Misi bantuan banjir delegasi Terengganu ke P. Pinang

Berita
Typography
MARANG: Khidmat Malaysia Terengganu bersama Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu telah berlepas ke Pulau Pinang dalam misi membantu mangsa banjir, kelmarin.
 
Delegasi diketuai oleh Pengarah Khidmat Malaysia Terengganu, Zulkifli Mat Yakin dan pasukannya yang amat komited dan peka terhadap bencana menimpa Pulau Pinang.
 
Terdahulu beliau dan Setiausaha PAS Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid bersama Ahli Jawatankuasanya telah diberi taklimat mengenai banjir menimpa Pulau Mutiara itu.
 
Penerangan meliputi perjalanan operasi yang telah dan akan dilakukan sebaik tiba di Bilik Operasi Induk Banjir PAS Pulau Pinang di Pongsu Seribu.
 
Konvoi seramai 40 petugas bersama 11 kenderaan bermuatan itu berlepas dari Masjid Rusila setelah perasmian perlepasan disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Hussien Awang.
 
Delegasi akan berkampung di Markaz Tarbiyah PAS Pulau Pinang itu yang menjadi pusat pembungkusan dan agihan barangan bantuan serta 'Command Centre' dalam usaha membantu mangsa banjir.
 
Selain barangan keperluan harian, wang tunai sebanyak RM5,000 dari sumbangan rakyat Terengganu turut dihulurkan bagi meringankan beban pihak pengurusan.
 
Sukarelawan Khidmat Malaysia Terengganu dan anggota Jabatan Amal Terengganu yang diketuai oleh Pengarahnya, Sauji Abd Rasid digerakkan ke Tasik Gelugor untuk kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir. - HARAKAHDAILY 11/11/2017