Lebih RM20.8 juta untuk baik pulih lif pangsapuri

Berita
Typography

KERAJAAN Negeri Selangor telah membelanjakan lebih RM20.8 juta bagi kerja membaik pulih lif di kawasan perumahan pangsapuri seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata ia sebahagian usaha kerajaan negeri di bawah program ‘Selangor Smart Life’ dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta bagi menangani masalah dihadapi penduduk pangsapuri, lapor SelangorKini.

“Setakat ini kita telah membelanjakan lebih RM20.8 juta iaitu merangkumi 17 kawasan dengan jumlah 86 unit lif dibaik pulih.

“Pangsapuri Desa Mentari Blok Satu ini adalah antara kawasan dikenal pasti untuk kerja baik pulih,” katanya kepada media selepas lawatan ke pangsapuri itu, Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata, kerja membulih pulih lif di kawasan itu akan dijalankan dengan segera demi kemudahan penduduk.

Katanya, masalah kerosakan lif dikatakan berpunca daripada syarikat mengendalikannya yang didakwa penduduk menggunakan peralatan sedia ada untuk dipasang di lif kawasan lain.

“Kita telah berbincang dengan pihak berkaitan dan kerja baik pulih akan diselesaikan secepat mungkin,” ujarnya.

Menurutnya lagi, peruntukan keseluruhan bagi membaik pulih lif adalah RM22 juta manakala penyelenggaraan sebanyak RM7 juta.