DAP tanding di Kelantan? PAS OK sahaja

Berita
Typography

PAS Kelantan sejak awal lagi bersiap menghadapi kemungkinan pertandingan banyak penjuru pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, DAP yang mewakili Pakatan Harapan juga dikatakan berminat untuk bertanding di negeri tersebut.

“Kita menyambut baik hasrat parti kompenan Pakatan Harapan tersebut bahkan mempelawa meletakan calon di Dun Wakaf Bharu.

"Kita sememangnya sudah bersedia dan yakin untuk hadapi pertandingan pelbagai penjuru kerana negara demokrasi, mana-mana parti politik boleh bertanding.

"Cuma saya hendak ingatkan jangan mari menghasut bagi menimbulkan perasaan prejudis dalam kalangan rakyat pelbagai kaum Wakaf Bharu," katanya selepas merasmikan sambutan perayaan kuih bulan di perkarangan rumah Penghulu Tanpa Mukim, Ong Guan Ann di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan, Lim Guan Seng dan Pengarah Tabung Kebajikan Sosio Rakyat Dun, Abdul Aziz Mohd Zin.

Baru-baru ini Pengerusi Parti Amanah Negara Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah dilapor memberitahu ada permintaan DAP meletak calon di peringkat Dun.

Che Abdullah yang juga Adun Wakaf Bharu berkata, sambutan perayaan kuih bulan dapat mengeratkan serta memupuk perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama.

"Kita tidak mahu ada pihak yang mari untuk memecah-belahkan keharmonian dan hubungan kemasyarakatan yang sudah wujud di negeri ini sejak sekian lama,” katanya.

Lebih 300 penduduk Tionghua memeriahkan sambutan perayaan kuih bulan peringkat Dun Wakaf Bharu. - HARAKAHDAILY 7/10/2017

kuih bulan 2