Program khatan PAPISMA di Selatan Thai

Berita
Typography

KERAJAAN Thai melalui Pejabat Daerah Yingo di sini memberi kerjasama sepenuhnya, program khatan amal nusantara anjuran Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia Cawangan Terengganu (PAPISMA).

Serentak itu, satu pos tentera didirikan berhampiran Masjid Darul Mukhlisin Kampung Banggol Gabus di daerah itu bertujuan mengawal keselamatan daripada anasir yang tidak diingini.

Program Khatan Amal Nusantara Selatan Thai, hari ini, 7 Oktober dijamin keselamatannya oleh pihak kerajaan Thai dan penduduk setempat demi menjaga kebajikan anak-anak penduduk Islam di daerah ini.

Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia Cawangan Terengganu (PAPISMA) Dr. Mujahid Fauzi Sulong berkata, program itu diatur berdasarkan kepada keperluan setempat dan jaminan keselamatan daripada kerajaan Thai dan penduduk terlibat.

Katanya,  PAPISMA telah membuat tinjauan keselamatan terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk mengatur aktiviti kebajikan secara percuma itu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sebuah hotel di sini sebelum program dilaksanakan sehari suntuk hari ini.

"PAPISMA mempunyai rangkaian perhubungan yang baik dengan penduduk setempat dan pihak kerajaan Thai sebelum aktiviti itu diatur," ujarnya.

Menurut beliau seramai kira-kira 80 anak penduduk Islam di Kampung Banggol Gabus Yingo  di sini dikhitankan secara percuma.

"Jumlah ini masih dikira tidak ramai kerana cuti sekolah di Thailand akan bermula dua minggu lagi.

"Jika dibuat selepas dua minggu lagi mungkin peserta  lebih ramai, " jelasnya.

Sebelum itu,  PAPISMA pernah menganjurkan khatan amal itu di Kambodia tahun lepas melibatkan 400 orang peserta.  – HARAKAHDAILY 7/10/2017