20
Thu, Jun
39 Artikel Baru

Jangan susahkan penerima bantuan JKM

Berita
Typography

AHLI Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad membangkitkan persoalan adakah perlu penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memperbaharui kad mereka setiap tahun.

Hal ini kerana menurut beliau kadang-kala menyusahkan terutama bagi mereka yang tinggal jauh daripada Pejabat JKM Daerah.

"Seperti di tempat saya sendiri, mereka ini berada di hujung kawasan seperti Matang Raja, Sungai Cik Rahmat yang agak jauh untuk ke Taiping. Perkara ini sudah tentu memakan masa atau belanja, sudahlah mereka ini orang susah. Jikalau perlu didaftarkan juga, biarlah pegawai JKM turun berjumpa dengan bilangan para penerima di setiap daerah itu yang saya fikir tidaklah begitu ramai," kata Idris dalam sidang Dewan Rakyat sesi pagi yang baru sahaja selesai sebentar tadi.

Ini termasuklah rakyat daif, terlantar kerana sakit atau para penjaga mereka juga merupakan golongan fakir miskin.

Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Datuk Azizah Mohd Dun menjawab bahawa pihak JKM telah pun memperkenalkan sistem pembaharuan setiap tahun atau sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum tamatnya tempoh kad tersebut.

"Bermungkinan antara mereka sudah meninggal dunia jadi maklumat harus sampai kepada kita. Jikalau tidak timbul permasalahan di mana ada bantuan diteruskan sahaja menyebabkan isu dengan audit pula di mana kita harus memohon agar mereka membayar semula. Keduanya kita mahu tahu kedudukan mereka sekarang ini sama ada masih lagi memerlukan bantuan atau tidak," jelas beliau.

Tambah Azizah jikalau penerima tidak boleh datang ke pejabat disebabkan terlalu tua, sakit terlantar dan sebagainya maka pegawai JKM haruslah dimaklumkan.

"Pegawai JKM akan dihantar turun padang, dalam hal ini mohon bantuan ahli-ahli yang berhormat untuk memaklumkan kepada pejabat kita dan para pemimpin di peringkat kampung untuk memaklumkan tentang perkara ini," tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Beaufort itu. – HARAKAHDAILY 1/11/2017