Penubuhan JITN boleh hakis wibawa SPRM

Berita
Typography

CADANGAN kerajaan menubuh sebuah agensi baharu, Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) dianggap boleh berlaku pertindihan fungsi dan pembaziran.

Selain itu boleh menghilangkan kepercayaan dalam kalangan masyarakat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sudah lama wujud.

DrZulYaacobYang Dipertua Pertubuhan Kasih Anak Yatim Malaysia (KAYMA), Dr Zulkeflee Yaacob berkata, kerajaan perlu meneliti semula cadangan menaik taraf Bahagian Integriti dan Tadbir Urus kepada sebuah jabatan.

Katanya, biarpun JITN akan menjadi agensi yang menyelaras perubahan di sektor awam dan swasta berkaitan isu tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia, namun ia tetap berlaku pertindihan fungsi.

“Apa yang jelas berlaku pembaziran kewangan, pertindihan fungsi dan tugas dengan SPRM,” katanya di Kota Bharu.

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Paul Low mencadangkan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus dinaik taraf menjadi jabatan.

Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad menyifatkan tiada keperluan JITN ditubuhkan.

Dr Zulkeflee juga berkata, kewujudan jabatan baharu tentunya membabitkan belanjawan besar kerana melibatkan pelantikan kakitangan tambahan.

“Sedangkan negara sekarang menghadapi pelbagai isu kebajikan dan keperitan kos hidup rakyat yang semakin meningkat.

“Adalah lebih baik kerajaan menambah bilangan keanggotaan SPRM untuk mencapai sasaran 5,000 orang seperti pernah dipersetujui,” ujarnya.

Namun kata beliau usaha itu tidak dapat dilakukan kerana kekurangan peruntukan. – HARAKAHDAILY 7/10/2017