
Beliau yang ditemui di sini berkata, sebanyak 37 buah PASTI telah berjaya ditubuhkan di negeri Perlis.
 
Ustaz Asrul mengharapkan agar lebih ramai ibu bapa akan memberi kepercayaan kepada PASTI dalam mencorakkan generasi Al-Quran demi masa depan umat Islam. - HARAKAHDAILY 5/10/2017