20
Thu, Jun
41 Artikel Baru

Kursus dedah kendalian jenazah ikut syarak

Berita
Typography
TAWAU: Persatuan Kebajikan dan Prihatin  Dakwah Sabah (PKPDS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Sabah (JHEINS) Cawangan Tawau telah menganjurkan kursus pengurusan jenazah di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Blok 31, di sini hari ini.
 
Kursus tersebut telah mendapat penyertaan daripada 44 peserta terdiri dari 24 muslimin dan 20 muslimat yang merupakan penduduk sekitar kampung tersebut.
 
Pengarah Program Siti Arfa Asrisal berkata, kursus pengurusan jenazah itu melibatkan generasi muda, dewasa dan wanita bagi mendedahkan serta memberi ilmu mengenai kepentingan pengurusan jenazah secara lebih terperinci.
 
“Kursus ini kali pertama dianjurkan bersama JHEINS dan kami mendapat kerjasama sepenuhnya dari Ahli Jawatan Kuasa Masjid Nurul Hidayah serta penduduk kampung.
 
" Kursus ini bertujuan agar para peserta mengetahui cara pengurusan jenazah yang betul  mengikut syarak dan meninggalkan perbuatan pengurusan jenazah yang bertentangan dengan syarak.
 
“Selain memberi pendedahan, kursus ini juga untuk memberi keinsafan kepada peserta selaku generasi pelapis dalam mempelajari pengurusan jenazah demi memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.
 
Majlis perasmian penutupan dan penyerahan sijil penghargaan kepada Pengerusi Masjid Nurul Hidayah disempurnakan oleh wakil JHEINS Tawau, Ustaz Razali Sani.
 
Dalam majlis yang sama turut diadakan pemeriksaan kesihatan percuma oleh Persatuan Perubatan Islam Ibnu Sina (PAPISMA) Cawangan Tawau. - HARAKAHDAILY 5/11/2017