19
Thu, Sep
46 Artikel Baru

KM Melaka perdaya penduduk Umbai?

Berita
Typography
PROJEK tambakan laut di Umbai sebagaimana diumumkan Ketua Menteri, Dato' Seri Ir Idris Haron seolah-olah memperdaya dan mengesampingkan penduduk. Kerana sebelum ini beliau seakan menafikannya, malah menempelak Pemuda PAS dengan tuduhan membangkitkan sentimen politik. Tetapi Idris sendiri mengesahkan projek tersebut akan dilaksanakan.
 
Ianya mengecewakan setelah beliau turut berjanji memberi penjelasan mengenai perkara itu. Namun, tiga bulan berlalu, Idris gagal menunaikannya. Tetapi tiba-tiba megah mengumumkan bahawa projek itu akan membangunkan sektor pelancongan dan perdagangan negeri. Ia akan melibatkan kawasan seluas 161.87 hektar dan bakal menelan belanja RM296 juta.
 
Mungkinkah keghairahan Idris memuncak kerana projek tersebut dikatakan mampu menarik nilai pelaburan sebanyak RM8.7 bilion? Kami turut mengalukan usaha futuristik yang gigih dibawa ke negeri ini. Namun, tuntutan penduduk supaya kepastian dan jaminan diberikan harus dipenuhi. Kerana ianya melibatkan soal kehidupan dan masa depan mereka.
 
Penduduk khuatir kesejahteraan penempatan dan kelangsungan pekerjaan, juga kelestarian alam semula jadi, serta keunikan budaya dan tradisi sejak bergenerasi bakal terjejas atau terkorban. Ketika sama, pengalaman telah dilihat terhadap akibat dari projek tambakan laut yang pernah dilaksanakan sebagaimana di Tanjung Kling dan Klebang.
 
Malah kebimbangan penduduk juga adalah berkait soal keselamatan atas tarikan pelabur yang semestinya akan mengundang pekerja dari kalangan warga asing. Rasa rimas penduduk sudahpun terzahir oleh kebanjiran warga asing di sekitar kawasan perindustrian dalam Daerah Jasin. Ketua Menteri bertanggungjawab untuk meredakan seluruh perasaan tersebut.
 
Kami juga berharap, seluruh pembangunan yang bakal dilaksanakan ini diperjelaskan sejujur-jujurnya sebagaimana Pelan Induk Pembangunan Pelabuhan Negeri Melaka serta rangka lain bersangkutannya. Ingin kami tegaskan, Kerajaan Negeri Melaka wajib memastikan setiap pembangunan dibuat mengutamakan rakyat negeri ini, bukannya mana-mana pihak berkepentingan.
 
USTAZ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka
5 November 2017 | 16 Safar 1439 - HARAKAHDAILY 5/11/2017