18
Thu, Jul
47 Artikel Baru

Peniaga akui Pasar Siti Hajar selesa

Berita
Typography

SEJARAH yang berlaku di Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh hanya mengulangi episod lama. Sejak PAS menerajui Kelantan pada 1990 situasi serupa berulang.

Bermula dengan pemindahan peniaga dari Pasar Borong Jalan Hamzah ke Wakaf Che Yeh, tidak sedikit peluru yang dihala kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (Bandar Raya Islam).

Begitu juga pemindahan peniaga dari Pasar Lama MPKB dan Arked Uda tidak kurang hebatnya. Serangan bertali arus, ditambah pula campurtangan Umno.

Sejarah serupa juga menjalar ke Pasir Mas apabila peniaga diarah berpindah ke Pasar Baru di Tasek Raja, Lemal.

Tiap-tiap hari luahan tidak puas terhadap kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan memenuhi helaian akhbar.

Hari ini selepas perniagaan berbaloi di tempat baru, mereka tidak lagi bising. Begitu juga apa yang berlaku di Pasir Puteh sekarang.

Biar pun berdepan hasutan parti politik tertentu, namun sebahagian besar peniaga pasar lama berpindah ke Pasar Siti Hajar Jumaat lepas.

AzibaPeniaga kuih, Azibah Jasin berkata, beliau akur dan tidak terpengaruh dengan dakyah parti politik tertentu.

Beliau yang berniaga sejak 20 tahun lalu bersyukur kerana Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) memberi kebenaran mengubahsuai ruang berniaga.

"Suasana niaga di sini memang lebih selesa berbanding tempat lama. Angin pun masuk kerana lebih terbuka.

“Lagi pun lokasi ini terletak di Bandar Baru Pasir Puteh yang sedang dibangunkan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui.

Pasar Siti Hajat terletak di laluan pintas Pasir Puteh ke sempadan Terengganu. Ia merupakan zon strategik.

Pasar malam

MDPP juga membangunkan rumah kedai di kawasan terbabit. Selain itu juga dirancang diwujudkan 'uptown' bagi menggalakkan lebih ramai usahawan menyertai pasar malam.

Pasar tersebut dibina dengan kos RM5.3 juta turut melibatkan pembinaan surau, tandas dan stesen bas.

Sebelum ini seramai 258 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh membawa kes pemindahan ke pasar baharu ke mahkamah. Bagaimanapun mahkamah tinggi membenarkan permohonan MDPP membatal tuntutan saman tersebut.

Pada pertengahan Oktober lepas, Pengerusi Peniaga Kecil dan Pembekal Pasar Besar Pasir Puteh, Kamarzaman Che Ngah dilapor berkata, sebahagian peniaga enggan berpindah sebelum menerima keputusan Mahkamah Rayuan.

Parti Amanah Negara (PAN) pula dikatakan menawarkan khidmat peguam.

AbdulRahmanSeorang lagi peniaga, Abdul Rahman Ali, 33 berkata, beliau akur terhadap arahan MDPP berpindah ke pasar baharu.

"Apa yang dilakukan MDPP bagi memberi kebaikan serta manfaat kepada kita walau pun berat hati untuk meninggalkan pasar lama," katanya.

Halimah Mamat, 75 merupakan peniaga pertama yang memulakan perniagaan di Pasar Siti Hajar.

Beliau berniaga sejak 1980 melahirkan perasaan gembira berbaur sedih kerana meninggalkan tempat lama.

"Kalau hendak ikut perasaan tidak puas hati, tapi sampai bila. Kadar sewa di sini pun RM60 sebulan," katanya.

Seorang pengunjung Pasar Siti Hajar, Che Awang Ismail, 51, berkata peniaga di pasar itu mempunyai masa hadapan lebih cerah kerana pembangunan pesat di kawasan sekitar.

Adun Limbongan, Ustaz Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan MDPP bagi menjaga kebajikan peniaga.

Kata beliau, pihaknya mencadangkan supaya diwujudkan laluan baru ke Pasar Siti Hajar sebagai satu alternatif bagi merancakkan lagi perniagaan. - HARAKAHDAILY 1/11/2017