20
Thu, Jun
40 Artikel Baru

Khidmat Malaysia koordinasi operasi banjir

Berita
Typography
KEPALA BATAS: Seluruh PAS Negeri dan Kawasan-kawasan digesa menggerakkan jentera petugas untuk bantuan kemanusiaan banjir dengan segera khususnya di Pulau Pinang.
 
Demikian saranan Naib Presiden PAS yang juga merupakan Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Dato' Iskandar Abdul Samad, ketika ditemui di Bilik Gerakan Induk Operasi Banjir, Markas PAS Pongsu Seribu, di sini semalam.
 
Maklum beliau, untuk pasca kali ini, dua keperluan yang perlu diberi perhatian iaitu Dapur Rakyat dan operasi membersih rumah-rumah mangsa banjir.
 
"Perkara yang besar kemungkinan akan berlaku ialah trauma dalam kalangan mangsa dengan melihat kemusnahan peralatan rumah di samping keadaan rumah mereka selepas banjir surut.
 
"Oleh itu setiap PAS Kawasan yang turun membantu operasi pembersihan perlu membawa peralatan seperti 'water jet' dan lain-lain keperluan yang sesuai," ujar beliau.
 
Seperkara lagi katanya, kepentingan di waktu sekarang ialah mewujudkan Dapur Rakyat iaitu menyediakan makanan terutama makanan tengah hari dan diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir.
 
Tambahnya, sumbangan makanan yang siap dimasak amat diperlukan ketika ini berbanding bahan mentah seperti beras, telur, sardin dan sebagainya.
 
Disamping itu tegasnya, bekalan air minuman juga menjadi satu keperluan yang penting.
 
Dato' Iskandar juga berkata, bantuan kemanusian dari Khidmat Malaysia akan terus disalurkan dan untuk peringkat awal sebanyak 30 hingga 50 tan bahan makanan boleh menampung sehingga 200 orang.
 
"Disamping itu, kita juga menggalakkan sumbangan barangan yang tidak mudah rosak seperti lampin pakai buang bayi, selimut dan lain-lain," tambah beliau.
 
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Dr Azman Ibrahim mengingatkan agar semua jentera bencana berada dalam keadaan berjaga-jaga dan siap siaga.
 
Kerana menurutnya, besar kemungkinan banjir ini boleh berulang memandangkan musim tengkujuh hanya akan berakhir pada Mac ini.
 
Tambahnya, walaubagaimanapun operasi pembersihan di Pulau Pinang tidaklah seteruk di Kelantan dan Terengganu terdahulu dan dijangkakan gerakan pembersihan dapat dijalankan dalam masa terdekat.
 
"Saya melihat respon yang begitu baik dari semua negeri untuk menghantarkan bantuan samada tenaga mahu pun barangan dan wang ringgit," jelas beliau.
 
Dalam tinjauan tersebut, Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Malaysia dibawa petugas melawat di beberapa kawasan banjir secara berasingan. - HARAKAHDAILY 7/11/2017