DAP sukar pertahan 7 kerusi di Pahang

Berita
Typography

DAP dijangka sukar untuk mempertahankan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) lepas pada PRU14 tidak lama lagi.

Kerusi terbabit iaitu Dun Tanah Rata, Tras, Mentakab, Bilut, Ketari, Sabai dan Triang. Dewan Undangan Negeri Pahang mempunyai 42 kerusi.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, berdasar analisis semasa sekarang DAP dilihat agak sukar untuk mempertahankan tujuh kerusi yang dimenangi sebelum ini.

Katanya, tanpa sokongan pengundi teras PAS, DAP dijangka akan kehilangan sebahagian kerusi yang dimenanginya pada PRU 13.

“Apabila berlaku perpecahan dalam Pakatan Rakyat, kita menjangka parti itu paling banyak pun boleh bertahan di tiga kerusi Dun sahaja.

“Di kawasan lain DAP hanya menang di bawah 1,000 undi. Sedangkan pada PRU lepas petugas PAS bekerja gigih bagi memenangkan Pakatan Rakyat,” katanya pada sidang media di Kuantan hari ini.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Andansura Rabu dan Yang Dipertua PAS Paya Besar, Tarmizi Yahya. - HARAKAHDAILY 7/10/2017