Petugas PAS gigih bantu mangsa banjir di Jelutong

Berita
Typography
JELUTONG: Kolaborasi para petugas terdiri dari beberapa PAS Negeri, Kawasan dan entiti telah membantu mangsa banjir di sekitar bandaraya itu memberi bantuan makanan, perubatan dan khidmat pembersihan, kelmarin.
 
Mereka terdiri dari Muslimat PAS Negeri Selangor dan Perak, PAS Kawasan Segamat, Muslimat PAS Kawasan Jelutong, Khidmat Malaysia Negeri Sembilan dan juga pasukan perubatan Papisma, dipimpin Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam.
 
Masjid Jamek Haji Kassim Kampung Makam, Georgetown telah dijadikan markas kumpulan ini termasuk Jabatan Amal dan kaunter klinik bergerak Papisma memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan dan perubatan percuma.
 
Doktor juga sempat merawat pesakit yang ditemui terbaring di kaki lima masjid dalam keadaan lemah dan tidak bermaya di mana kesiapsiagaan Ambulan Jabatan Amal di situ telah menghantar pesakit tersebut ke hospital.
 
Menurut Ketua Muslimat PAS Jelutong, Salbiah Ishak, kawasan bantuan pasca banjir di Pulau Pinang tertumpu di kawasan yang paling teruk dilanda banjir terutama dalam Dun Datuk Keramat dan Dun Sungai Pinang.
 
Sumbangan yang dihulurkan berupa set barangan dapur, set barangan 'toiletry', pampers kanak-kanak serta tuala wanita dan lain-lain. - HARAKAHDAILY 11/11/2017