19
Thu, Sep
46 Artikel Baru

Keluarga sembilan beranak perlukan simpati ramai

Berita
Typography
REMBAU: Keluarga miskin terdiri dari sembilan beranak yang hidup hanya menumpang di serambi rumah pusaka memerlukan simpati orang ramai bagi membantu menyiapkan rumah mereka di Kampung Batang Nyamor, di sini.
 
Abdul Latif Abdul Ghani, 46 tahun bersama isteri dan anak-anaknya itu kini terpaksa menumpang berteduh sedemikian dengan hadapan tangga serambi pula dijadikan sebagai dapur bagi keluarga tersebut.
 
Abdul Latif hanya bekerja kampung dengan hasil pendapatan tidak seberapa selain menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 untuk anak-anaknya yang masih bersekolah.
 
Prihatin atas keadaan keluarga itu, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan sedang menggerakkan usaha bagi membantu menyiapkan rumah yang agak selesa bagi keluarga tersebut.
 
Timbalan Pengerusinya, Rozmal Malakan berkata, rumah tersebut sedang dibina berhampiran rumah pusaka didiami kakaknya dan sebelum ini beransur-ansur disiapkan sendiri oleh Abdul Latif.
 
Oleh itu ujar Rozmal, komited bagi membantu keluarga itu, pihaknya telah menyenaraikan perbelanjaan bagi membeli bahan-bahan untuk menyiapkan rumah kecil tersebut yang berjumlah hanya RM5,675.
 
Jelasnya, pembinaan akan dijalankan dalam tiga fasa melibatkan pembinaan struktur atap, dinding dan pintu serta tingkap, juga kerja-kerja melantai dan plaster disamping perpaipan asas.
 
Orang ramai yang sudi membantu dengan menyumbang keperluan bahan binaan atau kewangan serta lain-lainnya boleh menghubungi Ishak 012-349 4041 atau Rozmal 012-226 7406. - HARAKAHDAILY 5/11/2017