26
Wed, Jun
13 Artikel Baru

Negeri terima tanggungjawab urus senggara PPR

Berita
Typography

TERDAPAT empat projek perumahan rakyat (PPR) di Selangor yang diuruskan oleh beberapa agensi iaitu PPR Kg. Baru Hicom Seksyen 26, Shah Alam (980 unit – PHSSB), PPR Taman Tasik Teratai Serendah, Hulu Selangor (300 – PHSSB), PPR Kota Damansara (1152 – PHSSB) dan PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya (3004 – MBPJ) berjumlah 5,436 unit.

Demikian dijelaskan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad kepada soalan ADN Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan pada persidangan Dewan Negeri Selangor, semalam.

Katanya, bagi PPR Kg. Baru Hicom, PPR Taman Tasik Teratai dan PPR Kota Damansara ianya diuruskan oleh agensi Kerajaan Negeri iaitu anak syarikat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB).

Beliau berkata, PHSSB bertanggungjawab menguruskan kemasukan penyewa dan kutipan sewa di PPR tersebut serta melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan di PPR tersebut, manakala bagi PPR Lembah Subang 1, ianya diuruskan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi kemasukan penyewa dan kutipan sewa serta melaksanakan kerja-kerja pembersihan bangunan di PPR tersebut.

“Semenjak kerajaan negeri diberi tanggungjawab dalam pengurusan PPR tersebut, tidak terdapat Standard Operating Procedure (SOP) yang jelas dalam menetapkan bidang kuasa masing-masing,” ujarnya.

Ketika itu, katanya kerajaan negeri telahpun menerima tanggungjawab pengurusan penyenggaraan PPR demi menjaga kepentingan rakyat walaupun tapak pembangunan PPR Lembah Subang 1 dan PPR Taman Tasik Teratai adalah kepunyaan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).

Tambah beliu, ianya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk urusan penyewaan dan penyenggaraan melaui kutipan sewa.

“Walau bagaimanapun kutipan sewaan untuk kedua-dua PPR ini ialah dalam lingkungan 45% sahaja dan ini telah menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membelanjakan peruntukan tambahan,” jelasnya.

Bagi PPR Lembah Subang 1, ujar beliau kerajaan negeri melalui MBPJ telah membelanjakan lebih RM60 juta, manakala PPR Taman Tasik Teratai, semenjak diambil alih oleh Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. didapati kutipan dalam lingkungan 98%.

Katanya, dengan kutipan sebegitu pun, pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor masih perlu mengeluarkan peruntukan tambahan dengan anggaran melebihi RM130,000 setahun untuk pembaikan, pembersihan, keselamatan dan sebagainya.

“Sewajarnya Kerajaan Persekutuan membiayai kos-kos pembaikan kerosakan di kedua-dua PPR tersebut memandangkan mereka adalah pemilik sementara kerajaan negeri bertanggungjawab dalam menguruskan kos penyenggaraan seperti pembersihan, pembaikan kecil dan keselamatan,” katanya lagi. - HARAKAHDAILY 8/11/2017