20
Thu, Jun
42 Artikel Baru

Sekitar 85 peratus P. Pinang dilanda banjir

Berita
Typography
KEPALA BATAS: Sebanyak 12 daripada 13 kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir yang mewakili kira-kira 85 peratus negeri berkenaan, demikian maklum Ketua Operasi Banjir PAS Pulau Pinang, Baharin Ahmad.
 
Menurutnya, dari 12 kawasan tersebut tujuh di Seberang Perai dan lima di bahagian dalam pulau di mana Bilik Gerakan Operasi Banjir di 12 tempat berkenaan dibuka seawal 4 November lalu sama ada di markas PAS, surau atau pun masjid-masjid.
 
"Pada malam kejadian, kira-kira jam 12 hingga 3 pagi, jentera petugas dari Jabatan Amal telah mula turun padang membantu rumah-rumah yang dimasuki air," ujarnya.
 
Jelasnya lagi, banjir kali ini agak teruk berbanding yang lepas kerana berlakunya air pasang dan ribut hingga mengakibatkan banyak pokok tumbang dan patah.
 
Ekoran itu jelasnya, empangan air di Padang Chempedak terpaksa dibuka untuk mengelakkan implikasi yang lebih buruk dan dengan itu mengakibatkan air melimpah masuk ke kampung-kampung.
 
Katanya juga, ada di antara yang sebelum ini tidak pernah mengalami banjir sejak 13 hingga 15 tahun lalu, juga terkesan untuk kali ini.
 
Tambah beliau, walaupun banjir kali ini dikatakan agak besar, namun di sebelah pulau air surut cepat tetapi agak berlumpur.
 
Manakala di sebelah Seberang Perai maklumnya, ada sesetengah tempat dilihat seolah-olah berlaku
'banjir termenung' yang mencatatkan penurunan kadar air surut agak perlahan.
 
"Di sebelah Seberang Perai terdapat banyak sungai dan paling besar sekali di Kubang Menerong di kawasan Kepala Batas.
 
"Dan ada di antara kawasan-kawasan banjir, kita terpaksa gunakan bot kerana ditenggelami air agak tinggi seperti di Lahar Yoi dan yang berhampiran dengannya," ujarnya lagi.
 
Ekoran itu jelasnya, PAS Pulau Pinang telah menggerakkan hampir 200 tenaga yang terdiri dari Jabatan Amal, Dewan Pemuda dan Muslimat untuk membantu gerak kerja operasi bantuan banjir ini di kawasan-kawasan terlibat.
 
Walaubagaimanapun maklumnya lagi, bantuan dari petugas dari negeri-negeri lain amat diperlukan untuk memastikan mangsa banjir dapat dibantu terutama untuk membersihkan kediaman mereka apabila banjir surut nanti.
 
"Setakat tahun ini, bermula dari awal tahun hingga Oktober, Pulau Pinang telah dilanda banjir sebanyak 24 kali. 23 kali lalu lebih kepada banjir kilat tetapi kali ini agak teruk dari sebelumnya," kata beliau.
 
Sementara itu, masih terdapat jalan-jalan yang ditutup untuk kenderaan ringan kerana limpahan air di jalan raya masih belum surut.
 
Justeru itu, musibah yang melanda 85 peratus Pulau Pinang turut mendapat perhatian dari pemimpin PAS, antaranya Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh yang  turun memberi sumbangan di Bukit Mertajam. 
 
Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan yang juga merupakan Zhli Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Zailah Yusuf pula di Pongsu Seribu. - HARAKAHDAILY 7/11/2017