26
Wed, Jun
13 Artikel Baru

Pantau pelaksanaan bajet dengan 'hisbah rakyat'

Berita
Typography

KERAJAAN Umno-BN digesa supaya mewujudkan konsep pemantauan kepada segala bentuk pelaksanaan bajet bagi rakyat yang dipanggil sebagai 'hisbah rakyat'.

takiri3Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, konsep pemantauan yang dipanggil 'hisbah rakyat' itu amat perlu ditubuhkan walaupun telah ada Laporan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, jawatankuasa dan badan berkenaan tidak mencukupi kerana perlu ada satu lagi badan yang ditubuhkan melibatkan rakyat supaya ia benar-benar turun pada sasaran.

"Sebagai contoh saya ambil, bila kerajaan mengisytiharkan bahawa RM50 juta diperuntukkan untuk pendawaian sekolah tahfiz, disalurkan menerusi Giat Mara. Bila disalurkan kepada Giat Mara sejauh manakah yang disalurkan itu betul-betul sampai kepada sekolah tahfiz.

"Kalau bajet umpamanya mungkin sekitar RM10 ribu bagi sebuah sekolah mungkin di'markup' harganya menjadi RM12 ribu dan sebagainya, maka perlulah ada satu badan yang mana anggota-anggota pertubuhan atau persatuan yang terlibat dengan tahfiz ini dilibatkan sama untuk memantau turunnya bajet itu biar telus," katanya ketika membahaskan Bajet 2018 di Dewan Rakyat..

Beliau menjelaskan, di dalam Islam terdapat empat bentuk hisbah dan bentuk ‘raqabah zatiyyah’, yang bermaksud seseorang yang menjadi pemimpin mempunyai perasaan takut kepada Allah untuk bertindak paling baik untuk akhiratnya.

Selain itu katanya, ‘raqabah ilahiyah’, bermaksud pemimpin itu sedar bahawa Allah memantau segala kerja buat yang dilakukannya, di samping ‘raqabah isytimaiyyah’ yang bermaksud pemantauan masyarakat serta ‘raqabah hukumiyah’ iaitu pemantauan oleh kerajaan.

"Bentuk yang ketiga belum dilaksanakan sebetul-betulnya kerana itulah saya mencadangkan untuk kerajaan menggerakkan hisbah rakyat ini untuk menggambarkan ketelusan dalam pengurusan bajet turun kepada rakyat," katanya.

Dalam perbahasan tersebut, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut menyentuh mengenai isu defisit dan hutang yang seringkali ditimbulkan apabila muncul pembentangan bajet.

Katanya, amat mengecewakan apabila jawapan yang diberikan kerajaan tetap sama dengan alasan berhutang itu satu perkara biasa dan apa yang penting hutang kerajaan belum melepasi 55 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau menegaskan, amat penting baginya sebagai ahli parlimen menyatakan Kerajaan Barisan Nasional tanpa gagal selama 21 tahun berturut-turut daripada pembentangan bajet untuk tahun 1998 hingga terakhir sekarang tahun 2018 membentangkan bajet defisit.

"Kita tidak menyatakan salah untuk defisit pada sesetengah keadaan tetapi kita ambil kaedah surah Yusuf sebagai contoh yang mana Allah mengajar kepada kita tujuh tahun yang segar, yang ekonominya baik, tujuh tahun yang ekonomi kemarau, ya mungkin berlaku defisit.

"Akan tetapi kalau 2 awal tahun 1998, 1999 kerajaan menghadapi krisis ekonomi tetapi kemudian kerajaan berhadapan dengan ekonomi yang baik selepas pada itu dan sekarang baru pula menghadapi krisis ekonomi tetapi kerajaan masih gagal di kala mana ekonominya baik masih lagi membentangkan bajet defisit dan yang menyebabkan akhirnya berlakunya tunggakan hutang," katanya.

Dr Mohd Khairudin juga menyebut, walaupun menghargai usaha kerajaan untuk meninggikan kadar pinjaman atau kadar pelaburan menggunakan sukuk atau terbitan pelaburan Kerajaan Malaysia, penglibatan kerajaan dengan riba inilah punca kerosakan bagi ekonomi.

Katanya, data yang dikemukakan oleh pelbagai pakar ekonomi termasuk ucapan menarik oleh bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bagaimana penglibatan negara-negara dengan riba ini telah berlaku puluhan krisis kewangan dunia dalam tempoh 30 tahun.

"Tempoh 30 tahun menunjukkan bahawa riba merosakkan ekonomi negara maka jika kerajaan tidak ada komitmen untuk membebaskan diri dari riba ini maka keberkatan tidak akan datang," tegasnya.